‘Ekonomi dunia akan mengalami kemelesetan pada 2023.’
‘Unjuran pertumbuhan global bagi 2023 terpaksa diturunkan.’
‘Kadar inflasi akan kekal tinggi sepanjang tahun depan.’
Semua di atas bukanlah kenyataan yang dibuat oleh mana-mana ahli parlimen kedai mamak atau ahli dewan undangan kedai kopi. Bukan juga firasat dan ramalan oleh mana-mana tukang tilik, jauh sekali gimik oleh pempengaruh media sosial yang kepala ‘masuk air’ dan otak ‘masuk angin’.
Yang berkata begitu adalah ahli-ahli ekonomi dan pakar-pakar kewangan. Puak yang bermain dengan angka dan istilah yang boleh menyebabkan segala 'ahli Parlimen' kedai mamak, 'ADUN' kedai kopi dan tukang tilik terkencing jika ditanya erti dan maksudnya.
Antara yang membuat kenyataan hampir serupa seperti di atas ialah David Malpass. Beliau merupakan presiden Bank Dunia, jawatan yang bukan calang-calang; yang bukan boleh diisi oleh Bangla yang dikutip di tepi jalan atau anak si anu atau si ini yang bapanya ada ‘kabel besar’.
Oktober lepas Malpass berkata, pihaknya telah menurunkan unjuran pertumbuhan 2023 daripada tiga peratus kepada 1.9 peratus bagi pertumbuhan global, yang dilihat semakin hampir dengan kemelesetan dunia.
Banyak faktor yang disenaraikan sebagai penyebab kepada kemungkinan kemelesetan itu; inflasi yang tinggi, kadar faedah yang meningkat, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan tidak terkecuali kesan pandemik Covid-19 yang berterusan terutama di China.
Jika diamati dan diteliti kita akan mendapati peratusan terbesar kenyataan-kenyataan berhubung iklim ekonomi dunia pada tahun 2023 menjurus kepada unsur-unsur negatif.
‘Merudum’, ‘meleset’, ‘lemah’, ‘membimbangkan’ dan banyak lagi perkataan seumpamanya dijadikan kata kunci untuk menggambarkan suasana ekonomi yang bakal kita tempuhi.
Mujurlah setakat ini belum jumpa perkataan ‘murung’, kerana dalam ilmu ekonomi ‘kemurungan ekonomi (economic depression) adalah suasana yang cukup teruk dan boleh membawa kepada ‘kejatuhan ekonomi’ (economic collapse).
Tidak perlulah kita membayangkannya, takut hilang pula ‘mood’ hendak menyambut tahun baharu.
Walaupun pakar-pakar ekonomi di negara ini menjangkakan Malaysia tidak akan terheret sama dengan kemelesetan, dan akan juga berupaya menghadapinya, namun di kalangan orang biasa-biasa macam kita, sudah tentulah wujud sedikit sebanyak rasa gusar dan bimbang.
Hati manalah yang tidak gundah kalau baru saja terlepas daripada cengkaman pandemik, duit tabung yang dikorek belum pun sempat diisi semula, tiba-tiba terpaksa berdepan pula dengan kemungkinan kemelesetan.
Kemelesetan ekonomi bukannya perkara baharu. Sejak Perang Dunia Kedua, dunia telah berdepan dengan keadaan itu sebanyak empat kali iaitu pada 1975, 1982, 1991 dan 2009.
Negara kita pun pernah beberapa kali menempuh suasana ekonomi tidak menentu. Pada tahun 1974 misalnya, kita mengalami inflasi pada kadar 18 peratus dengan kadar tertinggi 23.90 peratus pada bulan Mac tahun tersebut.
Mujurlah waktu itu saya baru berumur dua tahun, jadi tidak terasa apa-apa akan kesannya, jika tidak mungkin pening juga.
Malaysia juga mengalami kemelesetan ekonomi pada 1985/86 dan suasana ekonomi sekali lagi menjadi tidak menentu lebih sedekad kemudian berikutan krisis kewangan Asia 1997/98.
Pada 2008/09 berlaku pula krisis kewangan global, yang kesannya turut menimpa kita.
Dalam konteks negara kita, semua bencana ekonomi itu berjaya dilalui dengan selamat. Kesannya memang ada, tetapi tidaklah terlalu buruk. Dan saya percaya jika benar ia akan berlaku pada tahun 2023, atau pada sebarang tahun selepas itu, kita tetap akan berupaya menghadapinya.
Pokok pangkalnya diri kita sendiri. Anak kuncinya di tangan kita. Bagi orang yang tidak beringat, dalam keadaan ekonomi dunia subur dan makmur pun, mereka tetap akan mengalami kemelesetan secara individu. Orang di sekeliling senang, dia tetap susah.
Sebaliknya bagi yang beringat, dicampak ke mana sekalipun tidak akan menjadi masalah.
Ada banyak petua dan tip tentang bagaimana hendak menghadapi suasana ekonomi yang sukar. Bersepah-sepah di internet. Saya tidak akan memberinya kerana mahu mengelak daripada bersubahat menyebabkan anak bangsa saya menjadi kurang rajin.
Jadi, cubalah cari sendiri, baca dan teliti. Ia sejuta kali lebih baik daripada mencari, membaca dan menelaah hal ehwal peribadi selebriti atau mengambil peduli tentang kehidupan orang itu dan orang ini.
Tindakan seperti itu bukan sahaja akan menyukarkan kita mendepani kemelesetan ekonomi, malah boleh menyebabkan kita sendiri menghadapi kemelesetan otak.
Dan pada bila-bila masa pun, kurang duit itu lebih baik daripada kurang otak...dush#!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai seorang setiausaha politik dan juga bekas wakil rakyat.
Klik di sini untuk terus membaca