SHAH ALAM - Kegagalan ibu bapa membentuk keluarga yang baik menjadi faktor penyumbang kepada kes kematian kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, dipercayai didera oleh rakan kakaknya.
Pakar Psikologi Kanak-Kanak dari Universiti SEGi, Profesor Dr Mariani Md Nor berkata, keluarga gagal bermaksud ibu bapa gagal memberikan kasih sayang, keselamatan dan keperluan hakiki yang diperlukan oleh manusia terutama kanak-kanak dalam usia enam tahun pertama.
"Dalam kes tersebut, ibu bapa mangsa berada di penjara dan tinggalkan anak berkenaan bersama kakaknya yang berusia 19 tahun.
"Memandangkan yang menjaga adalah dalam kalangan remaja, peringkat usia yang tidak tahan sabar dan sukar bertolak ansur, jadi dengan kenakalan, tangisan serta rengekan kanak-kanak tersebut membuatkan penjaga bertindak mendera untuk memuaskan hati mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Jelas beliau, kanak-kanak berkenaan berada dalam keluarga yang gagal dan isu tersebut sepatutnya dijadikan iktibar terutama oleh ibu bapa yang gagal membentuk keluarga bahagia.
Pada Selasa, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia dipercayai didera oleh lima rakan kakaknya di sebuah rumah di Senggarang, Batu Pahat, Johor pada Jumaat.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa telah dijaga oleh kakak kandungnya setelah ibu bapa mereka dimasukkan ke penjara akibat kesalahan dadah.
Dalam pada itu, Dr Mariani berkata, golongan kanak-kanak memerlukan penjagaan, pengawasan, kasih sayang dan pengiktirafan sewajarnya daripada ibu bapa.
Menurutnya, keluarga yang gagal berisiko menyebabkan anak-anak mengalami gangguan mental dan membantutkan tumbesaran serta perkembangan fizikal mereka.
"Ibu bapa yang tidak bertanggungjawab cenderung membiarkan anak mereka hidup sendiri tanpa mengambil berat aspek pemakanan dan kesihatan anak-anak, semuanya tidak dijaga.
"Jadi, keadaan itu boleh menjejaskan kesihatan yang akhirnya membantutkan pertumbuhan fizikal kanak-kanak.
"Persekitaran keluarga seperti ini boleh memberi impak besar terhadap perkembangan emosi, sosial dan intelek anak-anak,” jelasnya.
Masyarakat perlu lebih peka Sementara itu, Pakar Psikologi Klinikal dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Khairiah Abdul Razak berkata, bagi menangani isu tersebut, masyarakat seharusnya lebih peka dan sensitif terhadap keadaan di persekitaran.
Menurutnya, ini kerana mangsa penderaan terutama yang masih di awal usia kanak-kanak tidak mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan diri daripada keadaan yang dialami oleh mereka.
"Jika anak berkenaan sudah berada dalam persekitaran sebegitu, mereka sebenarnya telah terperangkap dan tidak ada jalan keluar terutama untuk anak yang berumur empat hingga lima tahun, mana dia tahu nak lari ke mana.
"Dia hanya boleh percaya kepada orang-orang sekitarnya iaitu ahli keluarga yang menderanya," katanya.
Tambah beliau, orang sekeliling dan masyarakat di kejiranan sebenarnya perlu banyak memainkan peranan.
"Di luar negara contohnya, dalam isu kekerasan terhadap kanak-kanak, kita tengok kalau menengking kanak-kanak atau bercakap kasar pun mereka sudah anggap itu sebagai petanda amaran,” ujarnya.
Khairiah berkata, terdapat beberapa petanda boleh diambil kira oleh orang ramai untuk mengenal pasti berlakunya penderaan terutama di peringkat kawasan kejiranan masing-masing.
"Pertama, kita perlu melihat cara ibu bapa terutama jiran kita berkomunikasi dengan anak-anak sama ada mereka bercakap dengan cara menengking atau dengan kata-kata kesat.
"Selain itu, kita boleh lihat sama ada anak tersebut rapat atau tidak dengan ibu bapa mereka. Jika anak-anak itu selalu merayau dan ibu bapa pun tidak ambil peduli, itu juga satu petanda.
"Kadang-kadang kita boleh juga tengok ekspresi muka anak-anak sama ada mereka gembira atau tidak bila berada di rumah. Perkara-perkara seperti ini yang masyarakat perlu sensitif,” jelas beliau.
Tambah beliau, masyarakat juga perlu mengambil tindakan dengan berhubung bersama masyarakat kejiranan jika mereka mengenal pasti adanya tanda-tanda yang boleh membahayakan keselamatan kanak-kanak berkenaan.
"Ia supaya kita boleh ambil tindakan awal, contohnya berikan peringatan kepada keluarga tersebut,” katanya.
Selain memperhalusi dan meningkatkan sistem perundangan, Khairiah berkata, kerajaan juga perlu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keperluan agar lebih peka terhadap usaha memerangi isu penderaan kanak-kanak.
Klik di sini untuk terus membaca