SHAH ALAM - Kira-kira dua bot besar yang sarat membawa pelarian Rohingya kini menuju ke Malaysia. Pemerhati isu pelarian Rohingya sejak tahun 2015, Norman Fernandez berkata, berdasarkan maklumat yang tersebar, menerusi kenyataan daripada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kira-kira dua bot besar yang sarat membawa pelarian Rohingya kini menuju ke Malaysia.

Pemerhati isu pelarian Rohingya sejak tahun 2015, Norman Fernandez berkata, berdasarkan maklumat yang tersebar, menerusi kenyataan daripada aktivis Rohingnya mendedahkan bahawa bot-bot berkenaan kini berada hampir dengan perairan negara.

"Jelas, mereka hanya menunggu masa yang sesuai untuk membolosi perairan kita untuk memasuki negara bagi melepasi rondaan anggota-anggota laut kita,” katanya pada Sinar Harian pada Rabu.

Norman yang juga merupakan seorang peguam berkata, hujung tahun sehingga bulan Mac dilihat musim atau waktu yang sesuai buat pelarian Rohingya ke Malaysia.

"Saya ingat sekarang (musim yang sesuai) dan kemungkinan untuk beberapa bulan sehingga bulan Mac," katanya.

Untuk itu katanya, beliau menyarankan supaya kerajaan menerusi agensi penguatkuasa untuk bersiap siaga menjaga perairan negara, memandangkan kini adalah musim yang sesuai untuk pelayaran dan banyak kapal dengan pelarian Rohingya yang telah mendarat di Aceh dan diselamatkan tentera laut Vietnam, Sri Lanka di mana Malaysia tetap menjadi negara tujuan utama mereka.

"Pemantauan yang lebih ketat perlu dilakukan bermula sekarang, bagi mengelak perairan kita dibolosi oleh mereka.

"Jadi jika perairan kita sentiasa diawasi mereka-mereka ini tidak akan dapat memasuki negara," katanya.

Terbaru pada Selasa, sekurang-kurangnya 200 orang pelarian Rohingya mendarat di perairan Aceh, Indonesia, pendaratan keempat seumpamanya dalam tempoh beberapa bulan lalu.

Antara lokasi pendaratan pelarian itu di Thailand ialah Ranong, Phang Nga dan Satun, manakala di Malaysia ialah Langkawi.

November lalu, dua bot yang membawa sejumlah 229 Rohingya mendarat di wilayah yang sama, menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Malaysia yang agak mewah adalah destinasi pilihan bagi pelarian, tetapi kebanyakannya mendahului di Indonesia majoriti Islam, dilihat lebih mesra.

Agensi PBB dan kumpulan hak asasi manusia meminta negara di rantau ini untuk mendapatkan bantuan segera selepas beberapa bot yang membawa Rohingya dilaporkan hanyut selama berminggu-minggu di Lautan Hindi.

Kenapa pilih Malaysia?

Dalam pada itu katanya, Malaysia menjadi pilihan pelarian Rohingya kerana golongan ini menyifatkan negara sebagai 'bumi emas' yang boleh menerima kehadiran mereka.

"Pelarian-pelarian ini menganggap bahawa Malaysia mengalu-alukan kehadiran mereka. Mereka ini dibenarkan masuk dan bebas bergerak, ini berbeza dengan layanan yang mereka terima di Bangladesh di mana mereka ditempatkan di kem-kem pelarian.

"Mereka bebas menjalankan perniagaan di tepi jalan, mereka juga diberi banyak kemudahan juga dan banyak NGO-NGO yang bersuara dan memperjuangkan hak asasi mereka dan membantu mereka, jadi kita telah menghantar mesej bahawa Malaysia menerima mereka," katanya.

Dalam pada itu katanya, majoriti negara dunia juga tidak mempedulikan mereka dan tidak mahu menerima kehadiran pelarian-pelarian ini ke negara-negara mereka.

"Saya kira kebanyakan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga tidak mahu menerima mereka, ini termasuk negara-negara Barat, malahan amat pelik negara Islam di Asia Barat tidak sanggup untuk mengambil mereka untuk bekerja meskipun sebagai buruh.

"Jadi semua tidak mahu dan akhirnya ia menjadi beban kepada Malaysia," katanya.

Tambahnya, lambakkan pelarian Rohingya di negara ini menyebabkan Malaysia terpaksa memikul 'beban kekal'.

"Mereka ini menjadi beban kekal kepada Malaysia kerana setelah mereka berada di sini, mereka tidak akan pulang ke negara asal, anak-anak mereka yang lahir di sini juga sudah sebati dengan suasana di Malaysia," katanya.

Justeru beliau menyarankan bagi mengatasi isu ini kerajaan perlu menghantar mesej yang jelas dan tegas bahawa mereka tidak dialu-alukan ke Malaysia.

"Negara perlu menghantar mesej tegas, kita tidak lagi mahu mereka di Malaysia, jika mereka datang juga kita perlu kenakan tindakan misalnya masukkan mereka ke dalam kem-kem pelarian dan tidak benarkan lagi mereka bebas, jadi mereka akan berfikir berkali-kali untuk datang ke Malaysia," katanya.

INFO

- Etnik Rohingya dari Myanmar kekal mencatatkan jumlah pelarian paling ramai di Malaysia iaitu seramai 103,810 orang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), sehingga hujung Mac 2022. Menurut data menerusi laman web UNHCR, jumlah itu menjadikan sebanyak 57 peratus pelarian Rohingya berada di negara ini daripada jumlah keseluruhan 182,120 pelarian dan pencari suaka politik berdaftar.

- Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

- Dengan kata lain, Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.

Klik di sini untuk terus membaca