DEMI hasrat bersama untuk meningkatkan kadar mengundi, saya ingin menarik perhatian Tuan Guru Hadi Awang atas tiga langkah reformasi pilihanraya yang boleh memudahkan urusan mengundi.
Semoga PAS sebagai parti terbesar di Parlimen dan PN sebagai pembangkang rasmi akan mendesak Kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengambil tiga langkah ini.
Tanpa tiga langkah ini, Pilihanraya Negeri (PRN) di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan tidak mungkin mencapai kadar mengundi sekitar 73% dalam PRU15 kerana PRN terlalu dekat dengan PRU15 dan tidak dilihat sepenting kalau tidak dipermudahkan urusan mengundi.
Pertama, tarikh pengundian harus ditetapkan sekarang juga di sekitar Ogos dan diumumkan segera di Januari. Ini akan memudahkan semua rakyat di keenam-enam negeri untuk menyesuaikan rancangan masing-masing sama ada untuk menunaikan ibadah agama, berkenduri atau bercuti.
Pilihanraya terperanjat amat menyusahkan rakyat - daripada pengundi, anggota polis, penjawat kerajaan, pekerja parti, sanak-saudara mereka, sampai kepada perniagaan yang mengenai penganjuran upacara. Ketua kerajaan mungkin tidak tahu ‘inspirasi’ yang mereka cari untuk tarikh PRU/PRN itu menjadi ‘mimpi ngeri’ sebilangan rakyat terkesan.
Dewan-dewan Undangan Negeri (DUN) untuk lima daripada enam negeri akan terbubar secara automatik dalam lingkungan 25 Jun (Selangor) ke 3 Julai (Kedah).
Kalau kelima-lima negeri ini mengumumkan keputusan untuk melengkapkan penggal mereka, dan Pulau Pinang (DUNnya terbubar pada 1 Ogos saja) memohon perkenan Yang diPertua Negeri untuk pembubaran awal di antara 25 Jun dan 3 Julai, maka PRN untuk semua negeri boleh diadakan selewat-lewatnya pada 24 Ogos.
Kalau enam negeri boleh capai sepakat, maka tiada alasan kenapa SPR tidak boleh mengumumkan tarikh penamaan dan pengundian PRN sekarang juga. Ini tiada masalah di sisi undang-undang kerana writ tetap boleh dikeluarkan selepas 3 Julai.
Kedua, semua pengundi di luar negeri masing-masing harus diberikan kemudahan untuk mengundi di pusat pengundian jarak jauh di setiap ibu-negeri dan bandar-bandar besar, selama seminggu sebelum hari pengundian. Undi mereka akan dihantar balik ke kawasan masing-masing untuk dikira.
Ini akan menjimatkan kos dan masa untuk mereka kembali ke negeri masing-masing untuk mengundi, mengurangkan kesesakan dan kemalangan jalanraya dan mengurangkan kerugian kepada sektor swasta kerana cuti pilihan raya.
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Menyediakan pusat pengundian jarak jauh bukan sesuatu yang susah, terutamanya apabila SPR ada masa lapan bulan untuk merancang. SPR boleh menetapkan tarikh penutupan pemohonan lebih awal seperti dua bulan sebelum hari mengundi.
PAS banyak mendapat sokongan daripada pengundi luar-kawasan terutamanya di Kelantan. Ini masanya untuk memanfaatkan 43 kerusi parlimennya untuk membalas budi pengundi yang bersusahpayah balik kampung untuk menyokong PAS.
Ketiga, proses pengundian pos untuk pengundi luar negara perlu dipermudahkan. Daripada menunggu proses percetakan dan pengiriman kertas undi yang mungkin memakan masa lebih seminggu, pengundi yang telah berdaftar secara terselia di laman MySPR seharusnya dibenarkan untuk menurunmuatkan PDF kertas undi dan mencetak sendiri.
Dengan cara ini, sekalipun mereka yang pergi umrah di Ogos 2023 dapat menjalani hak mengundi mereka.
Semoga kita dapat lihat pembangkang berwibawa dalam hak pengundi.
Dari daun kelapa dapat lidi Disapu lantai penyapu lidi Permudahkanlah urusan undi Sudah tentu ramai akan undi * Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway.
Klik di sini untuk terus membaca