SHAH ALAM - Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari ini bukan sahaja memberi kelebihan dan manfaat kepada pekerja, malah majikan turut memperoleh kesan baiknya.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani percaya apabila akta tersebut dilaksanakan sepenuhnya, produktiviti dan kualiti pekerja akan lebih meningkat.
"Kalau kita lihat hari ini, pihak majikan selalu kata mereka kekurangan pekerja. Tapi dengan adanya pindaan ini, mereka sepatutnya mengalu-alukannya sebab ia meningkatkan kebajikan pekerja. Jadi, ia salah satu langkah untuk tarik lebih ramai pekerja.
"Oleh itu, produktiviti dapat ditingkatkan selain kebajikan pekerja terjaga. Pekerja adalah aset kepada mereka. Jangan hanya fikir untung syarikat saja. Apabila pekerja gembira dan seronok, maka mereka akan terjemahkan kepada produktiviti dan komitmen kerja.
"Hari ini, kalau dilihat dalam negara kita, ada majikan telah mengamalkan waktu kerja bawah 45 jam seperti Proton, Perodua. Mereka tengah lakukan perkara ini sebelum akta dilaksanakan. Tidak tutup pun syarikat mereka. Malahan, tambah lagi produktiviti mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada Selasa, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, majikan dijangka berdepan kenaikan kos antara 15 hingga 20 peratus jika kerajaan menguatkuasakan pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) bermula 1 Januari ini.
Jelas Ameer, peningkatan tersebut akan menyebabkan kebanyakan pemain industri runcit dan perkhidmatan terpaksa melepaskan kos tambahan itu kepada pengguna dengan menaikkan harga dan caj.
Mengulas mengenai saranan Ameer agar akta itu dapat dilakukan secara berperingkat, Mohd Effendy dengan tegas membantah cadangan itu kerana perlindungan, kebajikan pekerja tidak boleh dilengah-lengahkan lagi.
"Sejak 1955 akta kerja ini tidak dipinda. Sekarang hampir masuk 2023, sepatutnya ia kena ikut peredaran zaman. Jadi, sememangnya kita tidak boleh lengahkan lagi,” katanya.
Tambahnya, akta tersebut juga diyakini tidak mendatangkan masalah kepada mana-mana pihak memandangkan ia selari dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
"Kalau ikutkan, akta antarabangsa sarankan kerja hanya 40 jam seminggu. Cuti untuk bersalin pula adalah 98 hari. Ini adalah standard antarabangsa. Jadi, bagi saya, ini tindakan positif kerajaan bagi mengimbangi dan selari dengan akta buruh antarabangsa,” jelasnya.
Selain itu, beliau menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan Ameer berkenaan berlaku kenaikan harga barangan apabila Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) dilaksanakan sebagai menakut-nakutkan rakyat.
"Bila dia keluarkan kenyataan nak pulangkan kepada rakyat, saya nampak ini adalah ugutan yang akan menyebabkan suasana panik dalam negara kita. Tidak wajar pihak mereka keluarkan kenyataan ini.
"Bukan ke harga barang tetap naik walaupun gaji tidak naik? Lebih baik sama-sama naik. Biar seimbang. Lagipun, bayaran kerja lebih masa untuk mereka yang gaji RM4,000 ini, mereka golongan B40 mereka juga memerlukan,”ujarnya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan negara ASEAN yang lain telah lama menggunakan konsep seakan-akan sama akta yang akan dilaksanakan itu.
Jumpa berkala cari titik persamaan Sementara itu, wakil majikan dan pekerja perlu mengadakan pertemuan secara berkala bagi mencari titik persamaan yang mampu memberi keselesaan kepada mereka menjelang pelaksanaan Akta Pekerja 1955 (Pindaan 2022).
Pakar ekonomi yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, melalui pertemuan tersebut, majikan boleh melihat indicator, monitor trend produktiviti pekerja dan hasilnya serta tindakan susulan jika perlu.
"Solusi terbaik bagi kedua-dua pihak adalah pihak majikan mengadakan pertemuan sekerap mungkin dengan wakil pekerja atau persatuan pekerja masing-masing tentang pindaan akta ini.
"Selain itu, turut membincangkan implikasi kepada kos dan operasi perniagaan mereka, pandangan majikan kepada pekerja jika semua pindaan ini dilaksanakan serta imbal balas pekerja kepada majikan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Dalam pada itu, Mohd Faisol berkata, majikan perlu melihat pindaan akta itu sebagai usaha kerajaan dalam membantu mereka melahirkan pekerja yang berkualiti serta berimpak tinggi.
"Walaupun kebajikan pekerja diutamakan dalam akta pindaan ini kerana ia sebahagian daripada peruntukan undang -undang perburuhan di negara ini selaras dengan standard antarabangsa, tetapi hasilnya dapat dilihat melalui amalan pekerja dalam sesebuah organisasi.
"Sekiranya pekerja terasa diri mereka terjamin dan terbela dengan majikan yang melaksanakan akta pindaan ini, sudah pasti ini akan memberi kesan limpahan positif kepada produktiviti pekerja dan keuntungan majikan,” ujarnya.
Menurut beliau, meskipun pengurangan jam bekerja itu akan mengurangkan output atau hasil kepada majikan, namun apa yang lebih penting adalah ia mampu meningkatkan produktiviti pekerja dalam organisasi.
"Sekiranya jumlah jam bekerja adalah tinggi tetapi produktiviti adalah rendah maka ia sebenarnya merugikan majikan itu sendiri,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca