SHAH ALAM - Dakwaan bahawa pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) bakal menyebabkan peningkatan kos perniagaan dan seterusnya memberi kesan kepada pekerja itu disifatkan sebagai satu bentuk ugutan kepada golongan berkenaan. Presiden... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Dakwaan bahawa pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) bakal menyebabkan peningkatan kos perniagaan dan seterusnya memberi kesan kepada pekerja itu disifatkan sebagai satu bentuk ugutan kepada golongan berkenaan.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie Bp Mammal berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya dibangkitkan lagi kerana pindaan akta itu telah lama diluluskan di Dewan Rakyat.

Ujar beliau, majikan seharusnya berikhtiar dan mencari kaedah yang terbaik untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka.

"Kalau majikan mempunyai pendapat seperti pelanggan akan disusahkan dan dihukum (dari segi peningkatan kos barangan dan perkhidmatan), ia satu bentuk ugutan, provokasi dan ugutan melemparkan kebencian, itu tidak sepatutnya berlaku.

"Saya fikir (ugutan) itu tidak sepatutnya keluar oleh majikan yang besar atau sederhana, sepatutnya mereka kena terima semua pindaan yang ada ini telah pun dibahas dengan libat urus pelbagai pihak,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Rabu lalu, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar memaklumkan bahawa penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang sebelum ini ditangguhkan pada 26 Ogos lepas akan dilaksanakan pada 1 Januari 2023.

Pindaan itu antaranya meliputi pengurangan tempoh waktu bekerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu, penambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari, cuti paterniti dinaikkan daripada tiga hari kepada tujuh hari, dan larangan diskriminasi dalam pekerjaan.

Dalam pada itu, Mohamed Shafie berkata, pelaksanaan akta baharu itu juga dapat membantu meningkatkan pendapatan syarikat.

Menurutnya, majikan perlu melihat perkara tersebut sebagai satu cabaran dalam perniagaan serta merangka pelbagai strategi untuk memajukan ekonomi syarikat mereka.

"Kalau majikan boleh mengembangkan perniagaan mereka tanpa kerisauan,kenapa mereka mesti risau sekarang? "Dengan pelaksanaan akta baharu ini, ia akan lebih meningkatkan pendapatan. Pekerja akan bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh dengan syarat latihan secukupnya diberikan kepada mereka.

"Kalau perkara itu dapat dibuat, tidak perlu mereka ada kerisauan,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan juga banyak membantu golongan majikan sebelum ini dengan menyalurkan pelbagai bantuan dan peruntukan kepada mereka bagi memastikan perniagaan mereka kekal bertahan ketika pandemik Covid-19.

"Kalau dibangkitkan bahawa kos meningkat, perniagaan masih belum pulih sebab Covid-19 selama2 tahun dan sebagainya, mereka jangan lupa bahawa kerajaan telah banyak membantu.

"Saya cadangkan kepada majikan supaya bergerak ke hadapan, cari satu pengisian yang baik supaya dapat memulihkan keadaan ekonomi mereka sendiri,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca