BANDA ACEH - Ketua Suruhanjaya I Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Aceh, Iskandar Usman Alfarlaki meminta pihak berkuasa dan pemerintah Indonesia menyiasat peningkatan jumlah pelarian Rohingya yang tiba di Aceh.
Menurutnya, siasatan perlu dijalankan bagi memastikan wilayah dengan jolokan nama Tanah Rencong itu tidak dijadikan tempat transit pelarian atau ‘orang bot’.
Tambah Iskandar, gelombang kedatangan pelarian etnik Rohingya di Aceh semakin kerap berlaku dan mengesyaki perkara itu bukanlah satu kebetulan.
"Jika mengambil kira aspek kemanusiaan, pemerintah perlu memberikan perlindungan kepada mereka, namun pada masa pihak berwajib termasuk Kementerian Dalam Negeri perlu menyiasat punca pelarian Rohingya sering terkandas di Aceh.
"Persoalannya sekarang ialah apakah mereka benar-benar mahu mencari suaka politik atau hanya menjadikan Aceh sebagai zon transit untuk memasuki Malaysia?
"Sebelum ini terdapat banyak kes di mana pelarian Rohingya yang terkandas di Aceh melarikan diri selepas ditempatkan di pusat perlindungan,” ujar Iskandar.
Jelas beliau, insiden pelarian Rohingya ‘ghaib’ selepas ditempatkan di pusat perlindungan memberi petunjuk bahawa kedatangan mereka mungkin sudah diatur oleh sindiket pemerdagangan manusia.
"Siapa yang memudahkan mereka melarikan diri dan ke mana mereka menghilang? Perkara ini harus disiasat secara terperinci.
"Atau mereka mempunyai ejen di Aceh dan dibawa ke Sumatera Utara sebelum dihantar ke Malaysia,” kata Iskandar sambil memaklumkan bahawa pelarian Rohingya yang terkandas di Aceh sering memberi alasan sama iaitu bot dinaiki bocor atau kehabisan minyak menyebabkan mereka berada di tengah lautan selama berbulan-bulan.
Dalam pada itu, Iskandar berkata, penduduk tempatan berhampiran pusat perlindungan juga kurang senang dengan sikap pelarian Rohingya.
Katanya, penduduk keberatan untuk menerima kehadiran mereka kerana didakwa tidak menghormati adat dan budaya setempat.
Pada Jumaat, seramai 57 pelarian Rohingya tiba dengan bot kayu di kawasan Ladong, Aceh Besar. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca