SHAH ALAM - Bencana banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini telah meninggalkan pelbagai kerosakan infrastruktur khususnya jalan raya sekali gus memberi kesulitan kepada pengguna. Orang ramai menyuarakan rasa terganggu kerana... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bencana banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini telah meninggalkan pelbagai kerosakan infrastruktur khususnya jalan raya sekali gus memberi kesulitan kepada pengguna.

Orang ramai menyuarakan rasa terganggu kerana terpaksa menempuh sama ada jalan berlubang, mendap mahupun tidak rata sehingga boleh mengundang kemalangan.

Antara yang terkesan adalah laluan dari Kampung Seberang Balok di sini menghala ke Pelabuhan Kuantan dipercayai berpunca daripada hujan lebat dan banjir kilat baru-baru ini.

Seorang penghantar barang, Swee Lee, 40, mengakui jalan tersebut yang sebelum ini elok didapati berlubang dan semakin teruk susulan musim tengkujuh.

"Saya rasa jalan ini tidak dibina kukuh sebab itu mudah berlubang. Tayar van saya pernah pecah sebab masuk lubang tahun lepas,” katanya.

Pesara guru, Mariam Samad, 63, pula berkata, jalan berlubang boleh mendatangkan risiko kemalangan dan kerosakan pada kenderaan.Tambahnya, situasi itu sangat tidak selamat terutama kepada penunggang motosikal.

Mariam

"Keadaan akan bertambah teruk kalau memandu semasa hujan kerana permukaan jalan licin dan air bertakung,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Haluyah Hamed, 62, memberitahu ramai pengguna jalan raya menjadi mangsa terutama warga emas yang tidak nampak jalan itu rosak.

Haluyah

"Walaupun tidak cedera parah tapi sebagai penduduk di sini, kami perlukan jalan raya yang lebih baik,” ujarnya.

LUBANG BESAR

Di PASIR PUTEH, Kelantan, banjir yang melanda negeri ini bermula 19 Disember lalu memberi kesan kepada beberapa laluan utama di sini termasuk di Jalan Selising-Kok Lanas berhampiran Kampung Bukit Merbau.

Penduduk, Faridah Yusof berkata, arus air bukit yang deras menyebabkan jalan tersebut rosak teruk.

Jalan bertar di Kampung Bakong, Pasir Mas, Kelantan rosak akibat banjir baru-baru ini.

Tinjauan di jalan menghala ke bandar Pasir Puteh berhampiran Kampung Panggong Tiga Daerah, Bukit Abal mendapati kerosakan jalan raya lebih teruk lagi.

Pengguna, Kamarudin Che Hat berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera.

"Dengan jarak penglihatan terhad pada waktu malam, saya bimbang pengguna yang tidak biasa dengan laluan ini akan terlibat kemalangan,” katanya.

Di KUALA TERENGGANU, seorang kakitangan awam, Siti Jamilah Jamil, 38, berkata, jalan berlubang dan tidak rata jelas kelihatan selepas banjir surut minggu lalu termasuk di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu.

"Namun, beberapa hari lalu saya lihat lubang besar di jalan sudah ditampal. Tindakan pantas pihak berkenaan wajar dipuji walaupun belum diturap sempurna. Saya harap selepas musim tengkujuh semua kerosakan ini dapat dibaiki,” katanya.

TERBURUK

Tinjauan Sinar Harian di laman sosial Facebook, mendapati rata-rata pengguna meluahkan kekecewaan melihat keadaan jalan raya yang rosak akibat banjir di beberapa lokasi di seluruh negara.

Antaranya, pemilik akaun Facebook dengan nama Mohd Izzat berkongsi beberapa keping gambar kerosakan jalan raya pascabanjir di Kampung Gong Nering, Besut, Terengganu.

Mohd Izzat berkata, dia bersama rakan-rakannya turun padang dan menyaksikan sendiri keadaan jalan raya yang rosak di kawasan tersebut disebabkan arus air banjir yang sangat deras.

"Meninjau keadaan dan kemusnahan yang disebabkan banjir besar di kawasan yang terlibat banjir.

"Kenderaan pula bergelimpangan di parit-parit serta beberapa kemudahan asas seperti jalan raya rosak akibat arus banjir yang deras.

"Banjir kali ini merupakan yang terburuk, malah lebih buruk dari tahun 2014,” katanya.

Lubang yang terbentuk akibat tanah mendap di Jalan AU3 Taman Desa Keramat.

Pengguna akaun dengan nama Lan Tiger turut mempersoalkan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang didakwa kurang cekap dalam menjalankan tugas sehingga mengakibatkan rakyat terpaksa berdepan keadaan jalan raya yang tidak memuaskan.

"Malas nak cakap dah, sebab cakap pun tidak ada perubahan. Kenapa jalan yang elok diturap sedangkan jalan yang tidak elok dan berlubang dibiarkan.

"Tolonglah jangan menyusahkan masyarakat,” luahnya menerusi ruangan komen di Facebook.

Klik di sini untuk terus membaca