KERAJAAN tidak sewajarnya membubarkan Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) kerana kewujudannya terbukti berkesan bukan sahaja dalam mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) tetapi juga kes penyeludupan lain. Peguam, Norman... Klik di sini untuk terus membaca

KERAJAAN tidak sewajarnya membubarkan Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) kerana kewujudannya terbukti berkesan bukan sahaja dalam mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) tetapi juga kes penyeludupan lain.

Peguam, Norman Fernandez berkata, kejayaan pasukan khas yang ditubuhkan bagi melaksanakan Operasi Benteng (Op Benteng) ketika pandemik Covid-19 pada 2020 itu, dibuktikan apabila banyak kes penyeludupan khususnya PATI dapat dipatahkan sepanjang tempoh tersebut.

"Apabila sesebuah pasukan berjaya menghasilkan kejayaan, ia sepatutnya dikekalkan.

"Peranan yang dimainkan NTF ini bukan sahaja mengekang penularan jangkitan Covid-19 tetapi turut berjaya melakukan pelbagai rampasan dan tangkapan lain.

"Jelaslah di sini bahawa pasukan yang disertai 18 agensi penguat kuasa dan keselamatan kerajaan berfungsi penuh kerana adanya gabungan yang kuat untuk menjaga sempadan negara.

NORMAN

"Saya berharap kerajaan akan pertimbangkan semula keputusan untuk membubarkan NTF yang banyak menghasilkan kejayaan ini,” katanya kepada Sinar Harian.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan kerajaan untuk membubarkan NTF yang bertanggungjawab atas pengendalian Op Benteng sejak tahun 2020 berkuat kuasa esok.

Pembubaran NTF yang ditubuhkan pada 6 Mei 2020 itu, diumumkan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affandie Buang pada Rabu.

Pembubaran NTF diklasifikasikan sebagai tidak sesuai dengan situasi semasa negara yang masih berdepan dengan pencerobohan PATI melalui jalan darat dan perairan.

Op Benteng dilancarkan melalui kuasa yang diperuntukkan Akta 342 iaitu Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Mengulas lanjut, Norman yang juga pemerhati isu pelarian Rohingya sejak tahun 2015 berkata, keputusan pembubaran pasukan itu juga dilihat belum sesuai memandangkan perairan negara masih berdepan pencerobohan etnik dari Rakhine tersebut.

"Umum mengetahui sekarang merupakan musim pelayaran yang cukup baik untuk pendatang memasuki perairan negara.

"Pada pandangan saya, ia tidak sepatutnya dibubarkan dan saya percaya juga semua rakyat Malaysia setuju sekiranya kerajaan kekalkan NTF ini,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca