SHAH ALAM - Abang ‘Viva’ atau nama sebenarnya, Azwan Omar, 30, berkongsi pengalaman sememangnya ada berlaku kerosakan jalan terutama di kawasan yang arus air banjir mengalir deras sewaktu memberi bantuan ke kawasan terjejas.
Aktivis yang aktif dalam misi banjir itu berkata, keadaan jalan yang ditenggelami air itu memberi cabaran kepada beliau dan pasukannya dalam melakukan misi menyelamat di kawasan banjir.
"Semasa beri bantuan banjir ke Terengganu dan Pahang dengan menaiki kereta pacuan empat roda, kami ada melalui jalan yang mengalami kerosakan dan terasa kesan hentakan apabila melanggar lubang.
"Keadaan jalan memang banyak rosak malah ada jalan yang sudah ditampal menjadi rosak semula akibat banjir,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Tambah beliau, terdapat jalan menjadi pecah akibat arus deras sekali gus meruntuhkan jalan.
"Misi itu menjadi lebih mencabar dengan keadaan jalan seperti sedemikian,” katanya.
Justeru, Azwan berharap jalan yang rosak akibat banjir dapat dibaik pulih dengan segera bagi memudahkan urusan penduduk yang menggunakan laluan tersebut dalam kehidupan seharian.
"Memang perlu untuk betulkan jalan yang rosak itu dengan kadar segera sebab jalan berkenaan digunakan orang kampung dan penduduk sekitar untuk urusan kerja dan membeli barang.
"Tambah pula jika terjadi apa-apa kejadian seperti warga emas yang menunggang motosikal tidak perasan ada lubang dan kerosakan di jalan itu dan ia boleh membawa berlakunya kemalangan. Jadi perlu adanya pembaikan jalan secara cepat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azwan menceritakan pengalamannya membantu mangsa banjir di kawasan yang terjejas teruk.
"Semasa banjir berlaku di Terengganu pada minggu lepas, saya cari tempat yang terjejas teruk untuk menyelamatkan mangsa sekiranya ada yang terperangkap dan sambil itu mencari maklumat berkenaan mangsa yang terjejas untuk dibantu,” katanya.
Beliau menambah, bantuan berupa barangan dan makanan turut diberikan kepada golongan yang terjejas akibat banjir.
"Saya lebih suka tanya sendiri pada penduduk dan mangsa apa barangan yang mereka perlukan. Barulah saya akan keluar beli dan hantar terus kepada mereka,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca