BELUM pun 2023 membuka tirai, kisah perang teknologi tetap berlatarkan watak serupa iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China. Sebelum ini AS bimbangkan penguasaan Huawei dan menuduh gergasi komunikasi China itu mengintip kekuatan ‘Negara... Klik di sini untuk terus membaca

BELUM pun 2023 membuka tirai, kisah perang teknologi tetap berlatarkan watak serupa iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China.

Sebelum ini AS bimbangkan penguasaan Huawei dan menuduh gergasi komunikasi China itu mengintip kekuatan ‘Negara Uncle Sam’.

Sikap paranoid AS terus terserlah menjelang ambang penutup 2022.

Minggu lalu, AS mengeluarkan amaran tidak membenarkan semua aset komunikasi di pejabat kerajaan negara tersebut, khususnya telefon bimbit menggunakan aplikasi TikTok ciptaan syarikat China, ByteDance.

Langkah sekatan ke atas TikTok jelas menjadi usaha terbaharu AS untuk menghalang platform media sosial popular China itu daripada bermaharajalela.

Sehingga kini, dipercayai 19 daripada 50 negeri di AS termasuk New Jersey, Dakota, Maryland, South Dakota dan South Carolina telah menyekat penggunaan aplikasi TikTok daripada diakses oleh semua komputer di pejabat kerajaan.

Pentadbiran Presiden AS, Joe Biden mendakwa rakyat negara tersebut tidak menyedari banyak maklumat dikongsi melalui TikTok termasuk kenalan, kalendar, data lokasi dan tabiat tontonan.

Data ini boleh mengancam keselamatan negara. Rumah Putih percaya ancaman terbesar TikTok ialah penggunaan algoritma aplikasi untuk mengawal persepsi orang ramai, sekali gus mempengaruhi keputusan mereka.

TikTok ialah alat berbahaya digunakan Kerajaan China untuk perang maklumat, seterusnya melemahkan demokrasi dan masyarakat AS.

AS sangat yakin TikTok boleh mengancam keselamatan negara terbabit sehingga menyebabkan semua kandungan aplikasi berkenaan ditapis bagi mengelakkan ia menjadi bahan utama pengintipan.

Dalam reaksi balasnya, pakar TikTok menjelaskan tindakan terbaharu AS tidak akan menjejaskan bilangan anggaran lebih130 juta pengguna di negara tersebut.

Jawatankuasa Pelaburan Asing Kerajaan Amerika (CFIUS) iaitu sebuah badan keselamatan negara Amerika telah berbulan-bulan berusaha mencapai perjanjian keselamatan bagi melindungi data pengguna TikTok.

Namun, sehingga kini, tiada perjanjian rasmi telah ditandatangani. Penulis juga percaya Joe Biden tidak akan berlembut dalam perang teknologi kali ini.

Jelas sekali, AS sangat taasub dengan kepercayaan TikTok memiliki agenda tersembunyi sebagaimana Huawei.

Sebelum ini, AS menuduh Huawei - salah satu pembuat telefon pintar terbesar di dunia bersekongkol dan mempunyai hubungan perniagaan dengan Iran, yang berdepan sekatan ekonomi dunia.

AS juga menuduh Huawei dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Meng Wanzhou melakukan jenayah termasuk penipuan bank dan pencurian teknologi. Huawei bagaimanapun menolak keras dakwaan berkenaan.

Kegusaran AS telah menyebabkan Wanzhou ditahan di Vancouver, Kanada.

Serangan ke atas Huawei sebelum ini jelas telah mengurangkan pendapatan konglomerat China sebanyak 5.9 peratus sehingga suku kedua (Q2) 2022 atau sebanyak AS$44.8 bilion (RM198.1 bilion) berbanding AS$61.8 bilion (RM273.1 bilion) tempoh serupa tahun lalu.

AS PARANOID

Langkah mengharamkan TikTok untuk dilayari oleh semua aset rasmi kerajaan khususnya Rumah Putih membuktikan AS sangat serius dalam menangani perang teknologi terhadap China.

Reaksi terhadap penggunaan TikTok, teknologi 5G dan penguasaan Huawei jelas membuktikan AS tidak akan berkompromi pada 2023.

Penulis percaya AS masih memantau perkembangan teknologi 5G yang diterajui China. Ketika ini, China mendakwa menguasai sepenuhnya teknologi 5G yang menyasarkan kadar data tinggi, kependaman dikurangkan, penjimatan tenaga, pengurangan kos, keupayaan sistem lebih tinggi dan sambungan peranti besar-besaran.

Teknologi 5G juga boleh memastikan sebuah kereta dibawa tanpa pemandu atau robot melakukan pembedahan tanpa bantuan.

Sebenarnya, perang teknologi AS-China disebut ALLAH SWT dalam Surah al-An’am ayat [6:108] yang diterjemahkan bermaksud, "Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain ALLAH, kerana mereka nanti akan memaki ALLAH dengan melampaui batas tanpa pengetahuan (kamu).

"Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembalinya mereka, lalu Dia (ALLAH) memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.”

Senario terbaharu ini pasti memberi keuntungan kepada pesaing TikTok. Penulis percaya konglomerat AS seperti Facebook (Meta), YouTube, Google dan Snap akan meraih keuntungan besar rentetan larangan TikTok.

Apakah kesan pengharaman ke atas TikTok di AS yang boleh dipelajari oleh Malaysia?

Penulis meramal TikTok akan terus bermaharajalela di Malaysia dan pengharaman aplikasi tersebut di AS tidak akan memberi kesan besar di peringkat global.

Penulis percaya AS sangat paranoid dan bimbang kek penguasaan perang teknologi akan direbut atau didominasi sepenuhnya oleh China.

Kesimpulannya pengharaman TikTok umpama ‘ribut kecil di dalam sebuah cawan besar’ dan China pasti boleh menangani perang teknologi yang dikongsi bersama AS dalam layar cerita 2023.

* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)

Klik di sini untuk terus membaca