SHAH ALAM - Mana-mana struktur jalan raya di negara ini akan terjejas sekiranya berlaku banjir yang melibatkan takungan air dalam tempoh masa lama meskipun dibina dengan spesifikasi yang betul. Pengarah Kejuruteraan Keselamatan Jalan Raya... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Mana-mana struktur jalan raya di negara ini akan terjejas sekiranya berlaku banjir yang melibatkan takungan air dalam tempoh masa lama meskipun dibina dengan spesifikasi yang betul.

Pengarah Kejuruteraan Keselamatan Jalan Raya dan Persekitaran, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Ir Ts Dr Muhammad Marizwan Abdul Manan berkata, jalan raya di negara ini dibina sesuai dengan iklim di Malaysia dengan fungsi serapan air dan ia perlu dialirkan keluar dengan kadar segera.

Justeru menurutnya, risiko kerosakan akan lebih tinggi sekiranya lebih lama jalan raya ditenggelami air kerana ia membabitkan struktur asas yang berada di bahagian bawah.

"Jalan raya kita perlu dibina yang mudah serap dah mudah keluarkan air kerana lagi lama kita tampung air, lagi mudah jalan rosak seperti berlubang, tidak rata dan retak.

"Jika tidak buat jalan dengan sebaiknya, asasnya juga tidak betul dan tidak mampat misalnya, jalan raya memang akan mudah rosak,” katanya.Namun jelasnya, sekiranya ia dibina dengan memenuhi spesifikasi sekalipun, risiko kerosakan jalan tetap boleh berlaku jika air yang diserap tidak mengalir dalam tempoh yang lama.

"Bagi jalan-jalan kampung misalnya, jika tenggelam dalam tempoh 24 jam atau dua hari pun sudah boleh terjejas.

"Berbeza bagi struktur lebuh raya, jika air bertakung, mungkin masih boleh bertahan dalam lima hari (tanpa beri kesan kerosakan ketara),” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keadaan jalan raya di negara ini susulan pascabanjir yang dibimbangi memberi risiko keselamatan kepada masyarakat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keadaan struktur jalan raya di kawasan bandar adalah berbeza kerana kebanyakan tidak dibina atas tanah semula jadi, sebaliknya di atas sistem utiliti dan konkrit.

Justeru katanya, adalah penting bagi memastikan sistem saliran air diselenggara dengan baik kerana secara asasnya, permukaan jalan raya yang menyerap air perlu dialirkan keluar melalui sistem saliran berkenaan.

"Pemantauan keadaan jalan raya perlu dibuat sebaik sahaja air surut. Kerosakan jalan tidak akan kelihatan serta-merta. Mungkin dalam dua ke tiga minggu baru nampak ada jalan retak disebabkan binaan asas di bawahnya sudah terhakis.

"Jadi pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu tahu lokasi jalan raya terlibat banjir, dan berapa lama ditenggelami air untuk melakukan penyelenggaraan sewajarnya. Bukan sekadar turap di permukaan jalan sahaja tanpa ambil kira struktur asas di bahagian bawah tanah,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca