SEMASA kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengundang keempat-empat calon Parlimen Indera Mahkota ke satu Debat Perdana. Sayangnya hanya saya yang hadir pada masa ditetapkan. Saya menganggap debat... Klik di sini untuk terus membaca

SEMASA kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengundang keempat-empat calon Parlimen Indera Mahkota ke satu Debat Perdana. Sayangnya hanya saya yang hadir pada masa ditetapkan.

Saya menganggap debat tersebut penting atas dua sebab. Pertama, ia memberi peluang kepada pengundi-pengundi menilai calon-calon dari segi apa yang dijanjikannya dan gambaran bagaimana beliau akan membahasnya di Dewan Rakyat.

Dan kedua, ia pentas membawa diskusi politik ke peringkat yang lebih tinggi – politik ilmu iaitu sebahagian daripada politik baharu yang saya bicarakan sejak 2006.

Pada 2012, ketika anggota Majlis Tertinggi UMNO dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, saya dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengambil bahagian dalam Debat Sinar Harian.

Saya menganggap Salahuddin, kini Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, lawan yang layak (worthy opponent).

Beliau berilmu dan penyampaiannya baik serta berhemah.

Di Dewan Rakyat, ketika saya Menteri Komunikasi dan Multimedia, beliau pernah menyanggah saya dengan begitu tegas tetapi berhemah. Saya menjawabnya dengan berhemah juga.

BAIK UNTUK DEMOKRASI

Kita tidak mempunyai banyak kisah debat politik. Antara yang pernah diadakan ialah Anwar Ibrahim lawan Ahmad Shabery Cheek (2008), Lim Guan Eng lawan Koh Tsu Koon (2008), Khairy Jamaluddin lawan Rafizi Ramli (2012) dan Najib Razak lawan Anwar Ibrahim (2022).

Debat politik kita dianjur secara ad hoc. Belum ada yang berkala seperti Debat Calon-calon Presiden Amerika Syarikat (AS).

Di Dewan Rakyat, kita tiada sesi ‘Soalan untuk Perdana Menteri’ seperti United Kingdom (UK).

Justeru, tiada sesi PM dan Ketua Pembangkang berdebat secara bersemuka. Kita belum mempunyai sistem Kabinet Bayangan yang memungkinkan perdebatan antara menteri dan menteri bayangannya.

Tetapi kita masih mempunyai ruang-ruang untuk perdebatan.

Namun, ia terhad iaitu ketika ‘soalan tambahan’ kepada menteri ketika Soalan Lisan, ‘pencelahan’ kepada Menteri / Ahli Dewan Rakyat (ADR) yang berucap dan jawapan atau bidasan oleh seseorang Menteri / ADR dalam sesi-sesi seperti Perbahasan Titah Diraja dan Perbahasan Belanjawan.

Walaupun semuanya lebih merupakan soalan pendek dan penjelasan atau lebih merupakan berlawan pidato daripada berdebat.

Apa pun pokoknya, debat politik baik untuk demokrasi. Debat adalah wahana untuk mengemukakan idea, membidas atau mempertahankannya bagi menghasilkan idea yang lebih baik.

Malah, ia antara teras disiplin dan budaya ilmu serta digunakan dalam pelbagai bidang.

Ia antara pendekatan dakwah Islamiah, contohnya melalui surah an-Nahl:125: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka (yang engkau seru itu) dengan cara yang lebih baik...”

Tradisi Islam kaya dengan perdebatan ilmu yang hebat, yang menghasilkan buku-buku besar.

Jadi, tidak timbul soal ‘debat bukan budaya kita’, sebaliknya ia perlu disemarakkan.

* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang

Klik di sini untuk terus membaca