SHAH ALAM - Kerajaan persekutuan dan negeri digesa untuk mengenal pasti jalan-jalan berisiko rosak disebabkan kejadian banjir yang melanda di beberapa buah negeri. Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan persekutuan dan negeri digesa untuk mengenal pasti jalan-jalan berisiko rosak disebabkan kejadian banjir yang melanda di beberapa buah negeri.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Teik Hua berkata, antara jalan-jalan yang berisiko itu adalah seperti jalan persekutuan dan di tepi pantai.

Katanya, selepas kerajaan mengenal pasti jalan yang berisiko itu, ia seharusnya ditutup untuk mengelakkan daripada berlakunya kejadian tidak diingini menimpa pengguna.

"Ini disebabkan selepas berlakunya banjir, struktur jalan itu akan menjadi lembut dan mungkin ada yang pecah atau berlubang.

"Bagi kenderaan seperti kereta dan lori, ia amat berbahaya kepada mereka sekiranya melalui kawasan berkenaan.

"Adalah amat penting mereka mengenal pasti jalan yang ada masalah dan menutupnya demi keselamatan pengguna,” katanya.

Teik Hua menambah, selepas jalan itu ditutup, satu laluan alternatif perlu dicadangkan agar pengguna dapat melalui jalan lain bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Selain itu katanya, satu pasukan juga perlu dihantar oleh pihak seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi membaiki jalan yang rosak tersebut.

"Kena kenal pasti tempat-tempat yang berbahaya itu dan mesti ikut turutan kepentingan untuk pembaikan,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca