SHAH ALAM - Sindiket penyeludupan migran dikesan mengaut untung berjuta ringgit hingga mampu menjerat pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan ganjaran ‘duit tepi’. Siasatan mendapati nilai bayaran rasuah yang ditawarkan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sindiket penyeludupan migran dikesan mengaut untung berjuta ringgit hingga mampu menjerat pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan ganjaran ‘duit tepi’.

Siasatan mendapati nilai bayaran rasuah yang ditawarkan lingkungan RM500 bagi setiap seorang migran yang dilepaskan.

Namun, jumlah ini adalah tidak tetap dan bergantung kepada kemudahan, pengangkutan, kesukaran, risiko keselamatan serta destinasi yang dituju.

Difahamkan sindiket terbabit akan berusaha untuk berkenalan dan berbaik dengan pegawai imigresen dan menawarkan ubah suai kereta termasuklah ‘hadiah’ sport rim mahal selain menyediakan tempat sambutan hari jadi di hotel mewah.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, wang ringgit bukan menjadi masalah kepada sindiket untuk ‘melabur’ kepada pegawai terbabit di mana nilai itu adalah berdasarkan kompleksiti perkhidmatan yang ditawarkan.

Khairul Dzaimee

"Ini antara cara sindiket membina hubungan dengan pegawai berkenaan dengan pelbagai cara antaranya tukar sport rim kereta. Ada juga laporan yang saya terima di mana pegawai terbabit meraikan hari jadi dalam majlis mewah sedangkan diketahui statusnya kemampuannya adalah sebaliknya,” katanya dalam satu temu bual eksklusif kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan terdapat bekas pegawai yang dibuang kerja masih mempunyai hubungan dengan pegawai yang masih bertugas.

"Di situ, bekas pegawai ini akan memperkenalkan rakan kepada sindiket untuk melakukan urusan ‘deal’ ganjaran dengan bayaran tertentu RM500 bagi melepaskan migran terutama di KLIA atau KLIA2.

"Migran dikesan masuk melalui pintu masuk sah seperti KLIA atau KLIA2 dengan menggunakan pasport sah dari negara asal biar pun mereka telah disenarai hitam oleh JIM.

"Di sini peranan sindiket bermula iaitu pegawai yang dirasuah itu akan mengecap pada pasport migran berkenaan, namun tidak direkod di dalam sistem agar tiada rekod kemasukan.

"Satu cara lagi melibatkan pegawai berpengalaman di mana mereka akan menunggu migran tiba dan dibawa melepasi kaunter imigresen melalui lorong tertentu yang pegawai ini sahaja yang tahu tanpa sebarang cap,” dedahnya.

Tambah beliau, ada juga dikesan migran yang tiba ini tidak akan terus ke kaunter pemeriksaan imigresen sebaliknya berkeliaran dan menyorok dalam tandas selama empat hingga lima jam untuk menunggu pertukaran syif pegawai yang bersekongkol.

Ujarnya, imigresen percaya urusan ganjaran itu dibuat secara transaksi dalam talian serta tunai.

MODUS OPERANDI SAMA

Dalam pada itu, beliau menjelaskan modus operandi penyeludupan migran melalui jalan laut, udara atau darat adalah sama.

"Pertama, sindiket akan mendapatkan kerjasama daripada pegawai imigresen itu sendiri.

"Keduanya, dalang akan menyediakan kemudahan pengangkutan diikuti penyediaan tempat tinggal sementara atau rumah penampungan di lokasi tertentu.

"Keempat ada pengatur iaitu berperanan bagi memastikan migran terbabit untuk bekerja di mana-mana tempat,” ujar beliau.

Kerja kampung, tapi ‘transporter’Kata Khairul Dzaimee, sindiket terbabit juga ibarat satu organisasi terancang yang memiliki banyak pasukan.

"Sumber risikan imigresen mendapati mereka menggunakan pelbagai strategi untuk melancarkan aktiviti penyeludupan.

"Berdasarkan rekod tangkapan di Kelantan, lapan lelaki tempatan ditahan berusia 17 hingga 37 tahun mengaku hanya melakukan kerja-kerja kampung, namun sebaliknya adalah transporter kepada migran yang masuk.

Antara migran warga Indonesia yang ditahan imigresen di KLIA2, Sepang pada 9 Disember.

"Jaringan sindiket sudah tentu mempunyai hubungan dengan negara luar kerana kegiatan mereka terancang,” jelasnya.

Ujar beliau lagi, sudah tentu sindiket di pihak negara luar telah menyediakan kemudahan pengangkutan untuk masuk ke Malaysia.

"Apabila tiba di sini (Malaysia), tekong darat mainkan peranan termasuklah mengetahui hari dan masa ketibaan,” katanya.

TUMPAS SINDIKET

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee berkata, Bahagian Risikan dan Operasi Khas di bawah JIM yang berjaya mengesan dan menumpaskan beberapa sindiket penyeludupan imigran.

"Buktinya pada tahun 2022 selepas sempadan negara dibuka pada April lalu, pasukan khas ini berjaya menumpaskan lima sindiket terdiri daripada 90 lelaki dan 29 wanita menerusi serbuan di Johor, Kelantan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kuala Lumpur serta Selangor.

"Suspek turut membabitkan empat pegawai imigresen berusia 27 hingga 46 tahun yang bertugas di kaunter imigresen.

"Seorang pegawai ini ditahan menerusi operasi di Johor manakala tiga lagi di KLIA,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, daripada jumlah sindiket yang ditumpaskan, warga Indonesia seramai 42 orang, India (8), Kemboja (1), Myanmar (52) serta 16 warga tempatan selain rampasan 14 buah kenderaan yang digunakan bagi mengangkut migran terbabit.

Klik di sini untuk terus membaca