POLEMIK kewajaran jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan atau sebaliknya pada pemilihan parti tahun hadapan semakin memuncak apabila beberapa ketua bahagian berbeza pandangan mengenai cadangan usul itu.
Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Mohd Zain Yasim berkata, beliau bersetuju dengan pandangan dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan pada pemilihan UMNO kali ini.
Ujarnya, ia memandangkan aspek paling penting yang perlu dipertahankan akar umbi dan kepimpinan parti pada saat ini adalah kestabilan UMNO dan politik negara sendiri.
"Kalau berlaku pertukaran tampuk kepimpinan parti oleh pemimpin UMNO lain, ada kemungkinan ketidakstabilan politik yang mengganggu negara pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), akan berulang kembali.
"Semua pemimpin dan akar umbi UMNO perlu sedar, walaupun kita terbukti menjadi king maker menentukan pembentukan kerajaan campuran baharu, hakikat kita sekadar parti minoriti tidak boleh dipertikaikan lagi.
"Cukuplah episod perebutan kuasa dan membalas dendam.
"Kita perlu perbetulkan sikap pemimpin sedia ada, kena saling bermaafan dan tumpukan sepenuh perhatian untuk stabilkan kembali UMNO kerana usaha untuk bangkit pada PRU16 mesti bermula dari sekarang,” tegasnya kepada Sinar Premium pada Jumaat.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pandangan beberapa pemimpin UMNO yang mendesak agar dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan demi memastikan kesatuan dalam parti.
Buat masa ini, tiada mana-mana pihak atau UMNO bahagian membuat ketetapan itu melainkan cadangan daripada Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.
Bagaimanapun, sebilangan akar umbi parti berpandangan kedua-dua jawatan itu wajar dipertandingkan demi menyuburkan demokrasi di dalam parti.
Pada Isnin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan, parti belum memutuskan mengenai perkara tersebut dan ia hanya dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Bagaimanapun, tiga ketua UMNO bahagian dari Johor dan Perak, berbeza pandangan serta melihat kewajaran dua jawatan tertinggi parti dipertandingkan atas beberapa alasan berlainan.
PEMBAHARUAN DALAM PARTI
Bagi Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Zahari Sarip, walau dalam apa situasi dihadapi ketika ini, parti seharusnya memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk bertanding merebut apa jua jawatan dipertandingkan demi mengukuhkan amalan demokrasi dalam parti.
Mengakui cadangan itu mungkin mewujudkan pro dan kontra, Zahari melihat perkara terbaik perlu dilakukan UMNO adalah memberi ruang dan peluang bersuara serta membuat pembaharuan dalam parti bagi memacu UMNO ke arah lebih baik.
Beliau turut mendedahkan kemungkinan besar usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan dalam pemilihan kali ini, tidak tersenarai dalam cadangan usul yang akan dikemukakan MKT dalam satu Perhimpunan Agung Luar Biasa (EGM) yang bakal diadakan sebelum pelaksanaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 bermula 14 Januari 2023.
"Saya enggan ulas spekulasi kebimbangan jika tampuk kepimpinan baharu mengambil alih dua jawatan utama UMNO, peralihan sokongan UMNO daripada kerajaan sedia ada akan berlaku.
"Paling penting, parti kena suburkan amalan demokrasi lebih-lebih lagi UMNO masih dalam proses pemulihan susulan sekadar menang 26 kerusi Parlimen pada PRU15.
"Biar ahli buat keputusan dan tidak sewajarnya amalan demokrasi dalam parti disekat,” katanya.
YAKIN ZAHID AKAN MENANG
Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat pula mengakui ia bukan isu besar sehingga memerlukan satu cadangan usul untuk tidak mengadakannya.
Dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terbukti menerima sokongan padu lebih 120 ketua bahagian di seluruh negara sebelum dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau yakin Ahli Parlimen Bagan Datuk itu akan menang selesa pada pemilihan parti kelak.
"UMNO sudah ada budaya tidak mempertandingkan jawatan penting parti sebelum ini dan ia dipecahkan sewaktu Ahmad Zahid menang jawatan Presiden UMNO pada pemilihan tahun 2018.
"Saya fikir kalau jawatan itu dipertandingkan pun tidak apa kerana Ahmad Zahid terbukti masih relevan. Cuma biarlah proses pemilihan dijalankan secara kekeluargaan, jangan ada serangan peribadi terhadap pihak tertentu.
"Jika dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan, rakyat akan menganggap UMNO bersifat diktator dan mengamalkan demokrasi tertutup.
"UMNO Perak percaya Ahmad Zahid seorang gentleman dan pasti mendapat sokongan padu akar umbi parti kelak,” luah Sham.
Dalam pada itu, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz berpandangan perlaksanaan proses pemilihan parti melibatkan kesemua jawatan seperti biasa tidak akan mengganggu gugat kestabilan dalam UMNO, dan kerajaan Perpaduan.
"Saya tidak rasa akan berlaku peralihan sokongan 30 ahli Parlimen Barisan Nasional daripada kerajaan sedia ada sekiranya tampuk kepimpinan baharu mengambil alih.
"Saya percaya akar umbi akan teguh menyokong Presiden UMNO kekal pada pemilihan akan datang kerana pada PRU15 kita bukan menang semua dan kalah semua.
"Kalau kita bendung proses pemilihan, ia akan menjadi masalah lain dengan UMNO kena berlaku jujur dan peka terhadap sentimen serta persepsi rakyat,” tegas Zaidi.
Klik di sini untuk terus membaca