MENEMUI mayat ibu berpelukan dengan bayi menjadi satu momen yang amat memilukan kepada petugas operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi Batang Kali. Itu antara detik yang dikongsikan Pegawai Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan... Klik di sini untuk terus membaca

MENEMUI mayat ibu berpelukan dengan bayi menjadi satu momen yang amat memilukan kepada petugas operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi Batang Kali.

Itu antara detik yang dikongsikan Pegawai Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Juyana @ Azlan Musa.

Menurutnya, sebagai manusia biasa sudah tentu amat sedih apatah lagi semasa pencarian yang berjaya menemukan satu mayat bayi berpelukan bersama ibunya.

"Saya dan seluruh anggota SAR harus mengawal emosi masing-masing dan bertekad untuk meneruskan kerja-kerja mencari sehingga kesemua mangsa berjaya ditemui.

"Pada peringkat awal, saya temui bayi berpelukan dengan ibunya di dalam sebuah khemah.

"Kami kawal emosi ketika itu, apatah lagi melihat ahli keluarga mangsa,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian.

Keadaan di lokasi tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Genting-Batang Kali. - FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR

Menceritakan saat penemuan mayat mangsa terakhir, Juyana berkata, jasad kanak-kanak lelaki berkenaan ditemui di kedalaman dianggarkan sedalam 1.5 meter berhampiran tebing di sektor A (hillview) pada jam 4.53 petang pada 24 Disember.

Menurut Juyana, mayat kanak-kanak itu ditemui sekitar empat meter dari tapak asal khemah sebelum ditimpa tanah runtuh.

"Saya mendapat ilham berhubung keberadaan mangsa terakhir selepas terjaga daripada tidur semasa sedang berehat di lokasi.

"Ketika itu, saya terbayangkan keadaan di mana kami semua berjaya menemukan kesemua mangsa tragedi ini, dan dari situ ilham untuk mencari mangsa datang. Ia bagaikan satu petunjuk baharu untuk teruskan usaha pencarian sehinggalah saya ternampak cecair hitam,” katanya.

Susulan itu, beliau lantas memaklumkan perkara berkenaan kepada pasukan sebelum kerja pengorekan dilakukan.

"Saya bersama beberapa anggota lain terus mengorek pada kedudukan cecair itu dan telahan saya tepat apabila menemukan kain.

"Lantas saya menarik kain tersebut, dan ketika itu saya terhidu bau yang amat kuat, pengorekan kemudiannya diteruskan sehingga kami berjaya menemukan mayat terakhir ini,” ceritanya.

Anggota bomba dan polis membawa keluar mayat terakhir mangsa tragedi tanah runtuh dari tapak perkhemahan di Father's Organic Farm Batang Kali. - Foto Bernama

Kata Juyana, sejak dari awal, sebagai pasukan penyelamat memang diterapkan dengan sikap tidak berputus asa dalam usaha menyelamatkan mangsa.

"Walaupun tidak temui mangsa dalam keadaan hidup, paling tidak kita jumpa jasad untuk dibawa pulang kepada keluarga mangsa.

"Walaupun masuk hari ketiga, keempat operasi mencari dan menyelamat, saya masih berharap dapat jumpa mangsa dalam keadaan bernyawa. Ia tak mustahil boleh berlaku.

"Bagaimanapun, sebagai seorang anggota pasukan penyelamat, emosi perlu dikawal semasa menjalankan tugas walaupun kadang kala terpaksa berhadapan dengan situasi menyayat hati,” ujar beliau.

Pengalamannya selama 28 tahun sebagai anggota bomba banyak membantu dirinya mengatasi emosi diri di kala menghadapi situasi yang mengerikan di setiap operasi SAR.

Ujar Juyana, tiada sebarang petua dan amalan yang diamalkannya melainkan berdoa sebelum setiap kali misi pencarian mangsa dimulakan.

DIGIGIT PULUHAN PACAT

Pengalaman digigit puluhan pacat pada bahagian kaki sehingga terpaksa mendapatkan rawatan bagi mengelakkan jangkitan kuman antara detik yang tidak dapat dilupakan salah seorang anggota JBPM Selangor yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat mangsa di Batang Kali.

Pegawai Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang, Rizaltul Ikhwan Ramli berkata, kejadian tersebut berlaku pada hari keempat operasi SAR dijalankan melibatkan sepanjang anak sungai menuju Sungai Kedondong.

Menurut Rizaltul Ikhwan, ketika itu beliau bersama beberapa rakan anggota yang lain ditugaskan untuk melakukan teknik sweeper di lokasi kejadian.

"Kaedah sweeper ini dijalankan pada hari keempat tragedi memandangkan pada peringkat awal dikhuatiri mangsa dibawa runtuhan sehingga ke kawasan sungai.

"Usaha dijalankan di kawasan sungai melibatkan kawasan tepi, gigi serta dasar sungai dengan andaian faktor kemungkinan ada mangsa dihanyutkan ke sungai,” katanya.

Beliau kemudian mendapati kakinya digigit puluhan pacat apabila selesai melakukan tugasan.

"Selepas tugasan selesai, saya dan beberapa anggota lain kemudiannya memanaskan diri di lokasi berhampiran sungai dengan membuat unggun api.

"Masa itu, saya rasa gatal dan pedih seakan-akan mencucuk pada bahagian kaki sehingga betis, bila dibuka seluar yang dipakai, saya lihat puluhan ekor pacat melekat pada kedua-dua bahagian kaki saya," katanya.

Rizaltul Ikhwan berkata, dia kemudian pergi ke klinik bagi mendapatkan rawatan susulan.

"Saya kemudian menerima rawatan, dan diberikan ubat bagi mengelakkan kesan gigitan melarat,” katanya.

Biarpun usaha pencarian di sekitar kawasan anak sungai itu tidak menemui sebarang petanda, namun beliau lega kerana kesemua mangsa yang hilang telah berjaya ditemui.

"Pencarian kami tidak menemukan mangsa disebabkan kesemua mangsa ditemukan di kawasan runtuhan, bagaimanapun kami tetap bersyukur kerana operasi SAR ini berjaya,” katanya.

UJI KEUPAYAAN

Kejadian yang mengorbankan seramai 31 individu terdiri daripada kanak-kanak dan dewasa merupakan insiden terbesar pada tahun ini melibatkan jumlah mangsa yang ramai.

Tragedi itu juga menguji keupayaan JBPM Selangor sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab dalam misi SAR mangsa yang terlibat.

Beberapa peristiwa penting yang melibatkan bencana alam di negara ini membolehkan tahap kesiapsiagaan pihak bomba berada pada tahap terbaik.

JBPM Negeri Selangor turut dibantu oleh pasukan bomba dari Pahang, Negeri Sembilan, Pahang dan Putrajaya.

Menurut Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor, tragedi itu disifatkan antara insiden tanah runtuh yang terbesar pada tahun ini yang mana melibatkan jumlah mangsa seramai 92 orang.

Hafisham

Menurutnya, langkah awal yang diambil dari segi operasi SAR pada hari pertama kejadian adalah mencari seberapa ramai mangsa yang terselamat.

"Bomba Selangor menggerakkan beberapa pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat dari kawasan Kuala Kubu Bharu, Rawang, Selayang selain dibantu oleh pasukan bomba dari Pahang.

"Bila tiba di lokasi biar pun dengan keadaan yang agak sukar melibatkan faktor keadaan fizikal lokasi kejadian, namun dengan persediaan awal yang diambil, kita berjaya mengatasinya,” kata beliau kepada Sinar Harian menerusi sesi temu bual eksklusif di Ibu Pejabat JBPM Selangor.

FAKTOR KESELAMATAN

Hafisham memberitahu, anggota bomba turut digerakkan bagi memeriksa keadaan lokasi bagi memastikan tiada risiko tidak diingini misalnya kemungkinan berlakunya runtuhan susulan di lokasi kejadian.

"Pasukan ini akan melakukan penilaian sama ada lokasi pencarian mangsa tragedi ini selamat atau sebaliknya.

"Selepas pemeriksaan dijalankan dan dipastikan semuanya berada dalam keadaan selamat, barulah anggota penyelamat akan dibenarkan memasuki kawasan tragedi,” ujarnya.

Menurut beliau, selain itu faktor cuaca dan keadaan fizikal termasuk permukaan tanah turut diambil kira bagi memastikan tugas SAR berjalan lancar.

"Hujan yang berlaku boleh mengakibatkan risiko berlakunya pergerakan tanah yang akan merisikokan nyawa anggota penyelamat.

"Dalam situasi ini, kita akan menghentikan sementara tugas SAR dan akan menyambung semula apabila keadaan tidak berisiko.

"Dalam apa jua situasi, kita akan mengutamakan keselamatan anggota penyelamat yang terlibat, sekiranya aspek ini diabaikan sekali gus dibimbangi berlakunya kejadian tidak diingini,” katanya.

JENTERA PENGOREK

Kata Hafisham, jentera akan menjalankan pengorekan di kawasan yang ditandakan terlebih dahulu dengan dibantu oleh anggota penyelamat.

"Pengorekan akan dijalankan sehingga menemukan tanda-tanda melibatkan barangan dipercayai milik mangsa seperti pakaian atau khemah mengikut kedalaman yang ditetapkan.

Pengorekan dijalankan sehingga menemukan tanda melibatkan barangan dipercayai milik mangsa seperti pakaian atau khemah mengikut kedalaman yang ditetapkan. - FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR

"Kemudian pengorekan akan dihentikan sebelum anjing pengesan digunakan untuk mengesan kemungkinan terdapatnya mangsa yang tertimbus, sekiranya ada, pengorekan secara manual akan dijalankan oleh anggota penyelamat,” katanya.

Tambah beliau, penggunaan jentera pengorek dilaksanakan dengan penuh berhati-hati dan mengikut prosedur yang ditetapkan bagi mengelakkan terkena mangsa yang tertimbus.

"Kaedah ini bukan sesuatu yang mudah, ia melibatkan dari segi ketebalan tanah sebelum pengorekan dilaksanakan.

"Sebab itu, kesemua mayat mangsa yang ditemui dalam keadaan yang cukup sifat dan sempurna,” katanya.

SAR BATANG KALI PENANDA ARAS

Beliau berkata, SAR kali ini melibatkan kerjasama dan komitmen yang padu di antara agensi terlibat.

"Ratusan anggota dari pelbagai agensi terlibat termasuk 11 jentera pengorek dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pihak swasta.

"Selain itu, khidmat unit anjing pengesan (K9) melibatkan pihak bomba, ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Operasi SAR kali ini melibatkan kolaborasi dan komitmen yang terbaik daripada agensi-agensi terlibat sekali gus merupakan satu tanda aras bagi mana-mana operasi SAR setakat ini,” katanya.

Unit Anjing Pengesan (K-9) bernama Grouse (kiri) dan Denti (kanan) yang terlibat dalam operasi mencari mangsa tanah runtuh di Father's Organic Farm Batang Kali. - Foto Bernama
Klik di sini untuk terus membaca