ESOK kita akan menyambut tahun baharu 2023. Pernyataan klise setiap kali ketibaan tahun baharu ialah ‘cepatnya masa berlalu’, ‘alamak, tak rancang apa pun lagi’, ‘azam tahun lepas banyak lagi tidak tercapai’ dan pelbagai lagi... Klik di sini untuk terus membaca

ESOK kita akan menyambut tahun baharu 2023. Pernyataan klise setiap kali ketibaan tahun baharu ialah ‘cepatnya masa berlalu’, ‘alamak, tak rancang apa pun lagi’, ‘azam tahun lepas banyak lagi tidak tercapai’ dan pelbagai lagi pernyataan yang diulangi hampir saban tahun.

Hakikatnya, sama ada kita bersedia atau tidak, hari akan berganti hari sehinggalah tahun berganti tahun.

Bagi mereka yang sentiasa bersedia dari segi fizikal, mental dan emosi untuk mengharungi tahun baharu, sekalung penghargaan tinggi kepada anda yang sentiasa serius menangani soal kehidupan.

Bagi mereka yang masih tercungap-cungap untuk melepasi garisan tahun baharu, perlu gigih muhasabah diri dan merancang kehidupan dengan lebih teratur serta sistematik.

Sebetulnya, punca ketara seseorang itu gagal merancang hidup dengan baik kerana gagal menguruskan tabiat buruk mereka dengan bersungguh-sungguh.

Sepintas lalu, antara tabiat buruk berkaitan dengan perancangan hidup ialah suka bertangguh, menyalahkan orang lain, mudah mengalah dan tidak fokus.

Berkaitan dengan tabiat manusia, falsafah Confucius menegaskan: "Berhati-hati dengan pemikiran anda kerana akan menjadi kata-kata anda, berhati-hati dengan kata-kata anda kerana akan menjadi sikap anda dan berhati-hati dengan sikap anda kerana akan menjadi tabiat anda.”

Ia bermakna tabiat buruk adalah hasil daripada pemikiran, kata-kata dan pengulangan sikap yang tidak baik.

Falsafah tersebut adalah selari dengan perspektif psikologi bahawa tabiat merupakan suatu tingkah laku yang dipelajari dan tercetus mengikut sesuatu konteks atau keadaan.

Sebagai contoh, kita secara automatik akan memberus gigi sebagai rutin harian setiap pagi. Yang jelas, rutin tersebut tidak melibatkan niat secara sedar dan perancangan khusus untuk melakukannya. Begitu jugalah tabiat mengumpat dan buruk sangka.

Tabiat itu boleh menjadi baik, buruk dan neutral. Secara prinsipnya terdapat tiga jenis tabiat iaitu tabiat produktiviti, tabiat fizikal dan tabiat mental.

Tabiat produktiviti adalah berkaitan segala rutin, proses dan prosedur dalam menyiapkan sesuatu tugasan atau matlamat, manakala tabiat fizikal melibatkan cara dan kaedah kita menyusun latihan kecergasan serta memilih pemakanan berkhasiat dan seimbang.

PEMIKIRAN

Tabiat mental pula melibatkan perencanaan pemikiran kita terhadap kehidupan dan menangani isu-isu perhubungan dengan individu serta persekitaran.

Pun begitu, tabiat buruk tidak akan dapat dibasmi dengan sepenuhnya jika kita tidak memperkasakan akal fikiran kita. Tanpa ilmu, pemikiran akan menjadi dangkal, dungu dan diselaputi oleh kejahilan.

Berkaitan dengan pertalian akal dan kejahilan dengan kehidupan, Buya Hamka pernah mengupas hal tersebut dengan begitu jelas menerusi bukunya, Falsafah Hidup.

Menurut beliau - "Erti kata akal adalah ikatan. Ibarat tali mengikat unta, akal mengikat manusia. Jadi, sebagaimana tali mengikat unta supaya tidak lari, akal manusia mengikatnya pula supaya tidak lepas mengikuti hawa nafsunya.

"Akal pula bukanlah suatu sifat yang berdiri sendiri tetapi hasil daripada tiga sifat iaitu fikiran, kemahuan dan perasaan.

"Lawan akal dan ilmu adalah kejahilan. Kejahilan itu ialah alamat bekunya perasaan dan lemahnya otak. Buta hati lantaran jahil lebih berbahaya daripada buta mata.”

Pada hemat saya, tabiat buruk yang sangat perlu diatasi ialah malas untuk berfikir dan beramal soleh. Sesungguhnya, pemikiran yang waras terbit daripada tabiat suka mencari ilmu, manakala ketenangan diri hadir daripada tabiat istiqamah beramal soleh.

Daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya ALLAH SWT mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.” (Hadis Riwayat al-Tabarani).

Beriltizamlah membina tabiat yang baharu demi kesejahteraan hidup.

* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca