PILIHAN raya telah berakhir. Namun, sembang-sembang mengenai Malaysia sedang menuju kepada sebuah negara yang terpisah secara etnik masih belum berakhir. Ia khususnya apabila kebanyakan negeri di utara dan timur Semenanjung telah memilih... Klik di sini untuk terus membaca

PILIHAN raya telah berakhir. Namun, sembang-sembang mengenai Malaysia sedang menuju kepada sebuah negara yang terpisah secara etnik masih belum berakhir.

Ia khususnya apabila kebanyakan negeri di utara dan timur Semenanjung telah memilih Perikatan Nasional (PN) yang diketahui adalah parti membawa aspirasi Melayu Islam. Kelompok penduduk bandar yang bolehlah dikatakan masyarakat Cina telah memilih DAP, parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Di Sabah dan Sarawak, walaupun tidak begitu ketara seperti di Semenanjung tetapi tetap memilih parti yang membawa aspirasi penduduk Sabah atau Sarawak. Walaupun telah begitu lama merdeka, kita masih belum lagi begitu Malaysia.

Bagaimanapun, walaupun kita selalu mendakwa tidak rasis, boleh duduk semeja tetapi hakikatnya kita semua tetap bersifat rasis. Ia sama ada mahu disembunyikan atau ditunjukkan sahaja.

Ahli psikologi secara umumnya mengemukakan hal itu sebagai implicit prejudice dan explicit prejudice. Dalam erti kata lain, sama ada kita menyembunyikan atau meluahkan sahaja ketidaksukaan kita itu kepada orang lain yang bukannya sebangsa dengan kita.

Misalnya, apabila kita duduk semeja dengan bangsa lain, kita mungkin boleh berbual panjang tentang apa sahaja topik yang tidak menyentuh sensitiviti bangsa. Tetapi, apabila kembali dalam kelompok kita, mulalah berbual-bual mengenai ada bangsa lain bersifat malas tetapi banyak meminta atau ada bangsa yang mungkin sedang mengambil hak kita.

PRASANGKA

Manusia boleh mengawal rasa suka atau tidak suka ini daripada ditunjukkan dan diketahui. Bagaimanapun, apa yang tersembunyi di lubuk perasaan itulah yang sangat menakutkan.

Dikatakan sejak bayi berusia tiga tahun lagi, kita telah ada prasangka terhadap bangsa lain. Lama-kelamaan dengan latar masyarakat atau didikan keluarga, manusia mula membina rasa prejudis.

Ketika kempen pilihan raya, kita akan mendapati ahli politik mengubah-ubah nada mereka. Bercakap dengan nada rasional apabila didapati ramai pendengar adalah daripada bangsa lain tetapi mula bermain sentimen bangsa apabila khalayak pendengar adalah kelompok mereka sendiri.

Jika dikatakan ia hal yang salah, sebenarnya kita telah bermula dengan langkah salah sejak merdeka lagi. Pembinaan struktur politik di Malaysia terbina dengan asas bangsa begitu menebal. Sebab itulah kita ada parti mewakili orang Melayu, Cina, India atau parti berasaskan bangsa di Sabah dan Sarawak. Jika tidak berbuat begitu, ada kemungkinan besar tiada parti yang boleh menang.

Walaupun kita mungkin tidak menyatakan kita tidak menyukai kumpulan bangsa lain tetapi lama-kelamaan ia mungkin boleh menjadi bom jangka.

Beberapa tahun dahulu, ada kajian di Amerika Syarikat yang menunjukkan terdapat kecenderungan untuk warga kulit hitam tertembak oleh polis kulit putih kerana implicit prejudice yang adakala dikenali juga sebagai shooter bias.

Di New Zealand, beberapa tahun lalu, Brenton Tarrant, seorang pemuda warga Australia telah menembak mati 52 penganut Islam di dua masjid sekitar Christchurch. Dia mengaku benci orang Islam.

Di Malaysia, kita beruntung kerana secara umumnya hidup dalam harmoni walaupun kita mungkin agak kepanasan setiap kali musim pilihan raya. Ahli politik pula secara berkala memanaskan suasananya dengan menakutkan kita dengan banyak hal.

Bagaimanapun, ia perlu dihentikan. Cuba kita perhatikan sejenak, lihatlah mengapa ada pekerjaan atau syarikat tertentu yang dikuasai oleh bangsa tertentu sahaja?

Kita sudah terpecah secara politik, mungkin masa depan kita akan berpecah juga dalam ruang yang lain pula. Pihak pemerintah jangan melihat sahaja.

* Dr Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Universiti Malaya.

Klik di sini untuk terus membaca