TAHUN 2022 mungkin tahun bercampur baur buat UMNO. Permulaan tahun, UMNO ceria menang bergaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Kemenangan itu diperoleh selepas menang PRN Melaka sebelumnya.
Namun, di penghujung 2022, UMNO menerima kejutan terbesar dalam sejarah politik pilihan rayanya. Siapa sangka, UMNO-Barisan Nasional (BN) kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
UMNO-BN hanya tinggal 30 kerusi berbanding 79 ketika PRU14 dengan tiada langsung kerusi Parlimen diperoleh di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan dan Melaka. Malah, UMNO-BN terpaksa berpakat dengan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan kerajaan di Perak dan Pahang.
Dengan jangkaan 2023 lebih sukar dan mencabar buat UMNO, mengambil kira pemilihan parti itu pada Januari dan bakal berdepan enam PRN seterusnya, apakah yang perlu dilakukan UMNO membuka tahun 2023?
STRATEGI BERKECAMUK
Umum mempercayai kekalahan UMNO-BN pada PRU15 dikaitkan dengan strategi berkecamuk Presiden UMNO dan liabiliti beliau sebagai ‘kluster mahkamah’.
Bagaimanapun, meletakkan kesalahan tersebut kepada Presiden semata-mata adalah tidak benar. Krisis keyakinan dan defisit kepercayaan umum terhadap UMNO sudah lama membengkak. Malah, tidak sedikit teguran dan pengajaran yang diberikan. UMNO tetap tidak berubah.
Ada dua masalah perlu dibetulkan UMNO. Pertama, mengembalikan semula demokrasi dalam parti, dalam erti kata sebenar. Ia perlu berlaku melalui pemilihan parti yang telus, meraikan keterbukaan, kebebasan bersuara dan budaya menongkah arus dalam kalangan ahli.
Untuk melakukan itu, aspek kedua paling penting diselesaikan iaitu mengubah budaya politik penaungan menerusi amalan pertukaran manfaat (exchange of favors). Selagi budaya itu terus hidup subur, maka sukarlah untuk UMNO berubah.
Persoalannya, apakah UMNO benar-benar mahukannya? Paling penting, adakah ahli akar umbi mahu melakukannya? Beranikah ketua-ketua bahagian atau perwakilan yang mengundi menongkah arus dalam pemilihan UMNO nanti di sebalik dilema memilih perubahan untuk kebaikan parti atau keuntungan peribadi.
Atas kertas, mengambil kira budaya politik UMNO yang sudah diwarisi bergenerasi, amat sukar untuk melakukannya. Mengapa begitu?
Pertama, struktur parti menyukarkan penggantian kepimpinan secara drastik kerana sistem pemilihan lazimnya memberikan kelebihan kepada penyandang.
Kedua, amalan politik penaungan mewujudkan sokongan kepada elit UMNO selagi wujud manfaat.
Sokongan tersebut melahirkan warlord parti mengesampingkan mereka yang berkebolehan dan mengekalkan pemimpin yang ada sumber daya membeli sokongan (baca: rasuah).
Natijahnya, parti bermasalah untuk memiliki pemimpin yang baik dan bersih. Pemimpin sedia ada bermatian mempertahankan jawatan dengan menggunakan kuasa dan pengaruh untuk membeli sokongan.
Akhirnya, seluruh kepimpinan dalam UMNO hilang roh dan jiwa mengejar manfaat balasan. Buktinya, dalam sejarah pertandingan UMNO, tidak pernah Presiden kalah.
Pertukaran kepimpinan hanya berlaku jika Presiden berundur atau bersara. Justeru, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mungkin tidak digemari ketika ini, namun sebagai Presiden parti, kekuatan dan pengaruhnya masih utuh.
Beliau berkelebihan kalau dicabar. Pertama, walaupun tindakannya ketika PRU15 hampir meranapkan UMNO, namun selepas itu dilihat sebaliknya. Kemnya kini menguasai kabinet dan parti, kelebihan yang sangat sukar dicabar oleh mana-mana tokoh dalam konteks pemilihan UMNO.
TOKOH UMNO
Katakanlah, pertandingan berlaku kerana ada yang berani mencabar Ahmad Zahid. Persoalannya, siapakah yang ada kemampuan untuk mencabarnya tanpa apa-apa jawatan dalam kerajaan dan parti?
Ketika kebanyakan tokoh utama UMNO kalah pada pilihan raya, apakah mereka masih punya sumber kalaupun masih ada pengaruh dan keberanian untuk menentang Ahmad Zahid serta pasukannya.
Sejauh mana pula pengaruh dan keberanian itu mampu menarik sokongan terhadap mereka ketika umum tahu mekanisme pertukaran manfaat adalah punca kepada segalanya.
Di pihak Ahmad Zahid juga ada bebanannya. Pertama, bersediakah beliau untuk menjawab dan menerangkan sebab UMNO terpaksa bekerjasama dengan PH selepas tegas menyatakan tiada kerjasama dengan Anwar dan DAP sebelumnya. Kalau itu gagal dilakukan, kebarangkalian akar umbi bertindak balas mungkin tinggi.
Malah, jika menang sekalipun, apa jaminan bahawa beliau adalah individu paling sesuai mengemudi UMNO kembali diterima selepas gagal teruk pada PRU15.
Paling penting, mampukah Ahmad Zahid merintis jalan baharu politik UMNO yang centrik, sederhana dan matang ketika sosok beliau tidak sedikit pun merefleksi idea politik sedemikian.
Begitulah menariknya 2023 buat UMNO untuk semua perhatikan.
* Mujibu Abd Muis ialah Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca