SHAH ALAM - UMNO perlu membuka pintu demokrasi dengan mengadakan pemilihan terutama yang melibatkan jawatan tertinggi.
Profesor Sains Politik dari Universiti Putra Malaysia, Profesor Datuk Dr Jayum Jawan berkata, langkah itu perlu dilakukan sekiranya UMNO ingin kembali hidup dan menjadi pilihan orang Melayu.
Menurut Jayum, ahli UMNO yang sayangkan parti itu juga harus memberi peluang kepada orang baharu yang bersih serta tiada rekod kesalahan untuk mengemudi parti.
"Pembukaan pertandingan kesemua jawatan itu penting untuk hidupkan kembali parti.
"Seharusnya semua jawatan terutama jawatan tertinggi seperti presiden, timbalan presiden dan naib presiden dipertandingkan supaya ahli dapat memilih mereka yang layak mengemudi UMNO.
"Jika kita cuba untuk uruskan supaya tiada pertandingan, itu tidak baik terhadap demokrasi dan pemulihan parti sendiri.
Tegas Jayum, ahli parti yang bersih dan tiada rekod kesalahan perlu berani menawarkan diri dan bukannya sekadar ‘bising di belakang’, konon mahu membangkitkan UMNO semula.
Selain itu katanya, UMNO perlu menjadi parti yang kuat agar dipilih orang Melayu Semenanjung khususnya, dalam memimpin mereka.
"Kita harus akur ada tiga parti yang belum lagi menjadi pilihan kerana belum menunjukkan sama-sama kuat iaitu PKR, UMNO dan Bersatu. Ketiga-tiga parti ini harus dimantapkan supaya orang Melayu Semenanjung ada pilihan yang terbaik.
"Kalau UMNO tidak baik, mereka boleh pilih PKR atau Bersatu.
"Itu cukup bagus kerana kita melihat kerajaan Persekutuan tidak boleh dipimpin pihak lain kecuali orang Melayu Semenanjung. Ini fakta!
"Persoalannya, Melayu mana? Melayu PKR, UMNO atau Bersatu? Sekarang ini, masing-masing belum tunjuk kebolehan,” ujar beliau.
Buat masa ini katanya, tumpuan dan pilihan utama terarah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada PKR.
"Kalau beliau (Anwar) bagus, saya pasti orang Melayu akan menyokongnya.
"Masa akan menentukan sama ada beliau baik untuk orang Melayu dan Malaysia. Kita kena tengok dalam tempoh dua, tiga tahun.
"UMNO juga perlu memperkemaskan diri, Bersatu pula perlu tegak menawarkan diri sebagai pilihan.
"Mungkin bukan sekarang sebab mereka sudah ada pengalaman, tapi mereka belum tunjukkan apa yang mampu dibuat untuk membawa Malaysia maju ke hadapan,” jelasnya.
Sebagai rekod, BN sekadar mampu memenangi sebanyak 30 kerusi Parlimen sahaja pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding 79 kerusi pada PRU14.
Klik di sini untuk terus membaca