[WAWANCARA EKSKLUSIF] Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bertekad untuk meneruskan pelaksanaan reformasi sektor kesihatan meskipun tidak tersenarai menganggotai kabinet Kerajaan Perpaduan.
Bekas Menteri Kesihatan itu mengakui tidak terkilan apabila tiada dalam saf kepimpinan negara malah memahami keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terpaksa menyusun barisan kabinet kerajaan pimpinannya.
Dalam masa sama, Dr Dzulkefly yang juga Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (Amanah) berharap rakyat dapat memberi masa kepada Kerajaan Perpaduan untuk membuktikan kemampuan mengemudi negara selain menyelesaikan isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup.
Malah beliau yakin kepimpinan Perdana Menteri itu mampu membawa negara di landasan yang betul untuk membangunkan ekonomi sekali gus memberi manfaat kepada semua pihak.
Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Ahad, Diana Azis dan Roskhoirah Yahya bersama Dr Dzulkefly di Putrajaya bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai usaha beliau dalam membantu melaksanakan reformasi sektor kesihatan selain harapannya terhadap industri berkenaan.
SINAR AHAD: Seperti diketahui sekitar Mei lalu, Datuk Seri pernah menyatakan hasrat mengundur diri untuk beri laluan kepada calon baharu tetapi mengapa ubah keputusan selepas Barisan Nasional (BN) mencalonkan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai calon mereka?
DR DZULKEFLY: Saya telah menyebut dan merakamkan hasrat untuk mengundur diri sejak setahun yang lalu dan telah menyatakan sebabnya untuk memberi laluan kepada calon muda.
Saya juga berpandangan sikap dan pendirian bahawa pemugaran parti itu penting dan kerusi-kerusi yang menjadi penyandang lama harus diberikan kepada pemimpin muda.
Saya menawarkan kerusi Kuala Selangor dan mengenal pasti calon-calon akan tetapi apabila diketahui pihak lawan (BN) menurunkan Tengku Zafrul sebagai calon, saya sebenarnya diminta oleh pimpinan tertinggi Amanah dan Anwar sendiri mahukan supaya Parlimen Kuala Selangor jangan dilepaskan kepada BN, saya terpaksa diturunkan.
Saya akur untuk mempertahankan kerusi dan selepas membuat perbincangan dan istikharah, mungkin ini untuk kali terakhir.
Saya tetap dengan pendirian (bersara) dan Alhamdulillah orang Kuala Selangor memberikan saya peluang sekali lagi untuk berkhidmat di kawasan itu.
- Isu banjir yang tidak selesai dan masalah kualiti jalan raya antara rungutan penduduk yang disuarakan di Parlimen Kuala Selangor. Sebelum PRU15, ada desas desus mengatakan dua isu besar ini mungkin bakal menenggelamkan nama Datuk Seri kerana dikatakan tidak ada perubahan semasa mentadbir. Komen Datuk Seri?
Paling penting bagi seorang ahli Parlimen adalah mengetahui dan bekerjasama dengan agensi serta pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya dan sebagainya.
Tanpa memberikan apa-apa alasan sebagai apa yang kita dapat lihat banjir dan jalan raya merupakan masalah yang kronik.
Saya mengakui bahawa tempat-tempat tertentu seperti Kampung Seri Aman, Sentosa, Parit Mahang dan sebagainya ini adalah tempat yang pasti akan berlaku banjir dan saya insaf serta sedih melihat penduduk yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Perkara itu menjadi pengamatan saya dan usaha untuk memperbaiki serta memberi ingatan keras kepada pihak berwajib untuk segera menyelesaikan masalah tersebut.
Setelah projek rancangan tebatan banjir (RTB) di Sungai Buloh yang dijangkakan siap keseluruhannya pada tahun 2024, hari ini mungkin dalam 45 peratus (siap), telah dimulakan dan sangat mengharapkan serta jangka kawasan Sungai Buloh termasuk yang disebutkan tadi sekurang-kurangnya menjadi penyelesaian yang berkesan.
- Amanah meletakkan calon untuk bertanding di 54 kerusi Parlimen seluruh negara pada PRU15 lalu namun hanya lapan kerusi yang berjaya dipertahankan. Mungkin boleh dikongsikan apakah punca perkara ini berlaku dan strategi parti selepas ini untuk mengelakkan ia berulang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang?
Amanah kehilangan empat kerusi iaitu di Lumut, Parit Buntar, Pokok Sena dan Titiwangsa namun kita berjaya kekalkan lapan. Bagi saya prestasi itu adalah sederhana, tidak teruk, hebat pun tidak. Jadi dengan apa yang berlaku dalam dinamika persaingan sengit baru-baru ini, kita tahu gelombang itu telah berubah.
Saya tidak mahu pendekatan dengan memberikan alasan tetapi ternyata ada beberapa perkara dalam persaingan sepatutnya ada batas-batas kesusilaannya.
Di hari-hari terakhir berkempen, ada antara lawan kita yang mengambil garis agama yang agak ekstrem dan bertentangan kaum untuk meracuni pemikiran Undi18 dan muda.
Sepatutnya ada satu pendedahan kepada golongan Undi18 berkaitan demokrasi dan hak mereka, segalanya yang memberikan pengetahuan dan maklumat kepada mereka. Demokrasi sepatutnya dijalankan oleh rakyat yang berpengetahuan, pilihan yang dibuat adalah berdasarkan maklumat. Itu amat penting.
Hampir saya mahu mengusulkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) supaya perkara ini tidak berlaku lagi iaitu meracuni pengundi khasnya yang muda, minda baharu (yang) dirosakkan dengan pelbagai isu tidak sepatutnya.
Menimbulkan politik ketakutan, meracuni dan menekankan tentang dominasi kaum tidak seharusnya berlaku.
Persaingan pada PRN nanti harus dimurnikan dan dibersihkan daripada unsur-unsur garis tentangan kaum serta persaingan agama.
Saya amat yakin jika pada PRN nanti andainya dalam masa empat ke lima bulan akan datang dapat ditangani dengan baik, izinkan persaingan itu di atas tawaran polisi, dasar, prestasi, tokoh, kebolehan, keupayaan dan kalau nak masukkan hal agama, masukkanlah hal yang bukan menakutkan, jangan pula kata kalau undi orang lain, masuk neraka dan sebagainya.
- Berkenaan 206 ahli Amanah di Kedah yang keluar parti itu sejak 29 November lalu, adakah ia berpunca daripada pemecatan Pengerusinya, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi? Boleh Datuk Seri kongsikan apa sebenarnya yang berlaku?
Ini adalah isu dalaman yang dipanggil tingkah laku ahli dalam sesebuah parti dan setiap parti ada perlembagaan, kontrak sosial atau peraturan serta norma yang seharusnya seseorang ahli parti ikuti berdasarkan keyakinan kepada misi visi parti.
Setiap kelakuan dan tingkah laku mesti ada code of conduct.Setiap pimpinan, aktivis, pengikut dan ahli dituntut memberikan sepenuhnya curahan disiplin kepada parti.
Ini amat mustahak ketika kita berhadapan dengan satu keadaan politik yang sangat rencam pada ketika ini.
Saya sebagai Pengarah Strategi Amanah sekali gus dalam Pakatan Harapan (PH), pemikiran politik ketika itu boleh ditafsirkan sebagai higher order political thinking, di situ sangat mustahak untuk pimpinan negeri dan nasional mempunyai disiplin untuk tahu bahawa ada perkara-perkara yang top down sifatnya, ada perkara bottom up (yang) akhirnya ketika memutuskan sesuatu perkara berdasarkan perbincangan maka ia mesti ditaati.
Semua parti begitu, ada etika dan adab. Jadi kita kena ada sifat taat, etika kita berorganisasi, berjemaah, berparti.
Kalau sesuatu dalam keadaan yang sangat sukar, (dalam) persaingan yang sangat sengit dan rencam, memerlukan tahap ketaatan dan disiplin yang tinggi. Maka apabila sampai ke peringkat pemecatan, ia adalah berdasarkan apa yang telah ditetapkan.
Saya kira selama kita berpegang dengan disiplin yang tinggi dan memberikan segala ruang untuk berbincang tentang perkara yang dipersetujui atau sebaliknya, tetapi ketika kita memutuskan sesuatu perkara berdasarkan perbincangan yang sangat lumat, kita tidak pecat orang untuk melakukan sesuatu yang melanggar, mengugut dan menghasut.
Kita menjaga disiplin parti kerana kita berdepan dengan pilihan raya untuk dimenangi, boleh toleransi sampai parti carca marba, itu bukan parti Amanah.
Saya yakin tindakan itu akan difahami oleh ahli dan yakin ahli yang benar-benar sayang parti, disiplin tinggi tidak akan bersama mereka yang mengambil langkah untuk keluar.
- Ketiadaan tiga pemimpin utama Amanah di Parlimen iaitu Datuk Mahfuz Omar, Khalid Samad dan Datuk Seri Mujahid Yusof pasti dirasai. Apakah cabaran bagi Amanah untuk melahirkan barisan pemimpin baharu setanding mereka?
Ini cabaran buat Amanah namun kita akan jalan terus, memerlukan perhatian dalam pembinaan saf pimpinan baharu.
Ia adalah proses yang sedang berjalan, kita ada beberapa calon muda yang bertanding tetapi tidak menang seperti Ketua Pemuda di Temerloh dan Timbalan Ketua Pemuda di Tasek Gelugor.
Kita ada dua tokoh besar yang middle age iaitu Aiman Athirah dan Adly Zahari serta beberapa calon lain seperti di Johor.
Saya sedar akan keperluan kami segera membina takungan saf, walaupun tidak menang kali ini namun pada PRN dan PRU akan datang mungkin akan ditampilkan.
Hasrat saya adalah untuk membina takungan barisan kepimpinan dan saya telah memberikan komitmen membina bersama (saf kepimpinan) sahabat lain.
- Walaupun tidak terpilih sebagai anggota kabinet Kerajaan Perpaduan tetapi Datuk Seri dilihat bertekad melaksanakan reformasi sektor kesihatan namun ada yang mempersoalkan mengapa Datuk Seri tidak terpilih sedangkan calon yang tewas dilantik sebagai menteri. Komen Datuk Seri?
Saya telah menyatakan bahawa sebagai seorang insan biasa, ahli politik, saya terkejut kerana telah diberitahu tentang kedudukan line up menteri, tetapi pada saat akhir saya digugurkan.
Walaupun saya terkejut namun masih memahami kekangan dan cabaran dan tuntutan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyusun satu barisan kerajaan campuran bukan PH semata-mata.
Dari segi komposisi, kabinet itu perlu diimbangkan dan diambil kira pelbagai tuntutan yang bersilang, akhirnya begitulah yang berlaku.
Saya pasrah dengan kehendak pentadbir iaitu ALLAH SWT, tetapi saya tekankan tetap memberi komitmen untuk terlibat dalam beberapa agenda reformasi kesihatan yang telah dimulakan.
Ada beberapa hal dalam reformasi kesihatan yang tertera di manifesto PH antara lain bagi saya ialah dua benda besar iaitu meningkatkan perkhidmatan kesihatan menerusi transformasi digital khususnya penjanaan Electronic Medical Record (EMR) bagi meningkatkan patient care dan populasi pengurusan kesihatan dalam data.
Saya akan kembali memberikan tawaran perkhidmatan saya kepada Perdana Menteri sekali gus berharap dapat membantu Menteri Kesihatan untuk merangka, merencana pembiayaan kewangan kesihatan yang dapat mempertingkatkan industri kesihatan di negara ini.
- Dalam sidang Parlimen baru-baru ini, Datuk Seri ada imbas kembali Langkah Sheraton dan pertukaran Perdana Menteri serta menegaskan kepentingan untuk membuktikan keabsahan Anwar di Dewan Rakyat berbanding melalui pengakuan bersumpah (SD). Boleh Datuk Seri jelaskan dengan lebih lanjut?
Saya ingat perkara itu telah dihuraikan dan dijelaskan begitu baik, secara tuntas oleh Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Perkara ini boleh dikatakan sebagai pengkhianatan kepada kerajaan oleh mereka yang sebahagian daripada kabinet.
Itulah semua latar dan maklumat melatari penggubalan undang-undang anti lompat parti.
Akta ini dalam bahasa mudahnya tidak akan diizinkan seorang wakil rakyat untuk melompat parti sekali gus menjatuhkan sebuah kerajaan seperti Langkah Sheraton.
Semua itu terkait dengan persoalan SD dan menjadi antara punca sesebuah kerajaan jatuh.
Contohnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui bahawa dia ada SD yang cukup dan sebagainya.
Apa yang didakwa Muhyiddin, dia ada sokongan SD dan lebih berhak jadi Perdana Menteri, sedangkan kita tahu bahawa dalam hal ini kita telah beralih kepada party based dan bukan lagi individual based.
Kalau kita ingat SD boleh dibeli pada orang, jual bukan sekali dua, tiga kali pun orang jual dan saya guna istilah jangan racun diri dengan gadai dan lelong SD. Kita kena beralih dengan satu budaya politik bersifat party based.
Berkenaan memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani gabungan parti yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan, ada pihak mendakwa usaha dibuat kerajaan sebagai tidak berperlembagaan dan akan membawa kepada pemerintahan diktator. Pandangan Datuk Seri?
Satu perkara jelas bagi saya adalah apabila tuduhan MoU berlawanan dengan perlembagaan dan diktatorial.
Saya dalam perbahasan menegaskan ia adalah satu perjanjian persefahaman dan bukannya contract binding tetapi persefahaman lima gabungan parti iaitu PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan parti Warisan untuk membuat gabungan kerajaan campuran atau Kerajaan Perpaduan.
Ia memberi komitmen dengan hasrat termeterai MoU supaya setiap wakil rakyat akan patuhinya.
MoU tidak mengikat tetapi setelah akta lompat parti itu termeterai ataupun diluluskan.
Contohnya Amanah dan DAP yang menetapkan andainya ada antara mereka ambil sikap untuk keluar atau tidak bersama dengan kerajaan, maka itu pelanggaran perlembagaan parti, sekali gus boleh dirujuk akta lompat parti.
MoU hanya hasrat lima parti menyokong Perdana Menteri bukan diktator sepertimana yang didakwa dan tiada kena mengena dengan diktatorial atau pelanggaran Perlembagaan Persekutuan.
- Sepatutnya sekarang adalah masa untuk semua pemimpin mula bekerja demi rakyat namun kita masih melihat budaya fitnah memfitnah dalam kalangan pemimpin, malah di Parlimen juga dilihat seperti kebudak-budakan apabila ramai lebih banyak menjerit daripada fokus kepada masalah. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini dan apakah nasihat yang boleh diberikan?
Kita tahu bila masanya Parlimen tidak bising, itu adalah biasa. Pada saya, selama seorang wakil rakyat atau ahli Parlimen sama ada memimpin atau tidak, ada dua peranan yang perlu dimainkan.
Satu, bertugas di kawasannya dan satu lagi bertugas di Parlimen sebagai lawmaker.
Peranan itu penting, bahkan itulah peranan seorang wakil rakyat di Parlimen untuk sentiasa menyemak imbang proses penggubalan dan pembikinan undang-undang. Itu sebenarnya yang dikatakan ‘Yang Berhormat’ (iaitu) ketika menyantuni rakyat, memberikan semak kepada rakyat dengan ketika sebahagian daripada kerja mulia menggubal undang-undang untuk negara.
Ini peranan besar, maka pada saya selama setiap ahli Parlimen itu bertindak dengan keyakinan bahawa dia termasuk dalam proses menyemak imbang kerajaan, tidak timbul isu hak diberikan, cuma kita tidak mahu adalah menjadi perosak.
Selama 25 tahun Anwar berjuang untuk berada di kedudukan mengemudi negara ini, saya kira sangat wajar dan layak untuk beliau diberi peluang membuktikan kepimpinan dan kebolehan memimpin negara.
Diharapkan beliau dapat membantu negara keluar daripada segala kemelut politik, ekonomi, pandemik, kesihatan awam dan bangunkan negara ini atas landasan yang betul sekali gus menjadikan negara sekali lagi antara ‘Asian Tiger’ yang mengaum dan bukannya semakin ke belakang berbanding negara lain seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand.
Harapan saya adalah wakil rakyat bersama-sama berperanan membangunkan negara ini walaupun dari peringkat pembangkang.
Semua ada peranan dan rakyat akan memerhati kerja kita, sama ada dalam dewan yang mulia itu atau kawasan masing-masing. Berusahalah dengan terbaik kerana kamu telah diberikan amanah.
Janganlah kita jadi perosak dalam proses demokrasi ini. Secara ringkasnya, sama-samalah kita berperanan dalam membangunkan kembali negara yang dicintai.
- Sedang hangat diperkatakan kini ialah mengenai kerajaan yang masih tiada idea untuk menangani isu kenaikan kos sara hidup dihadapi rakyat. Sebagai salah seorang ahli Parlimen yang mendahulukan rakyat, apa komen Datuk Seri?
Apabila kita sebagai menteri dan orang yang dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan masalah ekonomi, ia tidak semudah buku teks, teori dan sebagainya.
Jadi, izinkanlah menteri dan kumpulan pemikirnya yang telah diberi amanah itu untuk menangani isu peningkatan sara hidup dengan lebih tuntas dan diberikan sedikit masa.
Isu inflasi bukan sesuatu yang mudah tetapi banyak aspek-aspek lain perlu diteliti.
Izinkan menteri berperanan dan cari penyelesaiannya. Kita sentiasa boleh beri pandangan, tiada masalah dan bersedia mendengar.
- Pandangan Datuk Seri mengenai kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri. Adakah beliau mampu membawa ekonomi Malaysia ke arah yang lebih disegani oleh negara lain?
Jujurnya kalau kita imbas dalam radar takungan pimpinan yang ada di negara ini, kita tiada banyak pilihan.
Kita telah izinkan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memimpin negara, Alhamdulillah ada kejayaan dan kegagalannya, namun sudah dalam lipatan sejarah.
Kemudian Datuk Seri Najib Tun Razak (seterusnya) Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, individu yang tidak dipilih tetapi diangkat (menjadi Perdana Menteri).
Kini kita kembali kepada yang dipilih, kali ini memang satu landskap politik yang sangat kompleks.
Kita tidak ada kerajaan majoriti mudah maka diwujudkan kerajaan minoriti, terpaksa mengadakan pelbagai perjanjian bersama parti lain dengan isyarat diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kita wujudkan Kerajaan Perpaduan yang saya yakin adalah yang terbaik dalam suasana hari ini.
Siapa sangka situasi yang mempunyai kelainan tetapi ini yang kita ada. Pemimpin yang diangkat adalah Anwar, beliau layak sebab kalau mengikut angka kerusi, PH memperoleh 82.
Sebagai rakan yang terlibat dalam politik atas gelombang reformasi itu, saya yakin setelah bersama selama 25 tahun, beliau adalah orang yang paling layak untuk memimpin negara.
Kita harap beliau dapat buktikan kepimpinan dengan keupayaan dan ketajaman pemikiran untuk menyelesaikan masalah negara yang terlalu banyak.
Akhirnya nanti dapat bangunkan negara dalam satu landasan lebih baik serta negara yang kembali disegani dunia.
Jelasnya, walaupun pembangkang mempunyai pandangan berbeza, namun perlu ada batas tanpa memasukkan hal-hal menakutkan seperti unsur garis tentangan kaum dan persaingan agama.
Ahli Parlimen Kuala Selangor ini turut berkongsi kisah penyertaan semula beliau dalam politik selepas hampir mengundur diri, tentang aspirasi parti Amanah dan perjuangan dalam melaksanakan reformasi kesihatan.
Saksikan Wawancara Eksklusif, Ahad, 1 Januari 2023, jam 2 petang hanya di semua platform media sosial Sinar Harian.
Muzik:
1.This Life of Time by Beò (Instrumental Version) dari https://www.artlist.io/
2.Against All Odds by Tiko Tiko dari https://www.artlist.io/
(Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.)
#WawancaraEksklusif #SinarHarian #DzulkeflyAhmad #KualaSelangor" />