EPIK adalah satu perkataan yang mungkin sesuai untuk menggambarkan perjalanan politik Malaysia pada tahun 2022. Walaupun Malaysia telah mula dilanda ‘tsunami’ politik pada tahun 2018 dengan kejatuhan UMNO, sebelum 22 bulan kemudian... Klik di sini untuk terus membaca

EPIK adalah satu perkataan yang mungkin sesuai untuk menggambarkan perjalanan politik Malaysia pada tahun 2022.

Walaupun Malaysia telah mula dilanda ‘tsunami’ politik pada tahun 2018 dengan kejatuhan UMNO, sebelum 22 bulan kemudian Pakatan Harapan ditumbangkan melalui Langkah Sheraton dan diikuti jatuhnya kerajaan ‘Abah’ pada tahun 2021, tetapi tahun 2022 menjadi persembahan pentas politik negara yang sangat berbeza.

Hakikatnya tahun 2022 menjadi saksi bagaimana UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi faktor utama memacu dinamik politik negara.

Masakan tidak, tindak-tanduk parti keramat itu mencetuskan pelbagai peristiwa menarik termasuklah pertukaran calon Menteri Besar Johor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada saat akhir, kejayaan pewartaan pindaan Akta Anti Lompat Parti dan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November lalu.

Tidak terkecuali walaupun dalam keadaan jatuh pada tahap paling teruk dalam sejarahnya ketika PRU15, BN masih menjadi ‘aktor’ utama sehingga naiknya ‘hero baharu’ di Putrajaya iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pun begitu, 'persembahan terhebat' politik tahun 2022 tentulah wajar dimulakan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak yang terkenal dengan gelaran Bossku, menjadi bekas Perdana Menteri pertama di negara ini yang meringkuk dalam penjara.

Ia susulan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu mengekalkan sabitan dan hukuman penjara ke atas Najib selama 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana SRC International bernilai RM42 juta.

Hari ini, 1 Januari 2023 genap 131 hari Najib menjalani kehidupan di sebalik tirai besi.

NASIB PEMIMPIN OTAI

Satu lagi persembahan politik terhebat negara adalah berakhirnya perjalanan politik beberapa pemimpin ‘otai’ sebagai wakil rakyat.

Pun begitu, cara ia berakhir adalah berbeza bagi setiap pemimpin itu.

Tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang, 81, memilih untuk menamatkan karier 60 tahunnya dengan mengumumkan persaraan dan tidak lagi bertanding pada PRU15.

Bagaimanapun, dua lagi pemimpin yang paling lama bergelar ahli Parlimen mengakhiri ‘persaraan’ mereka dengan penuh tragis.

Ini kerana Tun Dr Mahathir Mohammad, 97, bukan sahaja gagal mempertahankan kerusi Langkawi, bahkan lebih pedih beliau kalah teruk kepada calon Perikatan Nasional (PN) sehingga hilang wang pertaruhan.

Menariknya, seorang lagi pemimpin legenda BN, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li juga menerima nasib yang sama seperti Dr Mahathir.

Ku Li ditunjuk jalan keluar dari Parlimen di kerusi Gua Musang, juga oleh calon PN walaupun pemimpin itu telah bertapak di Gua Musang sejak tahun 1986.

PALING EPIK

Anwar (tengah) ketika Majlis Menandatangani Permuafakatan Antara Gabungan Bawah Kerajaan Perpaduan Malaysia di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada pertengahan Disember lalu.

Dan epik kepada persembahan terhebat politik Malaysia bagi tahun 2022 tidak lain dan tidak bukan adalah kejayaan Anwar menamatkan momokkan ‘PM (Perdana Menteri) Tepi’ yang diberikan kepadanya.

Anwar memulakan gerakan reformasi dan menubuhkan Parti Keadilan Nasional diadakan pada 4 April 1999 dan cuba menumbangkan kerajaan menerusi pilihan raya serta beberapa usaha namun gagal menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun tahun 2022 ceritanya berbeza. Ia adalah tahun paling gemilang Anwar, seorang pemimpin yang pernah dua kali dihumbankan ke penjara dan kini ke puncak kariernya mengemudi Putrajaya.

Menambahkan epik kisah ini sudah tentunya Anwar menjadi PM hasil sokongan parti yang pernah menjatuhkannya iaitu UMNO/BN.

Keputusan PRU15 yang menyaksikan tiada parti memperoleh majoriti mudah menyaksikan pembentukan sebuah kerajaan campuran melibatkan PH, BN, GPS, GRS, Warisan dan PBM.

Pun begitu jangan dilupa walaupun Perikatan Nasional gagal ke Putrajaya, tapi parti itu melakukan kejutan luar biasa pada PRU15 apabila bangkit daripada kekalahan dalam beberapa PRN sebelum itu.

Malah Pas yang jika sebelum ini sekadar parti pemeriah pilihan raya umum dengan sekadar menang belasan kerusi, kini melangkah gagah di Dewan Rakyat dengan 43 orang Ahli Parlimen.

POLITIK DRAMATIK

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar mengakui politik negara pada tahun 2022 sangat dramatik terutamanya melibatkan pemimpin otai lantaran ada yang jatuh dan ada yang ke puncak.

"Tahun 2022 adalah ibarat tahun penamat hayat politik bekas PM dua kali, Dr Mahathir yang hilang wang pertaruhan sewaktu bertanding pada PRU15, meskipun berjaya menubuhkan sebuah blok parti baharu dipanggil Gerakan Tanah Air (GTA),” kata Hisommudin.

Melihat unjuran landskap politik semasa, Hisommudin menjangkakan suhu politik Malaysia pada tahun 2023 masih lagi akan kekal panas meskipun pasca PRU15 menyaksikan sebuah kerajaan campuran dirujuk Kerajaan Perpaduan Malaysia terbentuk.

Beliau berkata, hal ini susulan UMNO-BN yang menjadi king maker pembentukan kerajaan baharu masih perlu melalui proses pemilihan parti dalam tempoh tidak sampai lima bulan lagi, di samping harus membuktikan kekuatan sinergi pakatan baharu pilihan raya antara koalisi berkenaan dengan PH benar-benar utuh bagi mendepani PRN di enam negeri pada tahun hadapan.

"Saya fikir PRN enam negeri di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan akan menjadi testimoni sama ada suhu politik negara akan kekal panas pasca PRU15 atau tidak.

"Sekiranya sinergi kekuatan pakatan BN-PH untuk berdepan PN tidak utuh, saya yakin keadaan itu akan memberi implikasi terhadap kestabilan politik negara termasuk kedudukan kerajaan baharu ini.

"Selain itu, saya turut melihat impak pemilihan UMNO sangat signifikan dalam menentukan sama ada UMNO-BN akan kekal menjadi aktor politik paling dinamik pasca PRU15 atau pemangkin kestabilan politik kerajaan dipimpin Anwar,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca