SHAH ALAM - Pakar kesihatan mencadangkan tiga langkah perlu diambil kerajaan termasuk mewajibkan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) Covid-19 ke atas pelancong dari China yang memasuki Malaysia.
Ia bagi mengelak berlakunya gelombang baharu jangkitan Covid-19 di negara ini.
Selain itu, dua syor lain adalah melaksanakan semula pemakaian pelitup muka di tempat awam khususnya di kawasan tertutup serta mempromosikan secara lebih serius pengambilan dos penggalak terutama bagi individu yang belum menerima suntikan tersebut.
Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, tiga perkara ini perlu diberi perhatian sekiranya kerajaan ingin mengelak gelombang jangkitan boleh membawa maut itu kembali meletus di negara ini.
"Menyentuh mengenai ujian PCR Covid-19, mana-mana pelancong dari China yang ingin memasuki sempadan Malaysia sama ada melalui udara atau laut, perlu membuat saringan kesihatan terlebih dahulu yang kosnya ditanggung sendiri oleh mereka dan jika didapati positif, mereka perlu dihantar pulang.
"Kita juga melihat pemakaian pelitup muka itu asas kepada usaha mengekang penularan Covid-19 dan jika kerajaan wajibkan semula pemakaiannya, ia bukanlah satu kejutan kerana ramai yang sudah terbiasa,” katanya kepada Sinar Ahad.
Beliau mengulas mengenai syor yang perlu dilakukan kerajaan bagi mengatasi kebimbangan meletusnya gelombang baharu jangkitan Covid-19 sempena tahun 2023.
Dilaporkan, beberapa negara luar termasuk Jepun akan mewajibkan ujian saringan Covid-19 bagi ketibaan pelancong dari tanah besar China mulai Jumaat lalu.
Mengulas mengenai pengambilan dos penggalak, Sharifa Ezat berkata, kerajaan perlu lebih fokus memberi kesedaran kepada masyarakat untuk mengambil sekurang-kurangnya satu suntikan dos penggalak itu bagi memastikan kesan samping tidak serius sekiranya dijangkiti wabak tersebut.
"Kita sedar kebimbangan ramai mengenai kemungkinan merebaknya kembali Covid-19 berikutan China umum untuk tamatkan syarat jalani kuarantin bagi rakyat mereka,” kata beliau.
Tambahnya, keputusan China mencetuskan kebimbangan ramai susulan negara itu dilaporkan menjadi pencetus kepada penularan jangkitan sebelum merebak ke seluruh dunia termasuk Malaysia.
Jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di Malaysia kini melepasi angka lima juta iaitu 5,026,164 kes direkodkan setakat Sabtu, sejak wabak itu melanda dunia lebih dua tahun lalu.
Angka korban keseluruhan akibat wabak berkenaan juga meningkat kepada 36,852 orang dalam tempoh sama.
Klik di sini untuk terus membaca