BOLEH jadi ramai orang tidak tahu atau kalau tahu pun, kurang faham mengenai satu peristiwa besar yang berlaku dalam dunia korporat rantau ini pada 28 Disember lalu. Ia melibatkan seorang pedagang dan bekas ahli politik Malaysia bernama Soh... Klik di sini untuk terus membaca

BOLEH jadi ramai orang tidak tahu atau kalau tahu pun, kurang faham mengenai satu peristiwa besar yang berlaku dalam dunia korporat rantau ini pada 28 Disember lalu.

Ia melibatkan seorang pedagang dan bekas ahli politik Malaysia bernama Soh Chee Wen.

Pada hari tersebut, dia telah dijatuhi hukuman penjara 36 tahun oleh Mahkamah Singapura kerana jenayah perdagangan.

Dia didapati bersalah dalam skandal pasaran saham terbesar pernah berlaku di republik itu.

Turut dihukum ialah rakan bekas kongsinya, Quah Su-Ling yang dipenjarakan 20 tahun.

Chee Wen dan Su-Ling didapati bersalah memanipulasi harga saham tiga syarikat yang diniagakan di Bursa Saham Singapura iaitu Blumont Group Limited, Asiasons Capital Limited dan Lion-Gold Corp Limited antara Ogos 2012 serta Oktober 2013.

Kegiatan mereka berkesudahan dengan hampir S$8 bilion modal pasaran hangus.

Dalam bahasa mudah, pelabur yang membeli saham tiga syarikat berkenaan mengalami susutan modal kira-kira RM27 bilion dalam masa lebih sedikit setahun.

Chee Wen yang berasal dari Batu Pahat, Johor dan kini berusia 63 tahun didapati bersalah atas 180 tuduhan termasuk manipulasi pasaran, urus niaga palsu, pemesongan maklumat, penipuan serta pemalsuan.

Su-Ling pula didapati bersalah atas 169 tuduhan. Kes tersebut mengambil masa hampir empat tahun untuk diselesaikan dengan 200 hari perbicaraan.

Dalam bahasa Inggeris, orang seperti dia diberi gelaran wheeler dealer. Dia bukanlah baru dalam perniagaan berisiko tinggi.

Dari awal menceburi dunia korporat, inilah jenis perniagaan yang menjadi pilihannya.

Menurut laporan akhbar, Chee Wen menjadi jutawan pada usia 21 tahun melalui perniagaan piramid tetapi diisytiharkan muflis pada 1984 apabila krisis hutang melanda negara.

Seingat saya, ketika itu ramai peniaga dan syarikat kerjasama penerima simpanan (deposit taking cooperatives - DTC) milik koperasi masyarakat Cina gulung tikar dan penyimpan diselamatkan oleh kerajaan.

Menteri Kewangan ketika itu, Tun Daim Zainuddin kemudian mencadangkan supaya kegiatan DTC tidak diteruskan lagi dan untuk seketika aset mereka dibekukan.

Selepas bebas daripada kemuflisan, Chee Wen menceburi pasaran saham melalui perniagaan saham murah atau penny stock.

Dia mengambil alih syarikat bermasalah yang disenaraikan seperti Autoways, Promet, Kelanamas, Uniphoenix dan Kuantan Flour Mill.

Banyak syarikat berkenaan asalnya melibatkan bumiputera.

MANIPULASI SAHAM

Satu lagi fakta menarik adalah ketika Chee Wen sedang mencanak naik sebagai usahawan dan pemimpin muda Persatuan Cina Malaysia, Presidennya ketika itu, Tan Koon Swan sedang menghadapi kejatuhan.

Tidak sampai setahun menjadi Presiden Persatuan Cina Malaysia, pada 1985 Koon Swan ditangkap dan didakwa di Singapura atas tuduhan berkaitan manipulasi saham Pan-Electric Industries Limited (Pan El). Dia dihukum penjara dua tahun.

Skandal itu menyebabkan Pasaran Saham Singapura dan Pasaran Saham Malaysia terpaksa ditutup tiga hari.

Ketika muflis, syarikat berkenaan berhutang S$480 juta dan semua sahamnya yang dipegang oleh 5,500 pelabur tidak laku satu sen pun.

Namun, skandal Pan Electric adalah ‘tahi gigi’ berbanding skandal penny stock yang diteruskan oleh Chee Wen.

Tindakan tegas ke atas dua skandal pasaran tersebut dan kes-kes bersabit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membuktikan kesungguhan Singapura memerangi jenayah perdagangan berbanding negara kita yang liat serta hangat-hangat tahi ayam.

Banyak kes jenayah perdagangan dan manipulasi pasaran saham seperti insider trading tidak dikenakan tindakan mahkamah.

Paling hebat pun pelaku dikenakan kompaun dan terus memegang jawatan penting dalam dunia korporat serta politik.

Apalah sangat kompaun beberapa ratus ribu atau juta ringgit apabila keuntungan atas angin yang mereka peroleh berjumlah puluhan juta.

Jadi, janganlah hairan kalau kecurigaan terus menyelubungi pasaran modal kita.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca