SHAH ALAM - Kehidupan rakyat dijangka lebih mencabar pada tahun 2023 dengan kenaikan kos sara hidup dan kadar faedah pinjaman serta pulangan pelaburan yang sederhana.
Penganalisis Ekonomi daripada UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, krisis geopolitik di Rusia-Ukraine, China-Taiwan, Timur Tengah dan kemunculan varian baharu Covid-19 akan terus membayangi kemalapan ekonomi dunia pada tahun ini.
Menurutnya, situasi itu pasti memberi kesan kepada Malaysia yang mengadaptasi ekonomi terbuka.
"Pertumbuhan ekonomi dunia pada tahun 2023 dijangka meleset seperti unjuran Bank Dunia, justeru ekonomi negara pula dijangka tumbuh perlahan berbanding 2022.
"Malaysia dijangka bergantung kepada ekonomi domestik sebagai enjin utama kerana eksport negara diramal perlahan berikutan penurunan permintaan terhadap industri pembuatan elektronik, sarung tangan, harga minyak mentah yang menurun, begitu juga harga komoditi utama seperti minyak sawit dan getah,” katanya kepada Sinar Ahad.
Jelas beliau, pasaran saham Bursa Malaysia dan nilai mata wang ringgit juga dijangka terus dicabar dengan turun naik oleh faktor-faktor global.
Selain itu, kadar faedah pula dijangka naik sehingga kadar dasar semalaman (OPR) mencecah 3.25 peratus pada tahun 2023.
"Ia berikutan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mungkin terus menaikkan kadar faedah pada tahun 2023 sehingga kadar inflasi negara itu kembali turun dan terkawal sekitar 2 peratus berbanding 8 peratus sekarang.
"Malaysia juga sedang menghadapi kadar inflasi yang lebih tinggi daripada biasa iaitu kini pada sekitar 4 peratus, bagaimanapun kadar inflasi tahun 2023 akan distabilkan antara 3 ke 4 peratus,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Kluster Mikroekonomi, Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mustazar Mansur menjangkakan situasi ekonomi masih lagi mencabar akibat daripada dasar ekonomi yang berbeza dengan negara-negara yang berhaluan kiri dan kanan.
Justeru, beliau menegaskan Malaysia perlu bersedia dan memastikan kita tidak terlalu bergantung kepada barangan dan makanan luar agar harganya kekal rendah dan mampu dibeli rakyat.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan katanya, mempunyai misi besar dan peruntukan lebih banyak perlu diberikan bagi memastikan bahan mentah seperti ayam, telur, daging dan ikan ada di atas meja rakyat.
"Masalah global menyebabkan harga bahan mentah tinggi. Ini menekan kita untuk tidak mengeluarkan bahan seperti telur, ayam dan ikan dalam kadar yang memuaskan atau ke tahap sara diri.
"Kita terpaksa bergantung kepada negara luar dan menjual pada kadar rendah. Apa yang saya ingin cadangkan ialah kementerian sendiri mesti bersedia agar sekuriti makanan negara terjamin,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca