BELALANG nak ucapkan selamat menyambut Tahun Baharu 2023 kepada seluruh rakyat Malaysia, para pembaca Sinar Ahad dan yang paling khusus para peminat Belalang.
Setiap minggu Belalang menerima begitu banyak surat, e-mel dan pelbagai hantaran dan mesej daripada peminat setia kolum ini bertanya sama ada Lain Padang Lain Belalang akan terus bersiaran setiap Ahad pada 2023.
Jawab Belalang, kenapa tidak selagi Belalang larat menulis. Menulis tidak payah.
Yang payah ialah untuk menggarap apa yang ada di fikiran dalam bentuk ayat dan prosa yang menarik dan mudah difahami.
Tahun ini akan bermula dengan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada bulan Januari (dari 11-14 Januari).
Ramai yang salah anggap yang PAU ini akan menyaksikan pertandingan di peringkat pusat, bahagian dan cawangan.
Sebenarnya tidak. PAU ini adalah perhimpunan tahun lalu yang ditunda ke bulan Januari kerana isu Pilihan Raya Umum (PRU) baharu sahaja selesai.
Maka, ia diinjak ke bulan ini.
Sementara pemilihan pucuk pimpinan UMNO pula dijadualkan enam bulan selepas PRU.
Sama ada ia akan dipercepatkan atau tidak itu terpulanglah kepada keputusan Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk menentukannya.
Yang pasti selepas Tahun Baharu Cina, kita akan menyambut Ramadan pula dan lepas itu, diikuti dengan Hari Raya Aidilfitri. Kemudian ia akan disusuli dengan Hari Raya Aidiladha. Jadi ruang sangat-sangat terhad.
Sedangkan pemilihan UMNO tidak lagi sepertimana zaman silam yang menyaksikan cuma 2,000 lebih perwakilan ke PAU sahaja yang mengundi menentukan siapa presiden dan barisan MKT UMNO.
Sekarang yang bakal menentukan barisan pucuk pimpinan parti itu ialah perwakilan ke Persidangan UMNO Bahagian masing-masing iaitu wakil-wakil dari cawangan-cawangan.
Ia melibatkan satu eksesais yang besar dan panjang dari Sabah sehinggalah ke Johor. Dan ia perlu bermula dengan pencalonan terlebih dahulu diikuti oleh kempen yang bakal disusun oleh Ibu Pejabat UMNO di setiap negeri.
Maka prosesnya memang akan mengambil masa.
Belalang tak kisahlah sama ada ia hendak dipercepatkan atau tidak. Yang penting, Belalang sepertimana yang lain ingin melihat demokrasi di dalam UMNO terus kekal terpelihara.
Belalang juga faham, nanti akan ada yang bawa usul tergempar di PAU bulan ini, mendesak agar pemilihan beberapa jawatan parti tidak dipertandingkan. Maknanya kasi laluan menang tanpa bertandinglah.
Itu pun Belalang tak kisah kerana ini adalah urusan dalaman parti masing-masing. Cuma Belalang nak ingatkan, jangan sampai orang melihat dah macam jadi parti politik yang tak relevan dengan kehendak masyarakat semasa sudahlah.
Dah berapa banyak parti politik yang tutup kedai dan berkubur kerana lebih tertumpu kepada soal yang berkisar kepada kepimpinan yang sama sepanjang hayat.
Belalang harap janganlah sampai jadi macam tu. Kesianlah sama pada UMNO kerana ia dikatakan parti keramat orang Melayu.
Cuma Belalang nak pesan, jadi parti keramat tidak apa asalkan jangan jari keramat sudahlah.
Belalang - Tak pernah lupa asal-usul...
Klik di sini untuk terus membaca