DALAM keadaan pentadbiran baharu masih merumuskan formula terbaik memimpin negara bagi tempoh lima tahun akan datang, fokus hari ini tentulah kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul. Ia berikutan tindakan Naib Presiden Bersatu,... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM keadaan pentadbiran baharu masih merumuskan formula terbaik memimpin negara bagi tempoh lima tahun akan datang, fokus hari ini tentulah kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

Ia berikutan tindakan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyerahkan notis kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat melibatkan empat ahli Parlimen dari Sabah yang dikatakan meninggalkan Bersatu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mereka ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Mereka dikatakan telah melanggar Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti.

Namun, empat ahli Parlimen itu menolak dakwaan Ronald dan mendakwa mereka telah menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 31 Oktober lalu.

Kontroversi bermula apabila Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah daripada Bersatu mengumumkan meninggalkan Bersatu dan menjadi ahli langsung GRS, 10 Disember lalu.

Menurut Hajiji, kesemua mereka membuat keputusan tersebut setelah mempertimbangkan keadaan landskap politik negara ketika ini terutama di Sabah.

Berdasarkan kenyataan tersebut, keputusan meninggalkan Bersatu dan menyertai GRS secara langsung adalah berkait rapat dengan pembentukan kerajaan di peringkat Persekutuan.

Kerajaan campuran di peringkat Persekutuan melibatkan UMNO dan Warisan telah memberi ancaman kepada kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Sekiranya GRS tidak bersekutu dengan Persekutuan, ada kemungkinan kerajaan negeri akan bertukar kepimpinan kerana jumlah kerusi Barisan Nasional (BN), Warisan dan Pakatan Harapan (PH) dalam DUN Sabah mencukupi untuk pembentukan kerajaan negeri.

Oleh sebab pindaan undang-undang tubuh negeri Sabah belum dibuat bagi menyekat ADUN berpindah parti, maka tiada konflik perundangan di peringkat negeri.

Namun, bagi Dewan Rakyat, Parlimen telah meluluskan pindaan untuk menguatkuasakan larangan tersebut.

Penentuan sekarang hanyalah sama ada empat ahli Parlimen tersebut meninggalkan Bersatu selepas menang atau sebelum bertanding.

Mereka mendakwa telah meninggalkan Bersatu pada 31 Oktober lalu dan menjadi ahli langsung GRS sebelum PRU15.

Bagaimanapun, setakat ini tidak ditemui sebarang pengumuman dalam media atau ketika kempen PRU15 menyatakan hal sedemikian berlaku.

Ia menimbulkan gosip bahawa proses mereka menjadi ahli GRS secara langsung adalah dibuat secara backdated.

TARIKH KELUAR BERSATU

Keadaan itu bertambah kukuh apabila Naib Presiden Bersatu dari Sabah yang merupakan Ahli Parlimen Beluran membaca sepucuk surat menunjukkan keempat-empat mereka merupakan calon Bersatu menggunakan logo GRS.

Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mereka tidak hilang kedudukan sebagai ahli Parlimen sekiranya meninggalkan Bersatu sebelum PRU15.

Jelas beliau, jika mereka ahli Bersatu dan selepas menang keluar Bersatu, maka mereka perlu kosongkan kerusi Parlimen walaupun bertanding atas tiket GRS.

Johari berdepan dilema sekiranya memutuskan keempat-empat mereka telah hilang kedudukan sebagai ahli Parlimen.

Ia bukan sahaja akan memaksa Pilihan Raya Kecil, malah menyebabkan kedudukan Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak hilang jawatan kabinet.

Jika memutuskan mereka tidak hilang kedudukan, satu penjelasan tuntas perlu diberikan atau ia akan menimbulkan stigma negatif berpanjangan kepada Speaker.

Berbanding Speaker sebelum ini, Tan Sri Azhar Azizan Harun yang tidak mempunyai latar belakang politik sebagai aktivis parti, Johari merupakan antara pemimpin kanan PKR dan penyokong kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan beliau bukan sahaja akan dinilai daripada neraca perundangan tetapi juga neraca politik.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca