HARI ini adalah hari pertama 2023. Tahun 2022 telah melabuhkan tirainya semalam. Masa berlalu sangat pantas, sama ada kita berjaya mengisinya dengan baik ataupun tidak. Mustahil masa yang telah berlalu akan dapat dikembalikan. Ia menjadi... Klik di sini untuk terus membaca

HARI ini adalah hari pertama 2023. Tahun 2022 telah melabuhkan tirainya semalam.

Masa berlalu sangat pantas, sama ada kita berjaya mengisinya dengan baik ataupun tidak. Mustahil masa yang telah berlalu akan dapat dikembalikan.

Ia menjadi sejarah bagi kita sama ada sebagai teladan atau sempadan.

Sejarah mengajar kita lebih bertamadun dan lebih bersedia menghadapi segala kemungkinan mendatang.

Selain pandemik, terdapat banyak perkara berlaku sepanjang tahun ini yang memberi kesan kepada masyarakat.

Dari aspek perundangan, seperti tahun-tahun sebelumnya, 2022 masih menyaksikan beberapa perkara melibatkan perbincangan hebat kedudukan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan melibatkan isu Islam masih hangat dibahaskan.

Beberapa kes yang berlaku menyentuh isu tersebut sehingga membawa kepada perbincangan sama ada Malaysia adalah negara Islam atau tidak.

Landskap politik yang berbeza berbanding tahun sebelumnya turut memberi kesan kepada perundangan negara, apatah lagi perubahan kerajaan tahun ini adalah pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Persoalannya, sampai bilakah kemelut sebegini akan berterusan tanpa sebarang solusi?

Sehingga hari ini masyarakat masih belum berhenti bercakap mengenai isu politik walaupun PRU15 telah selesai.

Keadaan tersebut akan menganjak fokus kerajaan bagi meneruskan pembangunan kerana ingin mengukuhkan kedudukan politik.

Seperkara lagi, peruntukan undang-undang yang memberi kelebihan kepada agama Islam dan orang Melayu masih dipersoalkan walaupun ia telah termaktub dengan tuntas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penindasan

Dokumen tolak ansur antara kaum pula sering dilupakan sejarahnya apabila sesuatu kaum menuntut bagi pihak kaumnya.

Digambarkan di negara ini pula seolah-olah sesuatu kaum itu ditindas di dalam negara walaupun hakikatnya tidak.

Isu mengenai keperlembagaan peruntukan jenayah syariah yang digubal negeri-negeri sudah diputuskan Mahkamah Persekutuan yang mendatangkan pelbagai ramifikasi perundangan kepada peruntukan lain seperti undang-undang jenayah syariah di Kelantan dan Terengganu.

Pada 2022 ia dicabar, mungkin tahun ini keputusan dikeluarkan oleh mahkamah.

Pernikahan bawah umur masih dijadikan polemik tahun ini walaupun Islam membenarkan seseorang yang telah mencapai umur baligh bernikah.

Ia dibangkitkan lagi selepas pembentukan kerajaan baharu.

Perspektif daripada lensa dan norma hidup Barat yang mengehadkan pernikahan setelah mencapai umur 18 tahun dipegang erat oleh sesetengah golongan walaupun agama membenarkannya.

Kita wajar menoleh ke belakang melihat kesilapan yang telah berlaku dan mencari jalan serta membuat perancangan demi kebaikan tahun akan datang.

Berpindah ke Tahun Baharu 2023 sebenarnya membawa tanggungjawab lebih besar.

Kita semua ingin melihat negara berjaya mencapai status negara maju dengan nilai-nilai murni dipertahankan.

Semoga 2023 membawa kebaikan untuk kita semua, khususnya bagi perundangan Islam.

Perpaduan umat Islam yang sangat rapuh ketika ini perlu dieratkan lagi agar menjadi pemangkin kepada kemajuan umat.

Tahun 2022 juga menjadi sejarah manis bagi semua Peguam Syarie, khususnya di Wilayah Persekutuan dengan terbentuknya buat pertama kali dalam sejarah negara iaitu Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Insya-ALLAH, wadah ini akan menjadi satu lagi mekanisme mengarus perdana syariah.

Terlalu banyak perkara yang menanti kita pada 2023. Jika kita masih tidak melakukan anjakan paradigma, sudah pasti 2023 juga akan meninggalkan kita tanpa sebarang pencapaian boleh dibanggakan.

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua pembaca Sinar Harian khususnya ruangan Usul.

Semoga nukilan ruangan ini dapat dimanfaatkan bersama. PPMM juga mengucapkan terima kasih kepada Sinar Harian dengan kerjasama erat sepanjang tahun 2022.

Diharap kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun mendatang.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca