SHAH ALAM - Waris keluarga yang kehilangan insan tersayang akibat Covid-19 menggesa supaya kerajaan lebih pantas bertindak dalam melindungi nyawa orang ramai daripada gelombang baharu pandemik tersebut susulan pembukaan sempadan negara... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Waris keluarga yang kehilangan insan tersayang akibat Covid-19 menggesa supaya kerajaan lebih pantas bertindak dalam melindungi nyawa orang ramai daripada gelombang baharu pandemik tersebut susulan pembukaan sempadan negara China pada 8 Januari ini.

Ia susulan peningkatan rekod kes Covid-19 di China melibatkan jangkitan tempatan yang menyaksikan langkah sekatan pergerakan diperketatkan di beberapa bandar utama termasuk Beijing dan Shanghai bermula 24 November lalu.

Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang yang kehilangan anaknya seminggu selepas disahkan Covid-19, dua tahun lalu berkata, kerajaan tidak boleh berkompromi berhubung hal-hal kesihatan dan nyawa rakyat negara ini kerana sudah ramai yang kehilangan ahli keluarga mereka disebabkan wabak berkenaan.

Ujar Hashim, penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) perlu diperketatkan semula melibatkan pemakaian pelitup muka di kawasan sesak termasuk di surau dan masjid.

"Saya menggesa supaya pihak berkuasa agama setiap negeri memperkenalkan kembali peraturan ketat dan menjadikan budaya iaitu memakai pelitup muka dan sejadah sendiri untuk ke masjid atau surau.

"Mereka yang tidak kehilangan ahli keluarga, mungkin tidak rasa begitu terkesan tetapi apabila kehilangan nyawa, baru mereka terasa.

"Saya amat berharap supaya pisang tidak berbuah dua kali kerana kita telah menghadapi pandemik yang sangat dahsyat selama lebih dua tahun,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengambil pendekatan menunggu data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum membuat keputusan berhubung gesaan menyekat kemasukan pelancong dari China ke Malaysia.

Dalam pada itu, suri rumah, Marcella Kamil, 37 yang kehilangan ayahnya akibat Covid-19, berkata, orang ramai juga diingatkan supaya lebih peka dan sentiasa menjaga penjarakan sosial bagi melindungi nyawa diri dan keluarga mereka daripada wabak penyakit tersebut.

"Walaupun kita dah mempunyai dos yang lengkap, harapnya SOP dahulu iaitu pemakaian pelitup muka serta penjarakan sosial perlu dikembalikan semula supaya gejala Covid-19 ini boleh dibendung dan lebih terkawal.

"Saya sangat berharap kerajaan cepat mengambil tindakan yang tegas supaya perkara lama tidak berulang demi menjaga kebajikan rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, seorang jururawat yang turut kehilangan datuknya akibat Covid-19 tahun lalu, Suzila Ismail, 35, berkata, bahawa kerajaan perlu memastikan tapisan secara ketat dilakukan terhadap pelancong asing tersebut bagi mengawal wabak penyakit yang baharu daripada merebak di negara ini.

Suzila yang juga menetap di Bentong, Pahang itu berkata, dia sudah tidak sanggup melihat keluarganya terseksa apabila semua dijangkiti oleh wabak tersebut.

"Waktu itu, semua (ahli keluarga) susah sebab terpaksa kuarantin. Anak-anak takut sebab berjauhan dengan saya, saya pun risau dengan mereka.

"Jadi sebelum kita biar ia (jangkitan Covid-19) semakin meningkat, elok lah jika kerajaan ketatkan SOP seperti dulu.

"Kalau boleh, sebelum pelancong asing ini hendak masuk (ke Malaysia), perlu untuk mereka buat ujian calitan dulu atau pemeriksaan awal dari negara mereka,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca