PANDEMIK Covid-19 telah memberi peralihan yang besar dalam persekitaran kerja secara global. Pada Mac 2020, kerajaan Malaysia telah mengarahkan kebanyakan operasi kerja dilaksanakan dari rumah secara maya. Langkah ini diambil bagi mengawal... Klik di sini untuk terus membaca

PANDEMIK Covid-19 telah memberi peralihan yang besar dalam persekitaran kerja secara global. Pada Mac 2020, kerajaan Malaysia telah mengarahkan kebanyakan operasi kerja dilaksanakan dari rumah secara maya.

Langkah ini diambil bagi mengawal penyebaran Covid-19 dan mencegah sistem kesihatan negara daripada terbeban. Sektor awam dan swasta juga beroperasi secara maya dari rumah bagi meneruskan operasi harian.

Pada awalnya, majikan, pekerja dan pengguna tidak bersedia dari segi fizikal dan mental dalam melaksanakan pengaturan kerja dari rumah. Akan tetapi, semua pihak terpaksa akur dan menyesuaikan diri dengan keadaan norma baharu.

Namun begitu, norma baharu ini menyebabkan terabainya nilai modal insan. Bebanan kerja yang berlebihan dan ketidakseimbangan kehidupan kerja merupakan cabaran yang paling ketara yang dihadapi oleh para pekerja.

Tempoh bekerja tidak lagi terhad kepada lapan jam seperti di pejabat, jadual menjadi huru hara, waktu bekerja tidak menentu dan garis sempadan kerja yang kabur antara punca para pekerja menghadapi tekanan dan ketegangan dek kerana ketidakseimbangan kehidupan kerja dan peribadi.

Hasil kajian yang telah dijalankan pada tahun 2021 telah mendapati produktiviti pekerja di Malaysia direkodkan menurun sebanyak 77 peratus. Beberapa faktor utama yang telah menyumbang kepada penurunan itu, termasuklah kekangan sambungan internet yang stabil, akses yang terhad kepada sumber organisasi dan kelewatan maklum balas kerana penglibatan keluarga atau gangguan luar.

Ibu bapa yang bekerja mungkin terpaksa turut melibatkan diri dalam sesi pembelajaran dalam talian anak-anak di rumah, komitmen keluarga, keperluan untuk berkongsi ruang kerja dan perubahan waktu kerja juga telah mengurangkan pertumbuhan produktiviti pekerja.

Pengurusan masa antara satu lagi isu yang berkaitan dengan bekerja dari rumah. Isu lain yang dikaitkan dengan bekerja dari rumah adalah perasaan emosi.

LIMA LANGKAH

Hasil dapatan kajian telah mengenal pasti lima langkah mitigasi yang boleh dilihat dengan teliti untuk menyesuaikan diri dengan norma bekerja daripada rumah seperti berikut:

1. Ruang Kerja Khusus: Jika terdapat lebihan ruang di rumah, digalakkan untuk rancang atau transformasikan ruang tersebut kepada ruang kerja khusus. Ruang kerja yang khusus membolehkan pekerja memberi lebih tumpuan kepada tugasan mereka, dan dari sudut mental pula, ia akan membawa pekerja ke dalam mod kerja dan persekitaran seperti di tempat kerja serta mengurangkan gangguan dan membantu mewujudkan keseimbangan kehidupan kerja semasa bekerja dari rumah. Merekacipta semula ruang kerja khusus yang menyerupai persekitaran pejabat adalah penting. Mereka boleh masuk ke "zon bekerja" dengan dan meninggalkan ruang kerja tersebut apabila tamat waktu bekerja. Ia akan membantu mengelakkan keletihan dan mengekalkan kesejahteraan kesihatan mental semasa pandemik.

2. Ketetapan Matlamat dan Senarai Tugas: Apabila bekerja dari rumah, pekerja akan bekerja dalam situasi seliaan kerja yang sangat minima. Cabaran utama adalah memastikan segala senarai tugas dilaksanakan dan tetapan matlamat kerja dipatuhi. Amat mudah untuk para pekerja hilang fokus keutamaan dan tarikh akhir kerja. Oleh itu mereka haruslah menetapkan matlamat dan had masa untuk setiap tugasan dan disiplin dan selepas menyelesaikan tugas, ianya dipadamkan daripada senarai tersebut.

3. Mengenal pasti waktu bekerja dan mematuhinya: Ini melibatkan pengurusan masa yang tepat setiap hari agar pekerja mampu untuk konsisten dalam pelbagai cara. Jadikannya sebagai rutin kehidupan pekerja. Ini akan menjadi separuh daripada usaha bagi menggalakkan kerja kendiri mereka dan mencipta tabiat automatik.

4. Menganjurkan makan tengah hari secara maya: Di kala semua bekerja dari rumah, pekerja tidak berinteraksi secara sosial berbanding bekerja di pejabat. Ia boleh menyebabkan pekerja menjadi sunyi dan mengganggu momentum kerja. Teman sepejabat boleh menganjurkan sesi ramah mesra atas talian yang bertujuan untuk berbual kecil di luar tugasan kerja sambal makan tengah hari atau minum petang.

5. Sambungan Internet yang Stabil: Faktor kritikal untuk berkembang maju bekerja dari rumah ialah perlunya perkhidmatan internet yang mantap. Ini akan membantu pekerja melaksanakan tugas, berinteraksi dengan rakan sekerja, berkomunikasi dengan baik dan membantu mereka melaksanakan tugas dengan kemampuan yang terbaik. Sambungan internet yang kurang baik akan menurunkan prestasi kerja, lebih-lebih lagi apabila mereka terpaksa mencari lokasi yang sesuai untuk menerima sambungan Wi-Fi yang stabil. Ini mungkin memerlukan beberapa percubaan, seperti mengalihkan ruang kerja ke lokasi baharu atau menyusun semula bilik.

Pihak organisasi memainkan peranan penting dalam memahami isu-isu yang dihadapi oleh pekerja mereka. Pandemik kini telah mempengaruhi cara penyampaian tugasan. Masa perjalanan yang diambil untuk ke pejabat telah digantikan dengan aktiviti kerja atas talian seperti, menghadiri mesyuarat, pembentangan dan menyelesaikan tugas-tugas lain. Ternyata bekerja dari rumah ada kelebihan dan kekurangannya tersendiri.

*Dr Mohd Ashraf Mohd Fateh, ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pembinaan, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur UiTM, Shah Alam.

Klik di sini untuk terus membaca