SHAH ALAM - Kerajaan perlu bertindak segera untuk melindungi nyawa rakyat Malaysia agar tidak dijangkiti varian baharu Covid-19 dengan meningkatkan tahap penguatkuasaan kemasukan pelancong dari China di pintu masuk negara.
Langkah itu perlu ketika kebanyakan negara luar sudah melakukan penguatkuasaan ketat terhadap pelancong dari China termasuk sekatan masuk berikutan jangkitan Covid-19 di republik itu masih teruk.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Profesor Dr Mohamed Rusli Abdullah berkata, kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu terlebih dahulu meneliti dan mengkaji data perkembangan semasa Covid-19 di China, bagi mengelakkan kedatangan varian baharu tersebut akan mencetus peningkatan kes, sekali gus memberi kemudaratan kepada negara.
Beliau berkata, potensi gelombang baharu berkemungkinan besar akan berlaku sekiranya negara masih berlengah-lengah untuk melakukan penguatkuasaan lebih ketat.
"Sekarang ini, kerajaan perlu mendapatkan maklumat yang tepat dan lengkap tentang apa yang berlaku di China sama ada krisis Covid-19 yang sedang melanda itu adalah isu dalaman atau berpotensi (varian baharu) yang dibawa keluar.
"Jika tidak mengambil langkah-langkah seperti menyaring kemasukan pelancong asing dan sebagainya, ada kemungkinan peningkatan kes serta gelombang baharu akan berlaku di Malaysia. Cuma sekarang ini isunya adalah apabila perkara ini menjadi satu risiko, apakah tindakan yang boleh kita ambil? " katanya.
Menurutnya, terdapat dua perkara yang perlu kerajaan meneliti iaitu melihat dari sudut kemampuan KKM dan perkhidmatan kesihatan di negara ini supaya wabak berkenaan dapat ditangani.
" Jadi, langkah selamat adalah sekatan (pelancong China) kerana berpotensi besar untuk menyebabkan satu peningkatan kes secara mendadak yang mungkin mencetus situasi epidemik dan pandemik berlaku semula," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.
Dr Mohamed Rusli bagaimanapun berkata, dari sudut pandangan pakar ekonomi, Malaysia masih lagi dalam proses pemulihan ekonomi sekiranya sekatan dilakukan terhadap pelancong China, sekali gus boleh memberi kesan kepada negara.
"Satu lagi isu, terdapat segelintir pakar mendakwa negara mempunyai vaksin dan ubat-ubatan yang berkesan. Tetapi ia belum ada kepastian bagaimana vaksin sedia ada boleh menangani kes varian baharu yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini.
"Justeru, KKM perlu mengkaji dan mengeluarkan kenyataan tentang kesiapsiagaan dan kemampuan untuk menangani kebarangkalian peningkatan kes secara mendadak dan juga situasi epidemik dan pandemik yang sebelum ini disebabkan pelancong (China) ini.
"Selain menyaring kesemua pelancong asing yang datang ke Malaysia serta memastikan individu yang negatif sahaja dapat memasuki negara, satu polisi yang jelas perlu disediakan sebagai panduan," ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca