KUALA LUMPUR - Walaupun sedar meniaga secara haram dan tidak berlesen atau dipanggil penjaja rambo adalah satu kesalahan, namun rata-rata peniaga yang ditemui memberitahu mereka tiada pilihan kerana perlu mencari nafkah demi kelangsungan hidup.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar siar kaki Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) baru-baru ini mendapati peniaga di sini terpaksa menjalankan perniagaan walaupun barangan telah berkali-kali disita kerana itu adalah sumber pendapatan mereka.
Peniaga, Hairi Barhan, 40, berkata, dia terpaksa berhenti kerja dalam sektor perhotelan dan berniaga secara rambo sejak 10 tahun lalu kerana perlu menguruskan isteri yang sakit.
"Saya berniaga di sini dalam ketakutan demi mencari pelanggan. Mata saya juga akan melilau memastikan peka dengan kehadiran penguat kuasa bagi mengelak barang disita.
"Saya tidak boleh kerja tetap kerana perlu uruskan isteri sakit jadi kena buat kerja yang fleksibel dan saya membuat keputusan untuk menjaja ais krim," jelasnya kepada Sinar Harian.
Kata Hairi, sepanjang 10 tahun berniaga, dia merasai pengalaman enam kali jualannya disita namun masih meneruskan perniagaan kerana itu merupakan punca rezekinya untuk menyara keluarga.
"Saya nak mohon permit tapi tiada permit menjaja bergerak seperti ini. Takkan saya nak sewa kedai hanya untuk jual ais krim sahaja, tak pulang modal.
"Kalau DBKL sediakan permit khas untuk peniaga kecil seperti kami, kami akan mohon. Tak perlu kami lari setiap kali nampak penguat kuasa datang, kami pun nak berniaga dengan tenang," ujarnya.
Seorang lagi peniaga, Anita Lajis, 46, pula berkata, aktiviti menjaja itu adalah punca rezeki buatnya keluar daripada hidup gelandangan.
"Tujuh ke lapan tahan lalu saya hidup gelandangan, tidak mampu menyewa rumah disebabkan hidup susah. Bermodalkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), saya gunakan duit itu sebagai modal niaga bagi menyara anak seramai 13 orang.
"Gaji suami yang ketika itu baru diterima sebagai pengawal keselamatan dan ditambah dengan pendapatan niaga, dapatlah kami menyewa rumah di Intan Baiduri, Kepong dengan RM800 sebulan," katanya.
Anita berkata, sebelum ini tiada tindakan dikenakan kerana ada surat tata budi bicara disebabkan mempunyai lima anak orang kurang upaya (OKU) di bawah tanggungannya.
"Apabila tunjukkan surat tersebut, tiada tindakan sita cuma diminta beredar. Tapi sekarang surat tersebut tidak lagi boleh digunakan kerana ada orang pertikai menyebabkan saya turut dikenakan tindakan sama seperti penjaja lain.
"Saya tidak salahkan penguat kuasa, mereka hanya menjalankan tugas namun saya juga tiada pilihan terpaksa juga menjaja untuk meneruskan hidup kerana perlu menampung anak saya seramai 13 orang," jelasnya.
Sementara itu, anak Anita yang turut menjaja di situ, Intan Nur Hidayah Zakuan, 24, berkongsi pengalaman akan bertempiaran lari sebaik kelibat penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) datang membuat rondaan.
Intan Nur Hidayah yang juga seorang OKU berkata, kaki palsunya pernah tercabut ketika cuba melarikan diri bagi mengelak dikenakan tindakan sita terhadap barang jualannya.
"Saya pernah kerja pengawal keselamatan sekejap namun diberhentikan selepas 'kantoi' saya OKU dan menggunakan kaki palsu. Majikan tidak mahu mengambil risiko.
"Disebabkan itu, saya terpaksa berniaga rambo sejak empat tahun lalu. Jika nampak penguat kuasa saya akan lari, kalau soal barang disita sudah banyak kali tak terhitung jumlahnya," katanya.
Intan Nur Hidayah bersama penjaja lain dilihat meninggalkan lokasi dalam keadaan tergesa-gesa dengan menolak troli jualan air dan dalam keadaan bahaya menyeberang jalan dengan kenderaan yang sibuk sebaik menyedari anggota penguat kuasa DBKL datang membuat rondaan.
Intan Nur Hidayah berkata, walaupun hampir setiap hari dikejar penguat kuasa namun dia tetap meneruskan perniagaan dari satu lokasi ke lokasi lain bagi mendapatkan wang saku untuk menampung kos perubatan penyakit kansernya.
"Sebolehnya saya tak nak menyusahkan orang tua dan mahu hidup berdikari. Keluarga saya bukan orang senang, adik-beradik 13 orang dan bapa pula turut sakit.
"Cuma saya mohon budi bicara DBKL, jika boleh bagi kami permit menjaja. Kami akan ikut peraturan ditetapkan cuma berikan sedikit ruang kami mencari rezeki," ujarnya.
INFO
*Penjajaan secara ‘rambo’ merupakan istilah yang digunakan untuk menggantikan penjajaan haram atau lebih tepat lagi perniagaan tanpa kelulusan lesen.
*Ia dilakukan di antara ruang atau di lokasi yang terdapat aktiviti penjajaan yang berlesen sama ada di atas siar kaki, hadapan premis, petak parkir atau di atas jalan.
*Jualan terdiri barangan kering, makanan serta minuman.
Klik di sini untuk terus membaca