NEW YORK - Ikon penyiaran televisyen legenda, Barbara Walters meninggal dunia ketika berusia 93 tahun di kediamannya pada Sabtu lalu selepas lebih 60 tahun terbabit dengan bidang kewartawanan di hadapan kamera. Bagaimanapun punca kematian... Klik di sini untuk terus membaca

NEW YORK - Ikon penyiaran televisyen legenda, Barbara Walters meninggal dunia ketika berusia 93 tahun di kediamannya pada Sabtu lalu selepas lebih 60 tahun terbabit dengan bidang kewartawanan di hadapan kamera.

Bagaimanapun punca kematian wanita pertama menjadi hos berita siaran pagi dan petang stesen penyiaran ABC News tidak didedahkan kepada umum oleh media-media tempatan.

KEHIDUPAN AWAL

Menyusuri kehidupan awal Walters sebelum menjadi wartawan wanita berprofil tertinggi dalam sejarah televisyen, beliau mendapat pendidikan di Kolej Sarah Lawrence Bronxville, New York pada tahun 1951.

Namun, tidak lama selepas itu, anak kepada pemilik kelab malam bekerja sementara waktu di sebuah agensi pengiklanan dan menjadi pembantu pengarah publisiti untuk stesen televisyen yang bergabung dengan NBC di New York City.

Bermula dari situ, Walters menimba pengalaman dalam penulisan dan menghasilkan skrip untuk televisyen.

Kemudian, dia dilantik sebagai penerbit dan penulis berita dah hal ehwal awam oleh rangkaian televisyen CBS.

Kemudian, pada tahun 1964, dia di lantik sebagai pembantu hos 'Today Girls' di mana peranannya sebagai 'tukang sampuk' dan membaca iklan komersial.

Bekas Presiden AS, Barrack Obama bercakap dengan Walters dalam program bual bicara 'The View'. - Agensi

KERJAYA WARTAWAN

Selepas itu, Walters memperluaskan pengetahuannya dengan mencuba menjadi pengulas dan pembaca berita dalam rancangan 'Today'.

Tidak hairanlah dengan berbekalkan rupa cantik dan ditambah kepintaran bergaya di hadapan kamera, Walters menjadi semakin terkenal dalam program tersebut dan pada 1974, dia dinamakan sebagai pembantu rancangan 'Today' bersama pengacara Hugh Downs.

Atas usahanya itu, dia memenangi anugerah Emmy pada tahun berikutnya untuk rancangannya itu.

Langkah seribu Walter bermula apabila pada tahun 1976 dia menjadi tajuk utama di media massa selepas menandatangani kontrak lima tahun dengan stesen penyiaran ABC News dan sekali gus menjadi wanita pertama menyertai program berita dengan gaji sebanyak AS$1 juta (RM4.4 juta) setahun pada waktu itu.

Bagaimanapun, pada 1978, dia meninggalkan program itu dan menyertai berita majalah ABC sebagai wartawan, hos bersama Downs sehingga 1984 dan kekal sehingga 2004.

Walters terkenal dengan kaedah wawancara dengan orang terkenal di dunia selain disifatkan seorang gigih mengejar tokoh untuk rancangannya 'Barbara Walters Specials' yang popular dan ditayangkan pada 1976.

Walters semasa mengacara dalam program 'Today' di NBC pada 1976. - Agensi

Pernah sekali semasa bercuti di Vietnam pada tahun 2009, sejurus mendengar kematian penyanyi pop Micheal Jackson, Walters sanggup pulang ke Amerika Syarikat pada waktu sama untuk mewawancara keluarga Jackson di Los Angeles.

Antara tokoh terkenal pernah diwawancaranya termasuk bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thattcher; Raja Jordan, Raja Hussien; Presiden Mesir, Anwar Al Sadat; bekas pembantu Rumah Putih, Monica Lewinsky serta beberapa selebriti terkenal seperti Sylvester Stallone, Tom Cruise, Michael Douglas dan Catherine Zeta-Jones.

Pada tahun 1982, dia sekali lagi menerima Anugerah Emmy untuk rancangan wawancara terbaik.

Selepas itu, Walters dinamakan dalam 'Hall of Fame of the Academy of Television Arts and Sciences' pada 1990.

Walters juga pernah berkahwin sebanyak empat kali dengan tiga lelaki berbeza dan mempunyai seorang anak perempuan.

PERSARAAN

Walter menamatkan karier sebagai wartawan pada 2016 sejak kariernya bermula pada 1951 selepas meninggalkan program berita majalah 20/20 pada tahun 2004.

Sejak dari itu, dia menjadi penyumbang kepada program khas dan wawancara khas untuk ABC News sehingga persaraan 2016. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca