IPOH - Kehadiran peniaga rambo boleh membahayakan kesihatan pengguna apabila mereka tidak menjalani kursus atau mendapatkan suntikan tifoid dalam mengendali makanan.
Pengerusi Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak (PUBI), Sharul Baha Abdul Rahman berkata, kelompok ini sering dilihat apabila tibanya bulan Ramadan.
"Mereka yang berniaga tanpa lesen ini kadang kala mengabaikan aspek keselamatan pengguna apabila berniaga di tepi jalan hingga mengganggu lalu lintas dan keselamatan awam.
"Perkara ini dilihat tidak adil kepada peniaga-peniaga lain yang mengikut peraturan. Mereka juga tidak terlatih mengendalikan makanan dan aspek kebersihan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) sepatutnya memantau kelompok peniaga rambo ini yang memberi persaingan tidak sihat kepada peniaga lain.
"Saya perhatikan pegawai penguat kuasa banyak menggunakan budi bicara dengan memberi amaran terlebih dahulu.
"Elok juga sekiranya pihak PBT buat pemantauan berkala kerana ia memberi kesan kepada pengguna dan peniaga lain," katanya.
Sementara itu, Bendahari Persatuan Penjaja-Penjaja Kecil Melayu Pasar Malam Bergerak Bahagian Kinta, Yunus Osman berkata, peniaga rambo memberi alasan untuk 'test market' ketika berniaga di pasar malam.
"Kebanyakan peniaga dalam kalangan penduduk tempatan yang mencuba berniaga di tapak pasar malam sekitar Ipoh.
"Sepatutnya mereka perlu mematuhi syarat dengan mengambil lesen tetapi kita benarkan mereka berniaga sekali gus menasihatkan mereka untuk mematuhi peraturan yang sedia ada," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca