KUALA LUMPUR - Jangan hanya sita sebaliknya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu kreatif dalam menyelesaikan isu penjaja tidak berlesen di ibu kota.
Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, penjaja akan terus menjalankan perniagaan walaupun barangan telah berkali-kali disita kerana itu adalah sumber pendapatan mereka.
Menurutnya, penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah penjaja rambo adalah dengan menyediakan lot kepada mereka untuk berniaga.
"DBKL perlu ada kawalan dengan sediakan lot agar mereka duduk setempat dan tidak perlu menolak troli. Konsep tolak troli ini budaya negara kita dan membahayakan pengguna terutama di kawasan sesak.
"Cari ruang yang sesuai dan jangan halang laluan orang namun jangan tempatkan mereka di kawasan yang tiada pengunjung pula. Berikan mereka meniaga mengikut tempoh masa ditetapkan," katanya mengulas isu penjaja rambo di ibu kota.
Mengenai isu halangan Rosli berkata, lot yang disediakan tidak semestinya membabitkan keluasan yang besar sebaliknya bersesuaian dengan konsep penjaja tolak troli yang dimaksudkan.
"Konsepnya seperti petak pasar malam, saiz kecil bukan seperti kedai dan barang tidak boleh tinggal di situ. Selepas niaga perlu bersihkan kawasan.
"Jika ada isu sebabkan halangan, hadkan jumlah penjaja di sesuatu tempat, tidak semestinya hanya di Jalan TAR sebaliknya pecahkan ke beberapa lokasi termasuk hadapan Sogo, sekitar Hotel Kowloon, Coliseum yang menjadi tempat laluan orang," jelasnya.
Beliau berkata, penjaja rambo dan persatuan penjaja perlu dipanggil bagi memberi idea mengenai penyelesaian tersebut.
"Kebanyakan penjaja berkenaan tidak berniaga setiap hari sebaliknya mencari peluang menambah pendapatan pada musim cuti hujung minggu, cuti sekolah atau apabila diadakan program-program tertentu.
"Tawarkan borang kepada mereka yang telah dibanci untuk mengisi lot disediakan. Orang luar tidak dibenarkan berniaga kerana matlamat kita adalah mahu menyelesaikan isu penjaja di kawasan tersebut," kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca