SHAH ALAM - Jumlah pusat pendidikan awal kanak-kanak disediakan kerajaan masih belum mencukupi untuk menampung permintaan tinggi terhadap perkhidmatan tersebut di dalam negara. Pensyarah Kanan Program Pendidikan Awal Kanak-kanak dari... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Jumlah pusat pendidikan awal kanak-kanak disediakan kerajaan masih belum mencukupi untuk menampung permintaan tinggi terhadap perkhidmatan tersebut di dalam negara.

Pensyarah Kanan Program Pendidikan Awal Kanak-kanak dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Juppri Bacotang berkata, negara masih belum mencapai sasaran nisbah sepatutnya bagi peringkat pendidikan tersebut yang digariskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Jelasnya, peningkatan drastik kewujudan taska dan tadika dikendalikan pihak swasta terutamanya di bandar besar juga merupakan bukti jelas kekurangan jumlah kemudahan pendidikan berkenaan.

"Ini menunjukkan bahawa kapasiti dan kemudahan disediakan kerajaan tidak mencukupi sehingga pihak swasta terpaksa membuka tadika untuk memenuhi permintaan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Pusat Data Kanak-kanak Kebangsaan (NCDC) pada tahun 2019 merekodkan bahawa sebanyak 1,001 atau 20.15 peratus daripada taska di dalam negara beroperasi melebihi daripada kapasiti dibenarkan.

Juppri berkata, selain faktor peningkatan kadar kelahiran di dalam negara, dasar kerajaan memasukkan pendidikan awal sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan pada tahun 1996 juga menjadi punca menyumbang kepada permintaan tinggi terhadap perkhidmatan tersebut ketika ini.

Tambahnya, kurikulum sedia ada yang digariskan di peringkat pendidikan awal seperti kemahiran 3M iaitu membaca, mengira dan menulis juga menjadikan ia lebih penting dalam membantu murid melalui transisi peralihan ke sekolah rendah.

"Bila kanak-kanak ini ingin masuk ke sekolah rendah, kurikulum sekarang lebih memerlukan kanak-kanak itu sudah lancar membaca. Maksudnya di sini bila masuk tahun satu, mereka tidak lagi diajar mengeja dan sebagainya.

"Jadi mereka ini secara tidak langsung perlu menguasai ketiga-tiga kemahiran itu sebelum masuk Tahun Satu. Disebabkan itu ibu bapa sekarang menghantar anak mereka ke tadika supaya seiring dengan kurikulum sedia ada,” ujarnya.

Juppri berkata, beliau mengakui kerajaan berhadapan kekangan peruntukan untuk memenuhi permintaan tersebut dari segi penyediaan kemudahan infrastruktur dan menggaji tenaga kerja diperlukan meliputi guru dan pekerja pembantu pengurusan murid.

Namun begitu, beliau berpandangan kerajaan perlu mula menyediakan perancangan jangka panjang bagi menangani isu berkenaan antaranya melalui langkah memusatkan pengurusan taska dan tadika di bawah satu kementerian iaitu KPM.

"Sudah sampai masanya kalau keadaan mengizinkan dari segi ekonomi agar pengurusan kesemua taska di bawah agensi kerajaan diambil alih oleh KPM dan diselaraskan,” jelasnya.

Antara agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak ialah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

Pada masa sama, Juppri berkata, kerajaan juga sepatutnya menyediakan bantuan persekolahan bagi murid tadika terutamanya daripada keluarga B40 sebagai langkah jangka pendek bagi membolehkan mereka mendapat mendapat akses terhadap pendidikan tersebut

"Sebenarnya, kos pendaftaran anak ke taska atau tadika lebih tinggi berbanding ke sekolah rendah. Sekarang ini bantuan persekolahan hanya untuk kanak-kanak Tahun Satu hingga Tingkatan Lima,” katanya.


JUMLAH PRASEKOLAH & TADIKA KEMAS

- PRASEKOLAH

Johor: 868

Kedah: 520

Kelantan: 508

Melaka: 233

Negeri Sembilan: 324

Pahang: 624

Pulau Pinang: 275

Perak: 695

Perlis: 108

Selangor: 693

Terengganu: 378

Sabah: 1,014

Sarawak: 1,281

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: 259

Wilayah Persekutuan Labuan: 39

Wilayah Persekutuan Putrajaya: 23

- KEMAS

Kedah: 728

Perlis: 139

Pulau Pinang: 265

Perak: 705

Kelantan: 686

Wilayah Persekutuan: 159

Terengganu: 739

Pahang: 674

Selangor: 791

Melaka: 271

Negeri Sembilan: 354

Johor: 876

Sabah: 970

Sarawak: 1,030

- Yuran tahunan

Prasekolah - RM150

Tabika Kemas - Serendah RM25

Swasta - Bermula dari RM284 (Pusat Asuhan Tunas Islam - Pasti) hingga mencecah RM2,000

Klik di sini untuk terus membaca