PEMBINAAN negara bangsa atau sering disebut nation building adalah satu aspirasi yang perlu didukung dalam memastikan kemakmuran sesebuah negara.
Perkembangan pesat teknologi, perubahan sosioekonomi, serta landskap politik memberi kesan terhadap usaha-usaha untuk merealisasi aspirasi ini.
Tidak kira apa jua definisi yang ditafsirkan berkaitan pembinaan negara bangsa; sama ada pembinaan negara, pengukuhan bangsa sesebuah negara, pembangunan negara berbilang bangsa, penyatuan bangsa, pembinaan negara perpaduan atau definisi semudah ukhuwah masyarakat, semua ini bermatlamatkan kestabilan sesebuah negara bagi menjamin kemakmuran.
Hanya apabila sesebuah negara itu stabil baharulah usaha-usaha pembangunan negara akan menjadi lebih realistik dan berkesan.
Pendidikan tinggi di negara ini telah mengalami pelbagai perubahan, berevolusi semenjak dari kali pertama kewujudan penubuhan universiti pertama di negara ini secara rasminya pada tahun 1962.
Kini dengan 20 buah universiti awam dan 417 buah institusi pendidikan tinggi (IPT) swasta, seharusnya kita tidak kekeringan golongan muda sebagai pelapis kepada kesinambungan kestabilan negara ini.
Golongan muda adalah aset negara. Golongan ini adalah pelapis kepada usaha-usaha berterusan negara dalam memastikan negara akan sentiasa ke hadapan dan seiring dengan negara-negara maju.
Malah perkataan maju itu bukan sekadar maju dari segi ekonomi, atau maju dari segi teknologi, mahupun maju dari segi komersialisasi dan kreatif sahaja, maju ini juga merujuk kepada maju dari segi minda dan pemikiran.
Secara dasarnya, usaha menghasilkan golongan muda yang reliable ini secara tidak langsung terletak di bahu institusi-institusi pendidikan tinggi yang tentunya bergerak menurut acuan semasa.
Keseimbangan harus diberi selari dengan keperluan dalam negara dan perkembangan di peringkat global landskap pendidikan tinggi.
Di dalam merealisasikan ke arah negara maju, kita memerlukan sistem yang menyokong pembelajaran pada apa jua peringkat dan masa.
Setiap dari kita berbeza-beza cabaran dan keutamaan semasa, ada yang terus menyambung ke peringkat universiti, namun ada juga yang perlu mendahulukan perkara-perkara peribadi yang lain.
Walaupun begitu, sistem pendidikan tinggi di negara ini jelas menyokong konsep pembelajaran sepanjang hayat.
Sistem pembelajaran sepanjang hayat ini tidak hanya tertumpu kepada kemahiran dan pengetahuan bidang semata-mata, nilai-nilai murni dan kecintaan terhadap negara perlu juga diberi tempat di dalam proses penyediaan sukatan silibus peringkat universiti.
Pembelajaran sepanjang hayat adalah merupakan platform terbaik menyulam semangat perpaduan yang boleh dijiwai oleh golongan muda atau pekerja yang menyambung pengajian mereka.
Di Universiti Teknologi Mara (UiTM) umpamanya, pembelajaran sepanjang hayat ini telah dipertanggungjawabkan kepada Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional atau lebih dikenali sebagai iCEPS.
Pada tahun 2019 setelah melalui penjenamaan semula, iCEPS telah mengubah landskap pembelajaran sepanjang hayat kepada peluang pembelajaran yang lebih versatil.
Institut yang telah wujud semenjak tahun 1973 ini yang dahulunya hanya memfokuskan kepada bekerja sambil belajar, kini telah memperkasakan pembelajaran separuh masa dengan penggunaan platform pembelajaran secara digital yang dikenali sebagai platform U-Future.
Malah iCEPS turut memperkenalkan pelbagai kursus jangka pendek serta pembelajaran secara maya melalui program-program secara Massive Open Online Course (MOOC) yang berkonsepkan proses pembelajaran bila-bila masa dan di mana sahaja tanpa memerlukan lokasi tertentu.
* Profesor Dr Azizul Halim Yahya ialah Ketua Eksekutif Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) UiTM
Klik di sini untuk terus membaca