NEGARA baru saja menempuh gerbang tahun 2023 dengan sebuah kerajaan dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan diketuai oleh seorang ahli politik veteran yang berpengalaman.
Kerajaan ini dijangka membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari depan.
Ia dijangka dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pembentangan semula bertujuan meneliti dan mengubah suai jika perlu dengan memberi ruang kepada Kementerian Kewangan serta jemaah menteri bagi menambah baik Bajet 2023 yang sedia ada.
Bagi Menteri Pertahanan yang baharu, Datuk Seri Mohamad Hasan, beliau bertekad meneruskan agenda Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang diluluskan dalam sidang Parlimen sebelum ini.
Antara kenyataan awal beliau ketika mula melaksana tugas sebagai menteri Pertahanan ialah memperkasakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam ketiga-tiga perkhidmatan iaitu Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara.
Ini bukanlah tugas mudah kerana mantan-mantan Menteri Pertahanan sebelum ini yang telah memegang jawatan tersebut kerap dilihat gagal mendapatkan peruntukan yang boleh dianggap kritikal kepada pembangunan keupayaan aset ATM.
Lebih malang lagi apabila mendapatkan bajet sepatutnya, ia berjaya dirompak oleh 'penyangak bertali leher' yang berbekalkan hanya pengaruh, pena dan kertas untuk mengaut laba haram mengisi kantung peribadi masing-masing.
Seperkara yang mungkin menyebabkan banyak pihak terkeliru dan melihat pelan pembangunan keupayaan ATM seakan ‘lebih sudu dari kuah’ adalah pihak pengurusan mungkin terlalu ghairah menghasilkan terlalu banyak kertas kerja atau menubuhkan pelbagai jawatankuasa.
Dalam tempoh yang singkat pihak ATM dan kementerian kini mempunyai beban yang dianggap berat bagi merealisasikan apa yang telah diketengahkan pihak pengurusan atau kumpulan pemikir (think tank) walaupun tujuan asalnya bersifat positif.
Antara dasar utama yang telah dihasil merangkumi Kertas Putih Pertahanan, Strategi Ketenteraan Negara, Dimensi Keempat Angkatan Tentera Malaysia (4DMAF) dan Pelan Strategik Mindef 2021-2025.
Ini turut merangkumi tiga dokumen sokongan membabitkan Dasar Industri Pertahanan Negara dan Keselamatan Negara (DIPKN), Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) serta Pelan Pelaburan Pertahanan Negara (3PN), selain perancangan dan hala tuju Mindef bagi tahun 2022 yang dinamakan sebagai Pelan Tindakan 2022 atau PT22 merangkumi lapan lagi teras utama.
Apakah kesemua ini bakal berjaya diterjemahkan kepada realiti dalam tempoh masa lima tahun?
Banyak pihak mempersoalkan apakah Kerajaan Perpaduan ini bakal mampu memberi tumpuan lebih khusus kepada bajet pertahanan.
Ini kerana menurut mereka apabila kabinet terdahulu yang dianggotai oleh parti sama memegang teraju Parlimen, banyak program-program ATM telah ditangguh atau dibatalkan.
Ini adalah sesuatu yang subjektif kerana pada 2019, Menteri Pertahanan ketika itu pernah menyatakan peri pentingnya peruntukan besar perlu disalurkan dalam ATM untuk menjaga sistem pertahanan negara.
Walaupun negara Malaysia dilihat dalam keadaan tenteram dan aman, namun peruntukan bajet untuk tujuan menjaga kepentingan negara adalah perlu kerana usaha memartabatkan kekuatan dan peranan tentera perlu sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa bukan hanya bila ada ancaman yang datang baru negara hendak membangunkan ATM.
Contoh usaha pembangunan drastik ATM dan dianggap berjaya dilaksana pada tahun 1979. Pada ketika itu, Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia dan juga Menteri Pertahanan telah memperkenalkan program dikenali sebagai Program Perista.
ATM berjaya membesarkan kesemua cabangnya serta membuat perolehan pelbagai aset dan menjadikan ia sebuah angkatan yang disegani negara serantau.
Namun begitu program Perista hanya bertahan selama tiga tahun apabila Perdana Menteri yang baharu merangkap Menteri Pertahanan telah menggantikan beliau dan membatalkan program tersebut.
Sebahagian besar bajet Perista dipindah kepada program-program pembangunan ekonomi.
Ini dengan jelas membuktikan bahawa peranan yang dimainkan Perdana Menteri, apa lagi hari ini beliau turut menjawat Menteri Kewangan adalah kritikal selain mendapatkan maklumat sahih dan tepat daripada Menteri Pertahanan serta kepimpinan ATM yang tulus dan telus, hanya mengambil kira kepentingan pertahanan negara serta warga ATM.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca