TULAR baru-baru ini kisah pasangan dari Rusia menceroboh bangunan menara Merdeka 118 dan memuat naik aksi mereka di puncak pencakar langit itu.
Ini menunjukkan walaupun Merdeka 118 masih belum siap sepenuhnya, obsesi masyarakat antarabangsa terhadap mercu tanda itu sangat luar biasa.
Bakal dinobatkan sebagai menara kedua tertinggi di dunia selepas Menara Burj Khalifa di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan tertinggi di Asia Tenggara apabila siap menjelang pertengahan tahun 2023 ini, kru Sinar Premium bernasib baik dapat naik 'secara halal' bangunan setinggi 678.9 meter itu sehingga ke tingkat 116.
Tampil dengan imej simbolik kepada gaya Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan ‘merdeka’ sebagai tanda kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957, Merdeka 118 memberikan keunikan baharu buat negara pada tahun ini.
Untuk rekod, pembinaan Merdeka 118 adalah di bawah tanggungjawab PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd yang juga anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Tidak seperti pasangan Rusia yang memanjat tanpa kebenaran, lima kru Sinar Premium diberi peluang secara eksklusif melihat sendiri secara dekat keunikan Merdeka 118 sebelum dibuka kepada umum.
Seperti yang dijangka, kami berasa cukup kagum apabila melihat seni bina yang begitu unik tersebut.
Pada peringkat awal, kami dibawa kru pengiring melalui sebuah lorong yang boleh memuatkan empat orang pada satu masa, bagi menuju ke ruangan dalam bangunan menara Merdeka 118.
Biarpun sempat berasa sedikit klaustrofobia, namun perasaan teruja untuk melihat dalaman menara yang penuh ikonik itu mengatasi segalanya.
Setelah beberapa minit mengharungi perjalanan bersimpang-siur sambil ditemani bunyi kesibukan kerja-kerja pembinaan dan suara pekerja keluar masuk, kami akhirnya sampai di sebuah bilik untuk sesi taklimat.
Selepas itu, kami dibekalkan peralatan seperti jaket, topi, but dan abah-abah yang wajib dipakai sepanjang lawatan bagi tujuan menjaga keselamatan diri.
Tanpa membuang masa, perjalanan diteruskan dengan menaiki beberapa tingkat anak tangga untuk menuju ke sebuah lif khas yang membawa kami ke lokasi pertama.
Memasuki ruangan lif, adrenalina semakin laju apabila ia berhenti di tingkat 116.
Sebaik pintu lif dibuka, rombongan lawatan dibawa ke satu ruangan terbuka di mana kami berpeluang melihat pemandangan sekitar Kuala Lumpur dari ketinggian yang umpama mencecah awan.
Sesekali angin yang menerpa muka mencetuskan rasa gayat dalam diri.
Sambil kru Sinar Premium merakamkan momen dan video menarik sekitar tingkat 116, kami turut diberi penerangan oleh kru pengiring.
Menurut mereka, apabila siap kelak, tingkat 116 akan menyediakan dek pemerhatian untuk pengunjung yang mahu mencabar diri berjalan di atas platform (laluan kaca) di luar bangunan menara dengan hanya memakai abah-abah.
Untuk kali ini, cukup setakat kami memerhati dari belah dalam sahaja sambil mengambil sekeping dua swafoto untuk kenangan peribadi.
Menariknya, sedang asyik menghayati suasana, lensa kamera sempat merakam aksi pekerja memasang dinding kaca pada ketinggian yang membuat kami berasa ‘kecut perut’.
Usai ‘pengembaraan’ di tingkat 116, kami kembali ke lif khas untuk ke destinasi berikutnya.
Kali ini, kami menuju ke tingkat 40 yang berfungsi sebagai tingkat transit antara tingkat bawah dan atas menara tersebut.
Di sini, kami melihat masih ada kerja-kerja binaan dan pemasangan yang belum selesai.
Oleh kerana ia adalah waktu rehat, maka keadaan agak tenang dan para pekerja dilihat ada yang sedang melepaskan penat sambil menikmati bekal juadah masing-masing.
Namun sebelum beredar, kami dipelawa melawat satu lagi mercu tanda ikonik yang sedang menjalani proses baik pulih di bawah selenggaraan PNB, iaitu Stadium Merdeka.
Peluh yang mula membasahi tubuh tidak menjadi penghalang kami mengharungi beberapa minit perjalanan di bawah panas terik matahari untuk sampai ke Stadium Merdeka yang terletak bersebelahan Merdeka 118.
Sebaik menjejak masuk Stadium Merdeka, automatik terbayang detik-detik laungan Merdeka oleh Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman menandakan kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajahan British 65 tahun yang lalu, ditambah dengan galeri bergambar yang menghidupkan suasana bersejarah itu.
Kami dimaklumkan selain mencantikkan kembali Stadium Merdeka, PNB berhasrat mengekalkan sejarah lokasi ikonik itu untuk tatapan generasi akan datang.
TARIKAN PRESINT MERDEKA 118
Selain pengalaman kru Sinar Premium sendiri, rasanya insan paling layak bercerita lanjut tentang keistimewaan Menara Merdeka 118, tidak lain tidak bukan ialah Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, Tengku Datuk Ab Aziz Tengku Mahmud.
Menara Merdeka 118 yang tersergam tinggi mencecah awan terletak di Presint Merdeka 118 yang merupakan lokasi pembangunan bercampur seluas 40 ekar di tengah bandar raya Kuala Lumpur.
Selain menara Merdeka 118, Presint Merdeka 118 turut merangkumi dua tapak bersejarah negara iaitu Stadium Merdeka dan Stadium Negara.
Ia juga bakal mempunyai sebuah pusat beli-belah, kediaman bertingkat tinggi dan pelbagai tarikan pelancong apabila siap sepenuhnya.
Satu lagi keistimewaan Presint Merdeka 118 adalah ia terletak di tapak di mana kemerdekaan negara diisytiharkan pada tahun 1957.
Tengku Ab Aziz berkata, pembinaan menara Merdeka 118 bermula pada tahun 2016 dan setakat Disember tahun lalu, 95 peratus telah siap.
"Walaupun pernah tertangguh akibat pandemik Covid-19, namun kami berjaya kembali ke landasan untuk menyiapkannya menjelang pertengahan tahun 2023,” ujar beliau kepada Sinar Premium.
Menurutnya, sebaik siap sepenuhnya kelak, pengunjung berpeluang menikmati pengalaman menarik di Merdeka Boulevard at 118, iaitu Taman Linear di Presint Merdeka 118 yang menawarkan 0.40 hektar kehijauan dan ruang terbuka.
"Ia adalah arteri utama yang menghubungkan semua komponen dalam Presint Merdeka 118 dari menara ke Stadium Merdeka dan Stadium Negara, di mana kami merancang menganjurkan pelbagai aktiviti sukan, hiburan, dan rekreasi bertaraf antarabangsa.
"Sebaik sahaja anda sampai ke puncak menara, penggemar aktiviti lasak boleh berjalan di atas lantai kaca di luar menara sambil menikmati pemandangan bandar raya Kuala Lumpur dengan hanya memakai abah-abah keselamatan.
"Untuk penggemar aktiviti lasak, pengunjung juga boleh memanjat ke tingkat tertinggi di puncak menara ini pada ketinggian lebih 550 meter,” jelasnya.
Mengamati rekaan Merdeka 118, tidak dapat dinafikan ia mempunyai daya tarikan tersendiri yang pastinya menimbulkan perasaan bangga rakyat Malaysia.
Ia bukti kemampuan negara untuk membangunkan pencakar langit serta menambah daya tarik Kuala Lumpur sebagai sebuah destinasi pelancongan global.
Namun siapakah ‘genius’ yang bertanggungjawab di sebalik pembinaan mercu tanda tersebut?
Tengku Ab Aziz berkata, Fender Katsalidis dipilih sebagai arkitek reka bentuk Merdeka 118 berdasarkan pengalamannya yang mereka bentuk Eureka Tower di Melbourne, Australia.
Untuk rekod, Eureka Tower merupakan bangunan kediaman tertinggi di Australia ketika siap pembinaannya.
Sementara untuk kontraktor pula, PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd bersungguh-sungguh dalam memastikan pembabitan sekurang-kurangnya 50 peratus kontraktor bumiputera.
"Secara keseluruhan sejumlah 51 kontraktor dilantik setakat ini, dan 30 daripadanya merupakan syarikat bumiputera atau yang mempunyai ekuiti bumiputera.
"Kontraktor bumiputera ini terlibat dalam penyediaan tapak dan infrastruktur, serta kerja-kerja pembinaan bangunan,” jelasnya.
CABARAN DAN PERSPEKTIF NEGATIF
Untuk merealisasi pembinaan Merdeka 118 bukanlah semudah ABC, sebaliknya banyak cabaran yang perlu diatasi terutama ketika negara diserang pandemik Covid-19 sekitar dua tahun lalu.
"Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19 telah menjejaskan bukan sahaja pembinaan Merdeka 118, tetapi juga keseluruhan sektor pembinaan.
"Ketika PKP juga, tapak pembinaan Merdeka 118 terpaksa ditutup selama tiga fasa pertama PKP dan dibuka semula secara beransur-ansur mulai bulan Mei 2020 dan berikutnya. Ini telah menyebabkan lanjutan dalam penyiapan projek selama enam bulan.
"Walaupun berdepan cabaran Covid-19, pembinaan Merdeka 118 kini berjalan mengikut jadual dan dijangka siap pertengahan tahun depan,” jelasnya.
Dalam pada bakal menjadi satu lagi mercu tanda kebanggaan negara tidak lama lagi, ternyata ada persepsi negatif mengatakan projek mega tersebut adalah satu pembaziran berikutan menelan belanja besar mencecah RM5 bilion.
Persepsi itu bagaimanapun ditepis Tengku Ab Aziz.
"Presint Merdeka 118 tertumpu kepada mewujudkan komuniti yang berkembang dari pekerja pejabat ke penyewa, pelanggan, penduduk, komuniti setempat dan rakyat Malaysia amnya agar sama-sama dapat menikmati limpahan dari pembangunan ini.
"Sebagai sebuah destinasi ikonik pelancongan global, dek pemerhatian di menara Merdeka 118 misalnya bakal menarik seramai 3,000 pengunjung sehari atau satu juta pengunjung dalam tempoh setahun.
"Ini memberi impak positif kepada komuniti setempat dan perniagaan sekitar melalui peluang-peluang perniagaan makanan, minuman, hospitaliti, aktiviti riadah dan sektor pelancongan,” katanya.
IMPAK POSITIF
Terletak di lokasi warisan Kuala Lumpur dan dihubungkan dengan sistem pengangkutan awam seperti MRT, LRT, jalan raya dan laluan pejalan kaki, Merdeka 118 akan menjadi destinasi pelancongan global apabila siap kelak.
"Pemandangan dari dek pemerhatian tingkat 115, 116 dan 116X bakal menjadi yang tertinggi di Asia Tenggara, juga bakal menjadikan menara ini destinasi yang menarik untuk dikunjungi pelancong domestik dan luar negara,” kata Tengku Ab Aziz.
Jelasnya, Merdeka 118 juga adalah contoh pembangunan lestari dan bakal menjadi bangunan pertama di Malaysia yang menerima tiga pengiktirafan platinum hijau iaitu Leadership in Energy and Environmental Design (LEED), Green Building Index (GBI) dan Green Real Estate (GreenRE).
"Kami juga berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan WELL bagi memastikan menara Merdeka 118 ini dapat mewujudkan persekitaran kerja yang optimum kepada para pekerja,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, menara Merdeka 118 menyumbang kepada matlamat ESG (Environmental, Social, and Corporate Governance) PNB dan sangat beriltizam untuk hidup secara lestari.
"Saya percaya setiap pembangunan pastinya mempunyai aspirasi dan matlamat yang tersendiri.
"Ini yang menentukan keperluan untuk merancang dan seterusnya melaksanakan pembangunan tersebut.
"Bagi PNB, kami berazam untuk menyediakan destinasi global yang terkemuka, aktif dan mengambil kira latar belakang sejarahnya.
"Kami melihat pelaburan ini sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, bukan sahaja untuk komuniti setempat tetapi juga untuk bandar raya Kuala Lumpur dan negara Malaysia,” kata beliau mengakhiri perbualan.
INFO
1. Menara Merdeka 118 terdiri daripada 83 tingkat ruang pejabat premium bergred A, Hotel Park Hyatt Kuala Lumpur yang terletak di 17 tingkat teratas Menara dan dek pemerhatian di tingkat 115, 116 dan 116X yang tertinggi di Asia Tenggara
2. Selain menara, Fasa 1 merangkumi:
- Masjid Merdeka, Look at118, Merdeka Boulevard at118 dan infrastruktur setempat yang akan siap pada Suku Ketiga 2023
- The View at118 dan 118 Mall yang akan siap pada Suku Keempat 2023
2. Fasa 2 termasuk pembukaan:
- 118 Mall pada Suku Pertama 2024
- Merdeka Textile Museum pada Suku Ketiga 2024
3. Fasa 3 terdiri daripada :
- Little M, Pusat Jagaan Kanak-Kanak PNB, dijangka siap pada Suku Kedua 2025
- Oakwood Premier Kuala Lumpur, dijangka siap pada Suku Kedua 2026
- Merdeka Residences dijangka siap pada Suku Pertama 2028
Klik di sini untuk terus membaca