BIARPUN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah berlalu, namun, tahun 2023 tetap bakal menyaksikan cabaran tersendiri kepada tiga gabungan parti utama di Malaysia sama ada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional... Klik di sini untuk terus membaca

BIARPUN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah berlalu, namun, tahun 2023 tetap bakal menyaksikan cabaran tersendiri kepada tiga gabungan parti utama di Malaysia sama ada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN).

Antara cabaran terbesar bakal dihadapi gabungan parti politik BN, PH dan PN adalah Pilihan Raya Negeri (PRN) yang mungkin diadakan serentak di enam negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah seawal Mac depan.

Di atas kertas, gabungan BN dan PH dilihat mempunyai banyak kelebihan tersendiri terutama jika mereka dapat mengetepikan perbezaan ideologi politik, berganding bahu dan bekerja sebagai satu pasukan, bukan hanya untuk mempertahankan status quo di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, bahkan merampas Terengganu dan Kedah daripada Pas pada PRN nanti.

Sebaliknya, jika kerjasama BN dan PH di peringkat Kerajaan Persekutuan gagal diterjemahkan di peringkat akar umbi, maka tidak mustahil gelombang hijau akan berterusan bukan hanya setakat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Terengganu dan Kedah yang kini dikuasai Pas, malah ia mungkin merebak sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Jika pakatan BN dan PH gagal mengekalkan status quo dan gagal menjadi kerajaan negeri semula di Negeri Sembilan dan Selangor maka ia sudah pasti memberi tamparan hebat kepada kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bahkan sekiranya BN kalah sekali lagi kepada PN dalam PRN nanti, Ahmad Zahid mungkin akan dipersalahkan dan menjadi 'kambing hitam' oleh kumpulan penentangnya kerana menjadi punca UMNO terus dirundung malang selepas kalah teruk dalam PRU15 lalu.

Andai kata 'tragedi' itu benar-benar berlaku maka tidak mustahil Ahmad Zahid mungkin terpaksa melupakan hasratnya untuk mempertahankan jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti yang perlu diadakan sebelum akhir Mei ini.

Namun, jika senario sebaliknya berlaku dengan gabungan BN dan PH bukan hanya berjaya menguasai semula, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, malah merampas kembali pentadbiran kerajaan negeri Terengganu dan Kedah daripada Pas, maka saham Anwar dan Ahmad Zahid akan meningkat sekali gus mencerahkan lagi peluang Timbalan Perdana Menteri itu kekal sebagai Presiden UMNO kelak.

Hala tuju

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berpandangan, PRN di enam negeri berkenaan amat penting kepada gabungan parti termasuk BN, PH dan PN kerana ia boleh menjadi titik permulaan kepada hala tuju politik negara pada masa depan.

"BN dan PH perlu membuktikan kepada penyokong masing-masing bahawa langkah diambil mereka untuk memulakan kerjasama dan penggabungan adalah tepat bagi menewaskan PN yang sedang mengalami gelombang kebangkitan.

"Bagi PN pula mereka perlu sekurang-kurangnya mempertahankan status quo kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah bagi membuktikan mereka mampu memberikan saingan kepada pakatan antara BN dan PH,” katanya kepada Sinar Premium.

Dalam pada itu, Mazlan menegaskan masih terlalu awal untuk membuat penilaian mengenai sejauh manakah keupayaan dan kekuatan sebenar gabungan PH dan BN dalam PRN nanti.

Berikutan itu, semua gabungan parti politik sama ada BN, PH mahu pun PN perlu membentuk satu jajaran politik baharu bagi menghadapi PRN.

"Ini penting kerana jika gabungan BN dan PH gagal mempertahankan kerajaan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, maka ia akan memberikan imej dan reputasi buruk kepada kepimpinan Anwar. Justeru, BN dan PH tiada pilihan lain dan mereka mesti menang PRN jika mereka mahu kekal berkuasa di peringkat Persekutuan.

"Bagaimanapun, Pas dijangka masih utuh di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Kalau kita lihat keputusan PRU15 menunjukkan Pas menang dengan majoriti besar dan berjaya menguasai hampir seluruh kerusi Parlimen di ketiga-tiga negeri berkenaan kecuali satu kerusi di Kedah sekali gus menunjukkan momentum atau tsunami pengundi terlalu besar,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca