SHAH ALAM - Kekurangan kelas prasekolah dan taman didikan kanak-kanak (tadika) kendalian agensi kerajaan di kawasan bandar ternyata mengundang bebanan kepada ibu bapa.
Masalah itu menyebabkan kebanyakan ibu bapa di kawasan bandar tiada pilihan lain, selain terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar menghantar anak-anak mereka ke tadika swasta dengan kadar yuran jauh lebih tinggi.
Difahamkan caj yuran pendaftaran kemasukan prasekolah swasta lebih RM1,000 dan bulanan sekitar RM300 hingga RM700 untuk seorang kanak-kanak.
Tinjauan Sinar Harian, ibu bapa ditemui berharap jumlah prasekolah dan tadika kendalian agensi kerajaan ditambah terutama di kawasan bandar.
Salah seorang ibu, Suhaliza Kamaruddin, 32, berkata, dia dan suami terpaksa menghantar anaknya ke sebuah tadika swasta di ibu kota disebabkan kuota untuk mendaftar di tadika kerajaan berdekatan rumahnya sudah penuh.
Ujar pekerja swasta itu, meskipun menelan kos lebih tinggi, dia terpaksa berkorban kerana mahu memastikan anak perempuan tunggalnya yang berusia lima tahun itu mendapat pendidikan sesuai dengan peringkat umur.
"Sebelum hantar anak ke tadika swasta, saya dan suami mencari tadika kerajaan berdekatan, tapi kebanyakannya sudah penuh.
"Untuk memastikan anak saya dapat belajar bersama kanak-kanak seusianya dan menyesuaikan diri dengan persekitaran luar, mahu tak mahu kami harus berbelanja lebih sedikit,” katanya yang membayar RM300 untuk yuran bulanan anaknya.
Sementara itu, Nurul Hajar Mazlan, 30, berkata, dia difahamkan bahawa tadika kendalian agensi kerajaan di sekitar kawasan perumahannya di sini berdepan masalah kekurangan tenaga pengajar.
Berikutan itu, ibu kepada dua orang cahaya mata itu memilih untuk menempatkan anaknya berusia lima tahun di tadika swasta dengan bayaran RM580 sebulan.
"Saya dimaklumkan oleh beberapa orang rakan, guru di tadika kerajaan tidak ramai. Pasti sukar untuk memberi perhatian terhadap perkembangan setiap kanak-kanak di situ.
"Saya perlu memastikan anak saya tidak ketinggalan dalam pembelajaran kerana pendidikan seawal usianya penting untuk mempersiapkan diri apabila masuk ke sekolah rendah,” kata warden asrama di sebuah sekolah itu.
Roszaniah Yahya, 42, yang merupakan kakitangan kerajaan berkata, terdapat kanak-kanak terutama daripada golongan berpendapatan rendah (B40) tercicir dalam pelajaran kerana tidak dapat mendaftar di tadika kerajaan.
"Bagi mereka yang berkemampuan mungkin akan menghantar ke tadika swasta, tetapi untuk golongan pendapatan rendah dan sederhana, biasanya akan menghantar ke tadika kerajaan atau Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti),” katanya.
Dalam pada itu, suri rumah, Nurul Intan Ahmat Mahmod, 28, berkata, sesetengah tadika mengehadkan kapasiti pendaftaran anak-anak berusia lima tahun, sebaliknya mengutamakan umur enam tahun.
Disebabkan itu, katanya, ada yang terpaksa mengambil keputusan untuk menghantar anak-anak ke tadika swasta.
"Kerajaan seharusnya menjalankan kaji selidik di kawasan yang penduduknya padat,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca