SHAH ALAM - Jumlah penempatan prasekolah dan tadika kendalian agensi kerajaan di kawasan bandar yang terhad menyebabkan ibu bapa perlu bersaing sekiranya mahu mendaftar anak-anak mereka di situ.
Pakar Pendidikan, Dr Intan Farahana Abdul Rani berkata, prasekolah dan tadika kerajaan sememangnya diperuntukkan untuk anak-anak golongan B40, namun ia turut mendapat permintaan ibu bapa daripada golongan M40 berikutan yuran lebih murah berbanding swasta.
"Syarat kemasukan tadika kerajaan tidak sama dengan swasta kerana perlu mengemukakan slip pendapatan ibu bapa untuk mengetahui sama ada layak atau tidak.
"Bagi ibu bapa M40 yang berada di kawasan bandar, memasukkan anak-anak dalam prasekolah atau tadika kerajaan memang kompetitif kerana perlu bersaing dengan anak-anak B40. Tempat memang sangat terhad,” jelasnya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Intan Farahana berkata, kadar yuran di prasekolah dan tadika swasta boleh mencapai hampir RM2,000 permulaan tidak termasuk yuran bulanan.
"Bagi ibu bapa yang mempunyai anak lebih seorang, mereka lebih terkesan, tambahan pula dengan situasi ekonomi sekarang.
"Kos tadika swasta sudah macam masuk universiti. Kos pendaftaran lebih RM1,000 dan bulanan sekitar RM300 hingga RM700 untuk tambahan kos transit dan sebagainya,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun berkata, pendedahan terhadap pendidikan awal amat penting bagi kanak-kanak kerana dapat membantu meningkatkan kemahiran bersosial dan membiasakan diri dengan persekitaran luar.
"Tumpuan anak-anak itu bukan semata-mata pada pembelajaran, tetapi juga dari segi pergaulan sosial dengan rakan-rakan lain,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca