INTERNET merupakan antara penciptaan terhebat dalam sejarah kehidupan manusia. Terima kasih kepada insan-insan berpandangan jauh seperti Nikola Tesla yang sejak awal abad lepas telah membayangkan kehidupan dunia tanpa wayar dan Paul Otlet dengan fikiran terkedepannya tentang maklumat dan pendokumentasian.
Merekalah antara pencetus idea pada kehadiran internet yang penciptaannya dikreditkan kepada Vinton Cerf dan Robert Kahn kerana kedua-duanyalah membangunkan dua komponen utama internet iaitu Protokol Kawalan Penghantaran (TCP) dan Internet Protocol (IP).
Sesungguhnya internet telah menjadikan kehidupan lebih ringkas, mudah dan pantas. Faedahnya terlalu banyak.
Jika disenaraikan pasti akan jauh lebih banyak daripada jumlah gaji minimum yang sesetengah majikan begitu liat untuk bersetuju membayarnya.
Pelbagai kelebihan yang dimiliki olehnya menjadikan internet sangat pantas berkembang. Tidak seperti 15 atau 20 tahun dahulu di mana penggunanya terbatas pada kelompok tertentu, kini ia digunakan oleh sesiapa sahaja, dari atuk tua di kampung yang menjual pisang secara dalam talian, atau nenek tanpa suami yang bertukar kasih sayang dengan buah hati baharu dari luar negara yang tahu serba-serbi mengenai dirinya, termasuk jumlah simpanan di bank, sehinggalah kepada anak kecil yang menjaga adik di tepi buaian ketika emaknya sibuk berbalas mesej di media sosial.
Sesungguhnya juga internet memberikan banyak kelegaan pada jiwa manusia. Sifatnya yang memudahkan pelbagai urusan menjadikan kita kurang tertekan walaupun dibebani pelbagai tuntutan.
Kita tidak perlu lagi menyelongkar perpustakaan untuk mencari maklumat, tidak perlu membeli setem untuk mengutus surat, tidak perlu membayar ruang iklan untuk mempromosi produk, malah tidak perlu menggunakan tunai untuk urusan yang melibatkan transaksi jual beli dan seumpamanya.
Internet juga membolehkan kita mempamerkan kelebihan, berkongsi pengalaman, mencari rezeki, menimba pengetahuan, mengata orang, melepaskan geram dan banyak lagi. Pendek kata, hampir tiada halangan untuk kita melakukan apa pun di ruang maya itu. Ini termasuklah mengakses tempat-tempat yang tidak boleh diakses tanpa dikesan oleh pihak yang melarang?
Tanpa dikesan? Inilah sebenarnya yang hendak kita bincangkan. Ramai yang beranggapan internet adalah medan yang selamat.
Dengan adanya sistem kata laluan, dengan bantuan pelbagai aplikasi keselamatan termasuk yang anti itu dan anti ini, kita merasakan tiada siapa boleh menceroboh hak peribadi kita melainkan puak penggodam, yang pada fikiran kita tidak mempunyai sebab untuk menggodam akaun internet kita kerana jika diibaratkan akaun bank, akaun kita hanyalah jenis yang bakinya tidak pernah lebih daripada empat angka, termasuk dua titik kosong di belakangnya.
Sebahagian besar pengguna percaya bahawa kuasa mengawal apa yang kita pos, muat naik, muat turun atau kongsikan di internet terletak sepenuhnya di tangan kita. Kita yang menentukan siapa yang boleh melihatnya atau pun tidak. Kita juga yakin aktiviti-aktiviti kita yang lain di dunia maya itu adalah rahsia yang tersimpul mati, kadang-kadang – dan selalunya – daripada pengetahuan suami atau isteri sendiri.
Di situlah silapnya. Kebanyakan kita tidak sedar bahawa kehadiran kita di internet sentiasa diperhati sepanjang masa. Dan pemerhatian itu tidak terbatas pada apa yang dipos, dimuat naik, dimuat turun atau dikongsi semata-mata, tetapi juga meliputi setiap aktiviti kita. Bukan setakat laman mana yang anda jenguk, huruf apa yang kita tekan, benda apa yang kita klik pun mereka akan tahu.
Tidak kira berapa ratus meter panjangnya kata laluan kita, berapa banyak aplikasi keselamatan yang kita guna, akan tetap ada pihak yang mempunyai cara untuk mengintai, mengintip, memerhati atau menjejak kita.
Siapa mereka? Susah hendak dijawab secara khusus. Mereka boleh jadi sesiapa sahaja, daripada budak-budak yang baru belajar menggodam sehinggalah penggodam profesional, daripada scammer sehinggalah spammer, daripada saingan yang iri sehinggalah pihak berkuasa yang curiga.
Jadi berhati-hatilah dengan apa juga aktiviti anda yang melibatkan internet. Ingat seperkara lagi, internet tidak mempunyai ‘pemadam’. Apa yang taip dan klik, waimma satu huruf dan satu garisan akan kekal di situ sebaik sahaja anda pos atau muat naik.
Ia boleh dipadamkan di gajet anda, dihapuskan daripada cip anda, malah dihilangkan bersama akaun anda yang dinyah aktif, namun ia tetap kekal berada di ruang siber. Tetap boleh diakses semula oleh mereka yang mahir.
Mujurlah saya tidak mahir, jadi terselamatlah saya daripada melihat semula aksi Babyrina!....#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai seorang setiausaha politik dan juga bekas wakil rakyat.
Klik di sini untuk terus membaca