SHAH ALAM - Pendidikan awal merupakan hak asasi bagi kanak-kanak di negara ini untuk perkembangan tumbesar fizikal dan mental.
Felo Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Rozanizam Zakaria berkata, perkembangan semula jadi kanak-kanak meliputi tiga domain utama.
Berikutan itu, katanya, proses tersebut mestilah disusun secara teratur berdasarkan keperluan usia kanak-kanak tersebut.
"Pertama, domain fizikal iaitu aspek kesihatan fizikal dan tumbesaran badan. Kedua, perkembangan sosial dan emosi termasuk pertuturan, bermain, berinteraksi, bergaul serta berhubung dengan orang lain.
"Ketiga, domain perkembangan kognitif iaitu membaca, menulis, mengira, mengklasifikasi, menyusun aktiviti dan kemahiran melibatkan pergerakan motor halus dan kasar.
"Kesemuanya adalah domain perkembangan yang perlu digarap supaya anak-anak ini berkembang secara holistik,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kepentingan penempatan pendidikan prasekolah kepada kanak-kanak di negara ini.
Sementara itu, Dr Rozanizam berkata, terdapat banyak kemahiran asas yang perlu dikuasai kanak-kanak dalam lingkungan umur tiga hingga enam tahun.
Ujarnya, kemahiran paling asas ialah komunikasi termasuk bertutur, memahami arahan, bersosial, bergaul, berinteraksi serta berkongi dengan orang lain.
"Ini antara kemahiran asas yang penting kerana ia akan menjadi kesinambungan kepada kemampuan anak untuk membina perhubungan pada fasa remaja, dewasa dan semasa bekerja kelak.
"Kedua, asas pendidikan seperti membaca, menulis dan mengira. Untuk mencapai ketiga-tiga kemahiran tersebut, memerlukan mereka menguasai kemahiran motor halus melibatkan pergerakan sendi halus seperti menggunting, melipat dan menggunakan alat tulis,” katanya.
Selain itu, tambah beliau, kemahiran asas lain termasuk kemahiran pergerakan motor kasar, antaranya mengurus diri seperti belajar menggunakan tandas, mengenakan pakaian dan membersihkan diri sendiri.
"Ini adalah kemahiran penting yang perlu mereka kuasai untuk masuk ke fasa seterusnya. Kemudian barulah mereka dapat beralih ke fasa kemahiran kognitif yang lebih kompleks seperti dalam silibus pendidikan hari ini,” jelas beliau.
Dr Rozanizam sehubungan itu berkata, kerajaan bertanggungjawab menyediakan peluang pendidikan yang sama rata terhadap semua kanak-kanak di Malaysia.
"Tidak adil sekiranya ada sesetengah kanak-kanak dapat pendidikan yang sempurna, tetapi dalam masa sama ada kanak-kanak lain yang ketinggalan disebabkan faktor sosioekonomi, logistik dan geografi.
"Mereka tidak dapat apa yang sepatutnya menjadi hak mereka jika pendidikan awal tidak berlaku secara formal dan tidak formal. Ini akan memberi kesan kepada fasa seterusnya dalam kehidupan kanak-kanak,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca