RAMALLAH - Kebanyakan penduduk Palestin akan mengingati 2022 sebagai tahun menyakitkan daripada segi skala kehilangan nyawa, penindasan berterusan rejim Zionis dan penyertaan puak ekstremis di bawah kepimpinan baharu Israel yang dikhuatiri... Klik di sini untuk terus membaca

RAMALLAH - Kebanyakan penduduk Palestin akan mengingati 2022 sebagai tahun menyakitkan daripada segi skala kehilangan nyawa, penindasan berterusan rejim Zionis dan penyertaan puak ekstremis di bawah kepimpinan baharu Israel yang dikhuatiri akan memburukkan lagi nasib golongan itu.

Menerusi laporan Arab News, jurucakap kerajaan Palestin, Ibrahim Melhem menyifatkan 2022 sebagai tahun paling berdarah berdasarkan peningkatan jumlah korban kekejaman tentera Israel.

Data rasmi menunjukkan sekurang-kurangnya 225 penduduk Palestin di Tebing Barat dan Genting Gaza terbunuh akibat tindakan kekerasan tentera Israel sepanjang tempoh 12 bulan lalu.

Bagaimanapun, Ibrahim ada sebab untuk optimis selepas negara Arab dan komuniti antarabangsa secara terang-terangan menzahirkan solidariti terhadap perjuangan Palestin yang sebahagian besarnya dipaparkan ketika Piala Dunia FIFA di Qatar.

"Pertubuhan antarabangsa juga telah menunjukkan pemahaman lebih baik terhadap tuntutan dan hak penduduk Palestin berbanding sebelum ini,” ujarnya.

Sementara itu, pemimpin gerakan Fatah di Baitulmaqdis, Ahmed Ghuneim perkembangan positif pada 2022 ialah dengan kemunculan generasi baharu kumpulan penentang mewakili kumpulan Lions' Den (Areen al-Asood) di Nablus dan briged sama di Jenin, Balata serta kawasan lain.

Penduduk Palestin mendakwa Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah mengubah peraturan sejak beberapa bulan kebelakangan ini yang membenarkan anggota mereka melepaskan tembakan untuk membunuh jika berasa terancam.

Kira-kira 60 peratus anggota rejim Zionis ditempatkan di Tebing Barat melibatkan 26 pasukan tempur dan 86 batalion simpanan.

"Setiap kawasan penempatan haram Yahudi kini dikawal tentera Israel bagi mengelakkan dicerobohi,” katanya.

Tentera rejim Zionis meningkatkan operasi menyasarkan penduduk Palestin di Tebing Barat.

Ketika ini, pihak berkuasa Israel menjangkakan situasi keselamatan semakin merosot di Tebing Barat untuk tempoh beberapa minggu akan datang yang bakal menyaksikan peningkatan jumlah penduduk Palestin terkorban.

Ia susulan daripada keputusan 87-26 undi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang meluluskan resolusi meminta Mahkamah Kehakiman Antarabangsa (ICJ) menyatakan pendapat tentang impak undang-undang terhadap pendudukan rejim Tel Aviv di wilayah Palestin termasuk Baitulmaqdis.

Penduduk Palestin melihat keputusan badan antarabangsa itu sebagai kemenangan diplomasi buat mereka.

Menurut jurucakap Presiden, Nabil Abu Rudeinah, proses undian itu sebagai bukti sokongan seluruh dunia terhadap penduduk Palestin dan hak sejarah mereka yang tidak boleh diketepikan.

"Presiden Mahmoud Abbas turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua negara yang menyokong hak penduduk Palestin dan pihak yang berusaha untuk menjayakannya.

"Sudah tiba masanya Israel bertanggungjawab terhadap jenayah yang dilakukan mereka,” tambah beliau.

Tegasnya lagi, kepimpinan Palestin akan mengambil segala peluang yang ada untuk melindungi penduduk di wilayah tersebut dan terus menyertai badan serta institusi antarabangsa.

"Kami sangat percaya bahawa keadilan berdasarkan resolusi antarabangsa dan pengecualian daripada dikenakan hukuman adalah satu-satunya cara untuk mencapai keamanan berkekalan di Palestin, Israel dan seluruh wilayah.

"Ini bermakna, tidak akan berlaku rundingan untuk tanah diduduki dan tiada syarat dikenakan sebagai pertukaran dengan pengunduran Israel,” jelas Ibrahim. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca