SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Politik kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, menegaskan pelantikannya sebagai Pengerusi 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd (7-Eleven Malaysia), tiada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Politik kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, menegaskan pelantikannya sebagai Pengerusi 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd (7-Eleven Malaysia), tiada kena mengena dengan lantikan politik.

Berikutan itu, Farhash ketika dihubungi wartawan Sinar Premium menegaskan beliau enggan mengulas lanjut kerana pelantikannya adalah atas dasar korporat, bukannya lantikan politik dalam mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Saya enggan mengulas lanjut kerana ini adalah lantikan korporat dan bukan pelantikan politik dalam mana-mana syarikat GLC. Jadi jawapan saya ialah 'no comment'," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan 7-Eleven Malaysia yang mengumumkan pelantikannya sebagai pengerusi baharu berkuat kuasa pada Selasa.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu menjelaskan Farhash menggantikan Datuk Seri Robin Tan Yeong Ching yang meletakkan jawatan sebagai pengerusi mulai Selasa untuk meneruskan minat lain.

Untuk rekod, Robin dilantik sebagai pengerusi 7-Eleven Malaysia pada 25 November 2021.

7-Eleven Malaysia dalam kenyataannya menjelaskan, Farhash membawa pengalaman bernilai lebih sedekad dalam bidang perniagaan, perundingan dan khidmat nasihat.

"Dalam bidang perniagaan, kerjayanya yang cemerlang merentas pelbagai sektor termasuk pembinaan, teknologi, hotel, makanan dan minuman.

"Beliau juga ialah pendorong yang menggalakkan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini," kata 7-Eleven Malaysia.

Farhash kini menganggotai lembaga penasihat Yayasan Usahawan Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berkembang maju dalam menghimpunkan, mencipta dan membangunkan syarikat-syarikat mampan dengan ciri keusahawanan yang kukuh.

Beliau juga pengerusi eksekutif kumpulan Apex Equity Holdings Bhd dan pengarah Berjaya Construction Bhd.

Klik di sini untuk terus membaca