SHAH ALAM - Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) tidak akan mampu menyelesaikan isu inflasi untuk tempoh jangka panjang sebaliknya pengeluaran barangan perlu ditingkatkan bagi mengimbangi penawaran dalam pasaran. Pensyarah Kanan Fakulti... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) tidak akan mampu menyelesaikan isu inflasi untuk tempoh jangka panjang sebaliknya pengeluaran barangan perlu ditingkatkan bagi mengimbangi penawaran dalam pasaran.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin berkata, masalah utama ketika ini adalah kekurangan bekalan daripada pengeluar untuk memenuhi permintaan pasaran.

"Sememangnya kenaikan OPR menyebabkan kekurangan aliran tunai dalam pasaran berikutan pertambahan kos pinjaman namun ia hanya untuk tempoh masa pendek. Masalah utama yang masih belum diselesaikan adalah kekurangan bekalan di pasaran sebagai contoh telur ayam. Menaikkan kadar OPR tidak mampu selesaikan inflasi secara menyeluruh.

"Jadi, jika kerajaan boleh selesaikan masalah penawaran bekalan, maka itu sebenarnya dapat mengatasi masalah inflasi dalam jangka masa panjang,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, apabila bekalan bertambah, secara tidak langsung ia boleh memenuhi permintaan pengguna sekali gus harga barangan menjadi stabil.

Justeru beliau berkata, inisiatif dan dorongan kepada pengeluar mesti digiatkan supaya pengeluar mampu terus berdaya saing sekali gus berupaya mengimbangi penawaran dan permintaan pasaran.

"Ini termasuk galakan supaya lebih ramai pengeluar terlibat dalam penawaran dan insentif yang mampu mengurangkan beban kos pengeluaran,” ujarnya.

Kurangkan import

Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff pula berpandangan mengurangkan kebergantungan kepada barang import boleh mengekang kenaikan inflasi sekali gus mengurangkan keperluan menaikkan OPR.

"Dua intervensi dilakukan kerajaan pada masa ini iaitu pertama, dasar monetari dengan kenaikan OPR dan kedua, pemberian subsidi pukal untuk turunkan kadar inflasi.

"Cara lain adalah mengurangkan kebergantungan barang import dan memperkasa pasaran tempatan dengan mengutamakan barangan yang dihasilkan dalam negara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, Bank Negara Malaysia (BNM) terpaksa menaikkan OPR disebabkan faktor kemungkinan kerajaan tidak mampu lagi memberi subsidi secara pukal pada tahun ini.

"Jika subsidi dibuat secara bersasar, ini akan menyebabkan kadar inflasi meningkat,” ujar Ahmed Razman.

Beliau menambah BNM juga menaikkan OPR kerana ia mempengaruhi pelaburan asing ke dalam negara.

"Sebagai contoh Amerika Syarikat berterusan menaikkan OPR sekali gus berjaya menarik pelabur antarabangsa kerana kadar faedahnya memberi pulangan lebih tinggi jika dibandingkan dengan negara kita yang mempunyai OPR rendah.

"Jika kadar OPR di negara kita rendah, maka ia tidak akan memberi pulangan menarik kepada pelabur antarabangsa dan negara kita tidak akan menjadi pilihan untuk pelaburan asing,” ujarnya.

Mengulas mengenai penangguhan kenaikan OPR, Ahmed Razman berkata, ia bergantung pada data semasa sama ada pelabur asing berterusan membawa wang mereka keluar dari negara ini atau tidak.

"Jika pengeluaran mata wang berkurangan maka OPR boleh ditangguhkan,” jelasnya.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, BNM boleh mengawal keperluan deposit simpanan dengan menentukan kadar simpanan minimum sebagai usaha untuk menangguhkan kenaikan OPR.

"Jadi dengan menaikkan kadar peratus simpanan, ia akan menurunkan keupayaan bank untuk memberi pinjaman. Dengan menurunkan keupayaan bank untuk membuat pinjaman maka jumlah wang dalam pasaran akan menurun.

"Apabila jumlah wang dalam pasaran menurun maka tekanan ke atas harga akan berkurang tetapi ini bukan suatu instrumen yang selalu digunakan oleh bank,” ujarnya.

Barjoyai menambah, salah satu cara untuk membantu golongan yang terkesan akibat inflasi dan kenaikan kos sara hidup itu adalah dengan meningkatkan pendapatan rakyat.

BNM sebelum ini diunjurkan bakal menaikkan OPR sebanyak dua kali lagi pada 2023 iaitu pada Januari dan Mei ini daripada 2.75 peratus kepada 3.25 peratus atau 3.50 peratus bertujuan mengekang inflasi.

Langkah tersebut menimbulkan kegusaran pelbagai pihak khususnya rakyat yang terpaksa menanggung kenaikan kos bayaran ansuran bulanan pinjaman bank selain kos sara hidup yang semakin meningkat selepas pandemik Covid-19.

Apa itu kadar dasar semalaman (OPR)

OPR ialah kadar faedah yang ditetapkan Bank negara Malaysia (BNM) bagi menentukan kadar faedah untuk institusi kewangan yang meminjamkan wang antara satu sama lain untuk tempoh satu malam.

OPR memberi implikasi langsung kepada pelbagai urusan kewangan pengguna seperti kadar faedah deposit dan pinjaman, pertukaran mata wang asing, serta faedah pembiayaan perumahan dan kenderaan.

Bayaran ansuran bulanan perumahan dan kenderaan akan naik jika OPR dinaikkan.

Dari sudut positif, kenaikan pinjaman bank dapat mengurangkan permintaan pembelian barang dalam kalangan rakyat Malaysia sekali gus mengawal inflasi.

Berikut adalah perubahan kadar OPR di Malaysia sebelum ini

4 November 2022 Naik 25 mata kepada 2.75%

8 September 2022 Naik 25 mata kepada 2.50%

6 Julai 2022 Naik 25 mata kepada 2.25%

11 Mei 2022 Naik 25 mata kepada 2.00%

7 Julai 2020 OPR dipotong 25 mata kepada 1.75% (terendah dalam sejarah)

5 Mei 2020 OPR dipotong 50 mata kepada 2.00%

3 Mac 2020 OPR dipotong 25 mata kepada 2.50%

22 Januari 2020 OPR dipotong 25 mata kepada 2.75%

Kadar OPR & inflasi global

Negara Kadar OPR (%) Kadar inflasi (%)

Turkiye 9.0 64.27

Rusia 7.5 12.6

India 6.25 5.9

Vietnam 6.0 4.99

Indonesia 5.5 5.51

Filipina 5.5 7.8

Amerika Syarikat 4.50 7.1

China 3.65 1.6

United Kingdom 3.5 10.7

Korea Selatan 3.25 5.0

MALAYSIA 2.75 4.0

Singapura 1.65 6.7

Jepun - 0.1 3.8

Nota: Angka pada Disember 2022

Klik di sini untuk terus membaca