MENJELANG pemilihan UMNO bakal diadakan dalam tempoh tidak sampai empat bulan lagi, pentas penganjuran Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 bermula 11 hingga 14 Januari ini pastinya menjadi platform 'panas' yang menjadi tumpuan semua pihak.
Semua ini gara-gara tuntutan segelintir pemimpin veteran UMNO seperti Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menggesa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu tidak dipertandingkan.
Tuntutan itu semakin kuat kedengaran, di tengah-tengah spekulasi 'Langkah London' hangat diperkatakan kononnya membabitkan segelintir pemimpin politik Perikatan Nasional (PN) dan UMNO.
'Langkah London' itu didakwa cuba menyerupai Langkah Sheraton pada Februari tahun 2020, di mana terdapat satu gerakan rahsia membabitkan pemimpin pembangkang dan sebilangan ahli Parlimen blok kerajaan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan Malaysia dengan satu pertemuan rahsia difahamkan telah diadakan di London baru-baru ini.
Dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mencatatkan prestasi terburuk dalam sejarah pilihan raya parti itu apabila hanya memenangi 30 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sudah pasti idea UMNO-BN mewujudkan kerajaan gabungan dengan seteru politik utama mereka iaitu Pakatan Harapan (PH) dan DAP disambut para pemimpin UMNO dengan perasaan bercampur baur.
Justeru, tidak hairan khabar angin cadangan usul dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan, berkemungkinan diangkat dalam Perhimpunan Agung Khas (EGM) pada 13 Januari ini.
Bagi sebilangan pemerhati politik, idea itu mungkin menjadi realiti jika mengambil kira status kedudukan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pertaruhan utama.
Sehingga kini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan tujuan EGM diadakan hanya untuk meminda Perlembagaan parti bagi disesuaikan dengan pelaksanaan peraturan anti lompat parti melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, Ahli Parlimen Pontian itu menjelaskan pindaan Perlembagaan parti turut membolehkan ketua penerangan UMNO bahagian dan sayap secara automatik menjadi perwakilan dalam PAU.
Timbalan Menteri Kewangan I itu juga menerangkan PAU 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hanya akan membahaskan satu usul sahaja iaitu ucapan dasar Presiden.
Pentas justifikasi kerjasama BN-PH
Secara jelas, kenyataan Ahmad itu membayangkan PAU 2022 bakal menjadi pentas utama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerangkan rasional parti itu bekerjasama dengan musuh politik utama termasuk DAP pasca PRU15 secara terperinci, pada saat UMNO semakin kehilangan cengkaman sokongan pengundi Melayu.
Hakikatnya, ucapan dasar Ahmad Zahid bukan sahaja amat penting dalam menentukan hala tuju pemilihan UMNO kelak, bahkan jangka hayat kelangsungan kerajaan sepanjang tempoh lima tahun penggal pentadbiran akan datang.
Hal ini memandangkan keputusan Timbalan Perdana Menteri I itu membawa kesemua 30 ahli Parlimen UMNO-BN menyokong Anwar secara en bloc, menyebabkan parti itu sendiri terpecah kepada dua blok.
"Umum mengetahui gabungan PH-BN menyebabkan UMNO terpecah kepada dua blok di mana satu blok tidak bersetuju dengan kerjasama PH-DAP, manakala satu lagi blok pemimpin mengekalkan kesetiaan terhadap sebarang ketetapan dibuat Presiden parti.
"Presiden UMNO harus menggunakan PAU 2022 untuk menerangkan rasional keputusan bekerjasama dengan musuh politik terutama DAP perlu diambil pasca PRU15.
"Naratif penerangan Ahmad Zahid juga sangat penting dalam menentukan sama ada dinamik pemilihan UMNO akan kekal memihak kepada beliau atau sebaliknya," kata Felo Kursi Institusi Raja Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis kepada Sinar Premium.
Dalam pada itu, seorang pemimpin muda UMNO melihat pelaksanaan pemilihan UMNO perlu mengikut lunas demokrasi ditetapkan, sekali gus menjadi kesinambungan suara lebih 3 juta akar umbi parti itu selepas PAU 2022.
Bagi Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn, beliau percaya usul tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti sekiranya dicadangkan dalam EGM kelak, pastinya akan ditolak 2,648 perwakilan UMNO yang hadir.
Ujarnya, ini kerana cadangan usul itu tidak mencerminkan sikap keterbukaan pemimpin terhadap proses peremajaan parti.
"Pemilihan UMNO sebenarnya merupakan medan terbaik bagi merungkai polemik dalaman parti yang semakin membarah pasca PRU15 di mana ia perlu dijelaskan secara tuntas oleh dua pihak yang berbeza naratif penerimaan idea kerjasama UMNO-PH.
"Ketika ini, kedua-dua kem dalam UMNO yang berbeza naratif politik mengatakan pihak satu lagi sebagai pengkhianat, sedangkan tindakan diambil kedua-dua mereka sebenarnya demi kebaikan parti sendiri.
"Perbezaan pandangan ini perlu diselesaikan menerusi medan pemilihan UMNO. Kalau UMNO masih kuat seperti dahulu, mungkin proses pemilihan parti akan undang perpecahan.
"Tetapi UMNO kini sedang mengalami kemerosotan prestasi, daripada menang sebanyak 108 kerusi Parlimen pada PRU11, kini hanya tinggal 27 kerusi pada PRU15. UMNO perlu jalani proses rejuvenasi demi memelihara kemandirian parti berkenaan," tegas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat itu.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam, Mohd Faizal Mohd Said melihat, pentas PAU 2022 dan pemilihan UMNO sangat kritikal bagi menentukan 'keabsahan' Ahmad Zahid selaku Presiden parti, sebagaimana proses pengesahan keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 di sidang Dewan Rakyat.
Tanda-tanya keputusan Ahmad Zahid membawa UMNO-BN menyertai Kerajaan Perpaduan Malaysia benar-benar mencerminkan suara sebenar akar umbi UMNO juga hanya akan terjawab melalui pemilihan UMNO.
"Saya rasa Presiden UMNO perlu dicabar bagi menentukan keabsahan segala tindak-tanduk dan keputusan parti yang dikemukakannya, sama ada benar-benar mencerminkan hasrat akar umbi parti atau sebaliknya.
"Saya percaya masih ada ramai pemimpin UMNO yang mempunyai kewibawaan untuk mencabar kedudukan Ahmad Zahid seperti Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atau bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sendiri," tegasnya.
Klik di sini untuk terus membaca