SHAH ALAM - Perancangan perbelanjaan termasuk penggunaan utiliti seperti elektrik dan penyelenggaraan rumah terpaksa diatur semula bagi menampung bayaran pinjaman rumah yang mengalami peningkatan susulan beberapa siri kenaikan Kadar Dasar... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perancangan perbelanjaan termasuk penggunaan utiliti seperti elektrik dan penyelenggaraan rumah terpaksa diatur semula bagi menampung bayaran pinjaman rumah yang mengalami peningkatan susulan beberapa siri kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini.

Situasi itu dihadapi oleh Pensyarah Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi, 34, yang memberitahu bahawa, bayaran pinjaman rumahnya yang dahulu hanya RM900 kini meningkat kepada RM1,200 bagi setiap bulan.

"Dulu masa kita beli rumah, kita dah anggar bayaran itu tidak akan lebih daripada RM1,000, jadi kita dah rancang bajet, tidak ada masalah.

"Waktu asal saya nak beli rumah itu dulu, harganya murah sahaja tetapi sekarang ini, bila ada perubahan (pada bayaran rumah) itu, saya rasa macam menyesal pun ada.

"Sebab bila saya bayar RM1,000 lebih, saya fikir-fikir balik lagi bagus kalau saya ambil rumah landed,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ujarnya, kenaikan OPR secara berterusan itu juga memberikan kesan kepada dirinya.

Beliau bercadang untuk menyewakan rumah tersebut kepada orang lain bagi menampung perbelanjaan bayaran bulanan untuk kediaman berkenaan.

"Saya pada asalnya tidak mahu beri sewa rumah itu sebab kita masih boleh tanggung lagi dalam RM800, tetapi apabila harga itu dah sampai RM1,200, kita tidak ada pilihan.

"Kalau saya pun terkesan seperti itu, saya rasa orang lain mungkin terkesan lebih teruk lagi.

"Walaupun kenaikan itu sedikit dalam RM30 kemudian RM50, tetapi lama-kelamaan ia dah cecah sehingga RM200 atau mungkin lebih,” menurutnya.

Kurangkan perbelanjaan makan di luar

Sementara itu, seorang jurutera akui kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebelum ini meningkatkan kadar bayaran pinjaman rumahnya sehingga menyebabkan dia dan isteri terpaksa mengurangkan perbelanjaan terutamanya makan luar bagi menjimatkan kos.

Jurutera, Faiz Dzulhilmi, 25, yang baru sahaja membeli rumah berkata, dia terpaksa merancang semula bajet kewangan dari segi simpanan dan perbelanjaan untuk kos-kos yang lain.

"Setakat ini, alhamdulillah pendapatan saya dan isteri saya mencukupi. Cumanya kekerapan makan di luar itu mungkin kena kurangkan.

"Sebelum ini katakan bajet makan di luar bulanan mungkin dalam RM500 ke RM600. Kalau OPR naik, kita kena kurangkan makan di luar dan lebihkan kepada masak sendiri di rumah sahaja,” katanya.

Ujar Faiz, ia berikutan perbelanjaan makanan itu dilihat antara penyumbang tertinggi dalam bajet mereka.

Dalam pada itu, Faiz berkata, kenaikan OPR menyebabkan harga bayaran pinjaman rumahnya dengan bank didapati meningkat daripada RM1,200 kepada RM1,400 sebulan.

"Mula-mula peratusan pinjaman bank itu dalam 3.4, kemudian 3.5. Selepas naik dua kali sekarang ia berada pada empat peratus.

"Kalau ikutkan perjanjian asal, bayarannya dalam RM1,200 lebih tetapi sekarang bayaran dalam RM1,400.

"Memang kita nampak kesan (kenaikan harga) itu, sebab kita ada bajet yang telah disediakan dan bayaran itu makin meningkat, jadi kita ikut trend OPR ini,” ujarnya.

Cari sumber pendapatan lain jika kenaikan OPR berterusan

Dalam pada itu, seorang Pegawai Kanan, Komunikasi Strategik, Muhamad Ameer Asyraff A Raman, 28, merancang untuk mencari sumber pendapatan lain sekiranya kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) berterusan sehingga memberi impak kepada komitmen lain seperti pinjaman rumah dan kereta.

Ujar Muhamad Ameer, pertambahan bayaran bulanan rumah sudah tentu membebankan dan menyulitkan lagi perbelanjaan hariannya.

"Kos kenaikan bagi saya untuk pinjaman perumahan melibatkan anggaran RM200 setiap bulan.

"Kos ini dikira membebankan terutamanya bagi saya untuk merancang perbelanjaan bagi sepanjang bulan.

"Saya terpaksa mengurangkan perbelanjaan bulanan secara tidak langsung menggunakan simpanan bagi menanggung perbelanjaan setiap bulan,” katanya.

Sementara itu, dia juga mempunyai komitmen kereta yang perlu dibayar iaitu lebih kurang dalam RM600 sebulan.

Menurut Muhamad Ameer, dia terpaksa berjimat dari segi mengurangkan kos perbelanjaan bagi tujuan hiburan dan aktiviti-aktiviti luar, pada masa yang sama, turut membuat simpanan wajib untuk setiap bulan.

"Saya cadang untuk menyimpan dalam RM500 sebulan, jadi mungkin akan kurangkan (perbelanjaan dalam) RM100 atau lebih,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca